home Semasa World #QuranHour platform perkukuh solidariti ummah

World #QuranHour platform perkukuh solidariti ummah

quranhour

 

SHAH ALAM, Selasa – Buat julung kalinya, program bacaan al-Quran secara serentak selama satu jam di seluruh dunia dikenali sebagai World #QuranHour bertemakan Cinta dan Syukur akan diadakan pada 11 September depan bermula 9 pagi.

Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata program yang menyasarkan penyertaan daripada seluruh umat Islam serata dunia itu merupakan kesinambungan kepada kejayaan kempen #MalaysiaNgaji yang dianjurkan sejak tahun 2013.

Beliau berkata, World #QuranHour merupakan satu inisiatif dalam memupuk ummah yang berpegang teguh kepada ajaran al-Quran serta diharap menjadi satu platform solidariti umat Islam seiring meraikan kitab suci itu pada peringkat tertinggi.

“Setakat ini 117 buah negara dan ratusan persatuan serta gabungan Muslim daripada Badan Bukan Kerajaan (NGO) telah memberi maklum balas positif untuk menyertai program ini selain turut menjangkakan penyertaan daripada kesemua 57 negara anggota OIC (Pertubuhan Kerjasama Islam).

“Di India sahaja kita dimaklumkan seramai lapan juta rakyat negara itu akan sama-sama membaca al-Quran dalam tempoh berkenaan,” katanya dalam sidang media selepas sesi perbincangan bersama perwakilan agensi media lain berkaitan penganjuran World #QuranHour, di sini, hari ini.

Hussamuddin berkata, semua agensi media di negara ini juga bersetuju untuk memberi kerjasama dalam membuat liputan dan hebahan seterusnya memastikan kejayaan penganjuran program bertaraf global itu.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Azman Ujang berkata Bernama akan membantu mempromosikan World #QuranHour bagi menarik seramai mungkin penyertaan umat Islam dari dalam dan luar negara.

Katanya, Bernama akan menggunakan segala platform media dimiliki seperti Bernama Radio, Bernama News Channel, laman sosial serta hubungan baik dengan pelbagai agensi lain untuk melakukan hebahan dan liputan terbaik.

“Pertama kali dalam sejarah di negara ini kita dapat menyaksikan kesatuan dan kerjasama yang cukup erat melibatkan semua media dari pelbagai cabang, ia semestinya satu perkembangan yang baik dalam menjayakan program ini nanti.

“Sekalung tahniah dan ucapan penghargaan saya ucapkan kepada Datuk Hussamuddin yang begitu komited dan bekerja keras dalam memastikan aktiviti seumpama ini dapat dilaksanakan dengan momentum yang cukup positif,” katanya.

Selain Bernama, pelbagai agensi media tempatan lain juga telah bersetuju dan menyatakan komitmen mereka untuk kempen program World #QuranHour termasuk Astro, Kumpulan Media Prima, Radio Televisyen Malaysia (RTM), TV Al Hijrah, Kumpulan Utusan, NSTP Group dan Kumpulan Media Karangkraf.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas yang juga penganjur #MalaysiaNgaji, Marhaini Yusoff berkata edisi sulung World #QuranHour akan melibatkan beberapa lokasi “hotspot” untuk bacaan al-Quran berkumpulan.

Beliau berkata, di negara ini program itu akan diadakan di lokasi utama iaitu Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia di Gombak, dengan kesemua 14 negeri lain turut menganjurkannya di lokasi tertentu melibatkan gabungan pelbagai pihak termasuk perseorangan dan berkumpulan.

“Tarikh 11 September merupakan musim menunaikan ibadat haji dan di dalam kalendar Islam ia jatuh pada 9 Zulhijjah jadi semestinya Padang Arafah di Makkah merupakan lokasi tumpuan bagi jemaah haji Malaysia dan negara lain bergabung menyertai kempen ini di peringkat antarabangsa.

“Beberapa selebriti termasuk penyanyi yang terkenal dengan lagu berkonsep ketuhanan iaitu Maher Zain juga akan terlibat dalam program ini nanti,” katanya.

Sumber: http://www.ismaweb.net/2016/08/world-quranhour-platform-perkukuh-solidariti-ummah/

www.indahnyaislam.my

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *