home Semasa Ancaman terhadap Islam: Teladani kisah Bani Qainuqa’

Ancaman terhadap Islam: Teladani kisah Bani Qainuqa’

o

 

Pada 10 September 2016, satu jenayah kebencian (‘hate crime’) didakwa berlaku di New York melibatkan seorang wanita yang meluahkan sentimen anti- Islam dan membuat serangan lisan dan fizikal yang berniat jahat terhadap dua wanita Islam disamping menolak anak-anak mereka yang duduk di ‘stroller’ di jalanan.

Wanita itu cuba untuk menanggalkan hijab dari kepala wanita Islam tersebut semasa kejadian itu. Wanita tersebut tanpa sensitiviti juga memukul wanita Islam di muka dan badan dan menyerang anak-anak mereka. Syukur kerana mereka tidak mengalami kecederaan fizikal yang serius.

Pada hari yang sama, seorang lelaki telah mencuba untuk membakar wanita Islam semasa berada di hadapan kedai kasut di New York dalam satu lagi insiden jenayah kebencian. Syukur, wanita Islam tersebut juga tidak mengalami kecederaan fizikal yang serius.

Namun dalam kes yang melibatkan kematian, seorang Imam dan rakannya telah ditembak mati di siang hari semasa berjalan pulang dari mengerjakan sembahyang di Queens. Beberapa minggu kemudian, seorang wanita yang berpakaian Muslim tradisional telah ditikam sehingga maut ketika sedang dalam perjalanan pulang bersama suaminya juga di Queens.

Maka dapat disimpulkan bahawa hak-hak orang Islam di Amerika Syarikat untuk mempraktikkan agama mereka dan hak beragama sedang diancam kerana mereka gusar dan takut akan menjadi mangsa jenayah kebencian atau pun terkorban hanya dengan berpakaian tradisional Muslim atau hanya sebab mereka adalah orang Islam.

Kejadian yang mengerikan dan tindakan penuh ketaksuban serta tidak bermoral ini ironinya berlaku di dalam sebuah negara yang sentiasa menggelar diri mereka sebagai pejuang demokrasi, liberti, hak asasi manusia dan kebebasan beragama menimbulkan tanda tanya kepada kita. Sudah tentu, kejadian-kejadian ini berlaku akibat prokovasi melampau dan sentimen anti-Islam yang dibakar oleh Donald Trump sejak beliau menyertai pilihanraya presiden.

Insiden Bani Qainuqa’ yang berulang

Apabila saya membaca laporan berita bahawa wanita tersebut cuba untuk menanggalkan hijab dari kepala wanita Islam tersebut, saya terus terkenangkan satu kisah daripada sirah nabawi berkenaan peperangan menentang Bani Qainuqa’.

Seperti yang kita ketahui – namun ada diantara kita yang tersalah faham – Nabi Muhammad (SAW) telah berjaya mendirikan asas kepada sesebuah negara Islam dengan tertubuhnya negara Islam Madinah. Asas tersebut berlandaskan suatu perjanjian yang dikenali sebagai Piagam Madinah yang dipersetujui oleh seluruh masyarakat Madinah untuk taat kepada pemimpin dalam kalangan umat Islam – iaitu Rasulullah (SAW) sendiri ketika itu – dan peraturan-peraturan yang menguruskan aspek kenegaraan, kemasyarakatan dan individu yang menduduki Madinah. Islam merupakan garis panduan serta peraturan tersebut sama seperti Perlembagaan Persekutuan kita yang begitu indah dirangka satu ketika dahulu dan sehingga kini tetap teguh dipertahankan, terutamanya Perkara 3.

Semasa zaman Nabi Muhammad (SAW), umat Islam terkenal dengan amanah dan kesetiaan mereka menghormati serta memenuhi tuntutan dalam perjanjian yang dimeterai. Mereka menjaga keamanan dan keharmonian antara rakyat berbilang agama dan etnik. Walaubagaimanapun, terdapat sebahagian daripada penduduk Madinah yang dengki dan ingkar dengan perjanjian tersebut sehingga menggugat keharmonian yang ingin dipertahankan. Mereka itulah Bani Qainuqa’.

Izinkan saya untuk menceritakan sedikit berkenaan kisah Bani Qainuqa’ seperti yang dinukilkan oleh Syeikh Ramadhan Al-Buti dalam Fiqh Sirah.

Pada suatu hari, terdapat seorang wanita Islam yang bertandang ke pasar Bani Qainuqa’ untuk membeli barang. Beliau berhenti disuatu gerai dimana pemuda-pemuda Bani Qainuqa’ mengganggu beliau dan menyuruh beliau untuk menanggalkan hijab. Apabila beliau memberontak, pemuda-pemuda Yahudi ini mula menggunakan kekerasan dan disertai seorang Yahudi yang menjual barang di gerai tersebut. Penjual ini memijak pakaian beliau yang menjejak tanah dan apabila beliau bangkit untuk meninggalkan tempat itu, kainnya terselak dan menampakkan aurat beliau. Suasana menjadi hiruk pikuk dengan gelak tawa pemuda-pemuda Yahudi disekitar gerai tersebut.

Insiden inilah yang mendesak Nabi Muhammad (SAW) dan orang Islam untuk memerangi Bani Qainuqa’ sehingga kubu mereka dikepung selama 14 hari. Akhirnya, mereka menyerah diri, diusir keluar dari Madinah dan selamanya tidak dibenarkan menduduki Madinah serta berjiran dengan orang Islam.

Teladan daripada peperangan ini

Kita telah diberikan amaran melalui ayat-ayat yang menyebut tentang ketaksuban orang kafir, Yahudi dan Nasrani yang tidak akan berpuas hati selagi Islam itu tertegak dan mereka disuruh untuk akur padanya.

“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: “Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang benar)”. Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu.”  (Al-Baqarah : 120)

Kita juga telah diingatkan bahawa Muslims tidak seharusnya memilih orang kafir sebagai pemimpin, teman atau meminta pertolongan daripada mereka melainkan dengan beberapa pengecualian.

“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani menjadi pemimpin-pemimpin (mu); sebahagian mereka adalah pemimpin bagi sebahagian yang lain. Barang siapa di antara kamu mengambil mereka menjadi pemimpin, maka sesungguhnya orang itu termasuk golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim.” (Al-Maidah : 51-52).

Salah satu pengajaran daripada peperangan menentang Bani Qainuqa’ ini adalah orang kaffir akan sentiasa mencemburui Islam dan orang Islam. Mereka juga tidak mahu melihat orang Islam hidup dalam keadaan aman, harmoni, bersatu padu dan penuh dengan kasih sayang dan kebaikan.

Sesungguhnya, hal ini tidak jauh berbeza dengan kenyataan yang dibuat oleh tokoh Yahudi ketika zaman Nabi, Syas bin Qais apabila dia melihat Aus dan Khazraj yang kini telah memeluk Islam duduk bersama dalam majlis ilmu mempelajari Islam, seperti yang dinukilkan dalam ‘Sirah Nabawiyah’ oleh Syaikh Syafiyyurrahman al-Mubarakfuri. Dia berkata, “Aus dan Khazraj dahulunya bergaduh sesama mereka. Demi Tuhan, aku tidak boleh membiarkan mereka bersatu!”.

Inilah agenda mereka yang utama – untuk menimbulkan kekacauan dan melemahkan barisan umat Islam. Sasaran mereka adalah untuk menundukkan Islam dan menafikan kedudukannya untuk menegakkan syiar dan syariat Allah SWT.

Bukankah ia mirip dengan situasi kontemporari?

Di satu pihak kita menyaksikan bagaimana keras kepala, taksub dan angkuhnya propaganda anti-Islam disebarkan dan mereka berjaya menanam Islamofobia dalam kalangan masyarakat Malaysia. Isu terbaru adalah berkenaan RUU 355 yang dibentangkan oleh Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang. DAP, MCA, Persatuan Hokkien dan Sisters in Islam juga cuba untuk menimbulkan salah faham terhadap pindaan tersebut bahawa ia mahu melaksanakan hudud.

Di satu pihak lagi kita melihat bagaimana ‘baik hati’ dan ‘mulia’ sekumpulan orang Islam yang mempertahankan proksi-proksi anti-Islam ini yang sentiasa berniat menghalang usaha memartabatkan Islam dan institusinya. Tahun lepas, DAP menunjukkan belangnya apabila berkata bahawa parti cauvinis sosialis itu akan kekal di Selangor untuk mengelakkan PAS daripada menguatkuasakan undang-undang yang melarang penjualan arak.

Dan apakah sebab PAS meninggalkan Pakatan Rakyat? Sungguh, ia adalah kerana mustahil bagi PAS dalam menjayakan agenda Islam jika kekal bersama dengan penentang Islam tegar, DAP.

Dr Mujahid Yusuf Rawa selaku seorang tokoh politik dan Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (PAN) sebelum ini telah membantu secara tidak langsung proksi-proksi anti-Islam ini apabila beliau mengkritik gesaan Mufti Wilayah Persekutuan, SS Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri untuk menyokong RUU 355 tersebut. Namun umat Islam telah membantah sekerasnya kritikan beliau.

Jadi, siapakah yang akan pertahankan Islam dan Perlembagaan?

Mereka yang ingin berbuat demikian pula akan digelar sebagai rasis dan ekstremis. Namun sejauh mana pun mereka menjadi ‘rasis’ dan ‘ekstremis’, mereka tidak pernah menerima tindakan melampau menyerang secara lisan mahupun fizikal terhadap orang lain yang berlainan kepercayaan dan mereka sudah tentu tidak menindas penganut agama lain seperti apa yang berlaku di Amerika Syarikat dan seperti mana kekejaman dan keganasan yang dilakukan oleh IS dan Daesh.

Artikel 3 dengan jelas memperuntukan bahawa Islam adalah agama bagi Persekutuan. Kes-kes Mahkamah sebelum ini juga memutuskan bahawa Islam itu terletaknya di atas, berdiri di hadapan, dan lebih lantang berbanding agama lain di negara ini. Namun pengiktirafan ini datang dengan tanggungjawab untuk memelihara kesucian dan kedaulatannya.

Perlu untuk mengenali musuh

DAP mungkin telah mengumumkan komitmennya menjayakan konsep ‘Malaysian First’ atau ‘Malaysian Malaysia’. Namun, seperti yang dikatakan oleh aktivis sosial, Lukman Sherrif di laman Facebook beliau bertarikh 15 September 2015, “Sebab inilah mengapa saya dapati bahawa selagi DAP menyokong sekolah vernakular propaganda ‘Malaysian First’ itu adalah rasisma yang terselindung”.

Rakyat Malaysia secara umum adalah sensitif dan cemas berkenaan isu-isu perkauman. DAP sentiasa mencuba untuk menanam kefahaman retorik dan tuduhan yang tidak berasas bahawa golongan yang rasis dan ekstremis itu adalah mereka yang ingin menegakkan Syariah dan mendukung Islam menurut Perlembagaan. Golongan populis seperti DAP akan memulakan kenyataan fakta yang terlalu ringkas dan membenarkan prejudis sedia ada masyarakat untuk menentukan dan mempengaruhi perbincangan di ruangan umum. Akhirnya, kita melihat umat Islam juga yang berbalah sesama sendiri.

Sesungguhnya, ini adalah serupa seperti apa yang dilakukan oleh Syas bin Qais setelah dia ternampak Aus dan Khazraj duduk bersama. Dia meminta seorang pemuda yang berhampiran untuk mendekati Aus dan Khazraj, duduk bersama mereka dan peringatkan kembali peperangan Bu’ats di antara mereka sebelum memeluk Islam dan syair-syair yang mereka bacakan sesama mereka yang penuh dengan cacian. Tidak lama kemudian, Aus dan Khazraj mula berbalah, bilah pedang juga dihunuskan dan pertumpahan darah hampir saja berlaku jika bukan Rasulullah (SAW) datang dan menenangkan keadaan.

Insiden-insiden seperti inilah yang merupakan kezaliman serius terhadap Islam, Perlembagaan dan orang Islam di negara kita.

Seperti yang dilaporkan UN News Centre dalam memetik kenyataan Zeid Ra’ad Al Hussein, Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB, “The formula is therefore simple: make people, already nervous, feel terrible, and then emphasize it’s all because of a group, lying within, foreign and menacing”.

Beliau menambah, “Then make your target audience feel good by offering up what is a fantasy to them, but a horrendous injustice to others. Inflame and quench, repeat many times over, until anxiety has been hardened into hatred”.

Kenyataan ini dibuat dalam membantah cadangan oleh ahli politik Belanda Geert Wilders untuk menghalang kemasukan imigran daripada negara-negara Islam dan menutup masjid, sekolah Islam dan pusat suaka, namun perkara ini turut berlaku di negara-negara lain.

Inilah juga naratif yang ingin dikenakan ke atas rakyat Malaysia; bahawa apabila orang Islam ingin menegakkan Syariah dan menyatakan pandangan dalam Islam terhadap isu semasa, proksi-proksi inilah yang akan menuduh orang Islam sebagai extremis dan rasis.

Lebih mendukacitakan, segelintir orang Islam tidak menyedari siapakah musuh sebenar. Mereka tidak dapat menilai luar dari kepentingan politik mereka dan mereka rela mengorbankan saudara Islam yang menentang mana-mana kumpulan atau individu – atau pun rakan-rakan politik mereka – yang mencuba untuk mengancam Perkara 3 dan menghalang usaha mengukuhkan Islam dan institusinya, termasuk Mahkamah Syariah, sementara mereka kononnya menyatakan Islam sebagai agenda ‘sebenar’ mereka.

Sehingga umat Islam di negara ini bersatu, kita tidak akan mampu melindungi atau mengutuk penindasan yang berlaku ke atas saudara seagama kita dan rakyat Malaysia secara amnya.

Danial Ariff Shaari

www.indahnyaislam.my

text gambar

One thought on “Ancaman terhadap Islam: Teladani kisah Bani Qainuqa’

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *