home Kalam Tokoh, Semasa Biadab bukan budaya kita

Biadab bukan budaya kita

zmri

 

Mengikut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka edisi ke empat, ‘biadab’ membawa maksud tidak ada budi bahasa, tidak beradab, tidak bertamadun, belum maju. Kebiadaban boleh berlaku sama ada dengan pertuturan, perlakuan mahupun isyarat-isyarat tertentu.

Islam sangat mementingkan hidup beradab sama ada kepada Allah, sesama mahkluk dan ketika berinteraksi dengan alam. Ini dapat kita selami apabila kita merujuk kepada rujukan utama Islam iaitu Al-Quran dan As-Sunnah mahupun perlakuan generasi contoh para salafussoleh.

Contohnya ayat ke-4 Surah Al-Qalam, Allah SWT memuji Nabi SAW kerana akhlak baginda yang unggul. “Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia.”

Antara tujuan utama Allah SWT mengutus Rasul adalah di samping mengajak kepada mengesakan Allah, ialah membimbing manusia kepada akhlak yang baik dan Nabi Muhammad SAW sebagai Rasul terakhir melengkapkan misi semua Rasul sebelumnya. Ini dijelaskan dalam beberapa hadis Rasulullah SAW, seperti “Hanya sanya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang soleh” (HR Ahmad).

Bahkan terdapat beberapa hadis Nabi yang mencela orang yang biadab sama ada kebiadaban itu dizahirkan melalui pertuturan mahupun perbuatan. At-Tarmizi meriwayat satu hadis Nabi SAW: “Bukan lah seorang mukmin itu orang yang selalu mengungkap keaiban, melaknat, berperangai buruk dan suka menyakiti”. (Hadith hasan gharib). Imam al Bukhari meriwayatkan sebuah hadis: “Wahai Aisyah ! sesungguhnya seburuk-buruk kedudukan manusia di sisi Allah pada hari kiamat ialah orang yang ditinggalkan oleh manusia kerana mengelakkan kekejiannya.”

Kebiadaban berlaku sama ada dengan pertuturan mahupun perbuatan ataupun penulisan. Seseorang itu dikira biadab apabila ia melanggar tatasusila yang telah ditetapkan oleh agama seperti mencarut, menghina, merendah-rendahkan oranglain ataupun dikira seseorang itu biadab apabila ia melanggar adat-adat sesuatu kaum atau tempat berkenaan.

Contohnya, dikira seseorang itu biadab satu ketika dahulu apabila memasuki rumah orang Melayu dalam keadaan berkasut, membahasakan diri ‘aku’ dan ‘engkau’ ketika berinteraksi dengan ibu bapa ataupun memijak-mijak bendera negara sendiri, mahupun tidak menunjukkan rasa hormat apabila lagu kebangsaan sedang dikumandangkan.

Namun, amat mendukacitakan perkembangan mutakhir di negara kita, apabila fenomena kebiadaban ini semakin menjadi-jadi seperti sudah hilang rasa hormat anak-anak kepada orang tua dan guru, menggunakan perkataan kotor dan lucah ketika memberi komen di dalam media maya, menunjukkan isyarat lucah seperti menunjukkan jari tengah bukan setakat berada di atas jalan raya, bahkan di dalam majlis yang bersifat rasmi. Malangnya ia juga dilakukan oleh orang yang berpelajaran.

Tahap kebiadaban ini sampai ke peringkat mencela orang yang sudah mati termasuk ulamanya dan dilakukan tanpa mengira sensitiviti umat Islam sebagai majoriti rakyat negara ini yang sangat menghormati ulama mereka dan institusi mereka.

Adalah sangat biadab apabila ulama dan agensi agama yang menjaga hal ehwal agama Islam sebagai agama negara ini diberikan anugerah yang bersifat satu penghinaan oleh beberapa badan bukan kerajaan yang kononnya membela wanita. Sering digahkan oleh mereka bahawa masyarakat perlu berfikiran terbuka menerima perbezaan, namun tindakan mereka menafikan apa yang mereka dakwa. Biadab bukan budaya rakyat Malaysia.

Kebiadaban ini sampai tahap mencela orang yang telah meninggal dunia. Mungkin terpengaruh dengan penghinaan karikatur negara Barat kepada junjungan besar Nabi SAW, walaupun Baginda SAW sudah lama wafat yang berlaku sebelum ini, ia juga berlaku di dalam negara ini. Mungkin berbeza pandangan dan aliran politik, namun untuk menjaga hak sebagai manusia, maka celaan-celaan sejurus kematian sepatutnya satu kebiadaban yang mesti ditolak oleh semua rakyat negara ini tidak kira apa juga agama dan bangsa.

Nabi SAW melarang keras mencela orang yang sudah mati, kecuali celaan itu memang ada di dalam al-Quran seperti terhadap Firaun dan Abu Lahab. Baginda bersabda: “Jangan kalian mencela mayat kerana mereka telah mendapatkan apa yang mereka telah kerjakan” (HR Al-Bukhari)

Marilah kita menjadi rakyat yang beradab, sentiasa menjunjung Perlembagaan Negara yang setakat ini berjaya mengurus kepelbagaian rakyatnya dan marilah kita menjaga sensitiviti orang lain ketika kita berbicara.

Kewajipan kita sebagai orang Islam adalah untuk menerangkan, menegur dan menasihati rakan-rakan bukan Islam jika mereka tersilap mahupun terlanjur, bukan sebaliknya membekalkan kepada mereka hujah-hujah untuk mereka berasaperbuatan mereka itu tidak salah. Apatah lagi jika yang melakukannya adalah orang Islam.

Sahibus Samahah Ustaz Zamri Hashim
Timbalan Mufti Perak

www.indahnyaislam.my

text gambar

One thought on “Biadab bukan budaya kita

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *