home Semasa Ekstrimis Dua Kutub yang menyebabkan umat Islam berperang sesama sendiri

Ekstrimis Dua Kutub yang menyebabkan umat Islam berperang sesama sendiri

ust-hazizi

 

1) Tiada musuh luar dan asing yang tidak boleh dikalahkan oleh umat Islam, kecuali apabila umat terpaksa berdepan dengan perpecahan dalaman.

2) Allah Taala banyak kali mengingatkan dalam al-Quran agar umat Islam mentaati Allah dan Rasul-Nya dan jangan bersengketa sesama sendiri, kerana yang demikian akan melemahkan kekuatan umat Islam bagi memerangi musuh sebenar dan seterusnya membawa kepada kegagalan. Salah satu ayat yang perlu direnungi ialah ayat 46 Surah al-Anfal.

3) Perbezaan pendapat merupakan perkara biasa seperti biasanya perbezaan warna kulit, saiz badan dan sebagainya. Perbezaan ini membawa kepada kekayaan sumber dan kekuatan kolektif jika dikendalikan dengan baik.

4) Tetapi perbezaan yang membawa bencana dan malapetaka kepada umat dan menyebabkan pertumpahan berdarah sesama muslim di sepanjang sejarah ialah perbezaan yang bertunjangkan ekstrimisme, taksub dan sikap melampau yang menjurus kepada dua kutub aliran; Pertama ialah kutub ‘Ilhad’ dan kedua ialah kutub ‘Batiniah’.

5) Kutub ‘Ilhad’ diwakili oleh ekstrimis sekular liberal yang membuang agama daripada kehidupan bermasyarakat, apatah lagi kehidupan bernegara. Agama Islam di sisi mereka hanyalah urusan peribadi dan pengamalannya terpulang kepada tafsiran setiap individu tanpa perlu merujuk kepada mana-mana pihak yang berautoriti (dari sudut kelayakan dan pentadbiran).

6) Kutub ‘Batiniah’ diwakili ekstrimis pentaksub imam seolah-olah wakil Tuhan, yang mengada-adakan doktrin akidah dan ibadah ciptaan sendiri tetapi “dipakaikan dengan pakaian agama” (mendakwa ajaran itulah ajaran Islam). Rujukan tertinggi mereka ialah para imam dan syeikh mereka sahaja, yang dilihat lebih berautoriti dan lebih tinggi dalam menafsirkan Islam berbanding tafsiran Quran, Sunnah dan pegangan para sahabat secara kolektif.

7) Kedua-dua kutub ini mempunyai hubungan yang rapat dengan orang-orang kafir yang terang-terangan memusuhi Islam. Cuma kutub ‘Batiniah’ menyembunyikan hakikat hubungan mesra ini, tidak seperti kutub ‘Ilhad’.

8) Berhampiran dengan kedua-dua kutub ini ialah pengikut-pengikut yang kagum dan terpegun dengan penampilan zahir dan lapisan luar idea setiap kutub, dalam keadaan mereka jahil tentang Islam yang tulen.

9) Golongan munafiqin yang menjayakan agenda musuh dalam kalangan umat Islam, bergerak di sekitar kedua-dua kutub ini. Tidak berada dalam kalangan pemimpin kutub, tetapi mereka juga tidak menentang kutub-kutub ini secara jelas dan terang, sedangkan umat Islam diajar bahawa dalam soal akidah tiada ‘Tauriyah’ (penyamaran).

10) Bahasa, kecenderungan dan pendekatan pemimpin kedua-dua kutub serta pengikut yang “bermain” berhampiran kutub itu ialah permusuhan sesama Islam, hatta dalam soal remeh temeh. Mereka akan menghabiskan masa dengan kajian dan penyelidikan, serta kempen untuk mencari titik-titik perbalahan sesama Islam. Inilah yang berjaya dilakukan oleh Daesh di Syria (sekadar contoh sahaja, sedangkan golongan ini wujud sejak zaman sahabat lagi).

11) Kita mesti berpegang teguh pada Islam, menurut tafsiran Quran, Hadith dan pegangan para sahabat secara kolektif. Pegangan para sahabat secara kolektif adalah tafsiran terbaik bagi pendekatan ‘Wasatiyah’ (pertengahan) yang dianjurkan Quran. Dua tanda kita berada jauh daripada ‘Wasatiyah’ ialah pertama apabila kita tidak merujuk sangat kepada Quran dan Hadith serta amalan para sahabat secara kolektif. Kedua apabila kita taksub terhadap peribadi-peribadi tertentu.

12) Bagaimanapun, kewujudan dua kutub sememangnya dengan keizinan Allah jua, untuk menguji kita dan memilih untuk bersama mereka yang bersabar (rujuk ayat 46 al-Anfal di atas).

Wallahu a’lam. Semoga bermanfaat pesanan ini, dalam suasana perpecahan umat yang menjurus kepada kemusnahan dan malapetaka.

Ustaz Mohd Hazizi Ab Rahman

www.indahnyaislam.my

text gambar

One thought on “Ekstrimis Dua Kutub yang menyebabkan umat Islam berperang sesama sendiri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *