home Semasa Ibrah penyembelihan Nabi Ismail AS: Permudahkan perlaksanaan syariat

Ibrah penyembelihan Nabi Ismail AS: Permudahkan perlaksanaan syariat

hikayat-ilustrasi

 

فَلَمَّا بَلَغَ مَعَهُ السَّعْيَ قَالَ يَا بُنَيَّ إِنِّي أَرَىٰ فِي الْمَنَامِ أَنِّي أَذْبَحُكَ فَانْظُرْ مَاذَا تَرَىٰ ۚ قَالَ يَا أَبَتِ افْعَلْ مَا تُؤْمَرُ ۖ سَتَجِدُنِي إِنْ شَاءَ اللَّهُ مِنَ الصَّابِرِينَ.

Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?”. Anaknya menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati aku dari orang-orang yang sabar.” [ As-Saffat: 102 ]

فَلَمَّا أَسْلَمَا وَتَلَّهُ لِلْجَبِينِ.

“Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim – dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah Kami).” [ As-Saffat: 103 ]

Ayat ini telah diturunkan bagi memuji pengorbanan dan keimanan seorang muda, iaitu Nabi Ismail ketika mana diberitahu oleh bapanya berkenaan perintah Allah SWT agar Nabi Ibrahim menyembelihnya.

Di dalam Al-Quran, Allah berikan dua kisah penyembelihan yang diperintahkan oleh-Nya yang memberi gambaran keimanan manusia dalam ketaatan untuk melaksanakan syari’at.

Nabi Ismail AS memberi tunjuk jalan untuk memudahkan melaksanakan syari’at, di mana Nabi Ismail melontarkan cadangan kepada si ayah Nabi Ibrahim agar meletakkan mukanya ke arah tanah. Nabi Ismail meminta demikian untuk mengelakkan saling bertentang mata, supaya Nabi Ibrahim tidak berasa simpati dan hilang kesanggupan untuk menyembelih anaknya. Bahkan, Nabi Ismail meminta ayahnya supaya ditajamkan dahulu pisaunya sebelum digunakan untuk menyembelih.

Inilah antara sifat orang-orang beriman yang berusaha untuk mencari jalan untuk memudahkan pelaksanaan syari’ah. Berbeza dengan kisah penyembelihan satu lagi, sikap Bani Israel yang meminta bantuan menyelesaikan kes jenayah dalam kalangan mereka lalu Allah perintahkan supaya mereka menyembelih lembu.

Bani Israel mempertikaikan soal kerja teknikal seperti yang telah diceritakan sebelum ini, menggambarkan syari’at itu seolah-olah susah hendak dilakukan. Sedangkan syari’at mereka hanyalah sembelih lembu, lebih senang jika hendak dibandingkan dengan syari’at Nabi Ibrahim menyembelih anaknya sendiri yang sangat berat bahkan tidak masuk akal.

Kisah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail ini secara luarannya memberi gambaran pengorbanan, namun asasnya adalah satu kefahaman yang menjadikan sikap dan tindakan dua Nabi ini sanggup berkorban, iaitu memahami perintah Allah. Pada hari ini kita memahaminya sebagai Fiqhul Nusus iaitu ilmu fiqah untuk memahami autoriti Allah, memahami perintah-perintah Allah. Kemudiannya, ilmu yang mengimbangi memahami perintah Allah itulah yang dipanggilnya disiplin ilmu Maqasidul Syariah.

Syari’at yang diturunkan sejak Nabi Adam, Allah memerintah agar manusia menjaga anak. Namun sampai saat kepada Nabi Ibrahim, Allah perintah agar disembelihnya Nabi Ismail. Sekiranya kita mengikut logik akal sudah tentu kita memberi tanggapan ini satu kerja gila yang tidak masuk akal, satu perintah yang tidak nampak langsung hikmah dan kebaikan di sebaliknya. Di mana Maqasidul Syariah?

Dalam perbahasan ilmu Maqasidul Syariah, lima kepentingan telah dibahagikan bagi manusia mengikut turutan iaitu menjaga agama, menjaga nyawa, menjaga akal, menjaga maruah dan menjaga harta. Islam mengajar lima kepentingan ini merupakan rukun hidup bagi manusia.

Hari ini kita melihat ramai yang membuat tanggapan bahawa maslahat nilai-nilai Islam itu berbeza dengan pelaksanaan syariat. Kesilapan orang hari ini, memandang maslahat dengan logik akal terlebih dahulu sebelum melaksanakan syariat Islam. Sedangkan dalam perbincangan Maqasidul Syariah, pelaksanaan syariat itu sendiri memberi maslahat walaupun kadangkala kita menerima mudarat.

Kita melihat bagaimana tindakan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail memahami Fiqhul Nusus dan Maqasidul Syariah. Nabi Ibrahim melebihkan perintah agama daripada nyawa anaknya sendiri. Nabi Ismail berani merisikokan dirinya walaupun dirinya akan mati, namun beriman dengan melaksanakan perintah Allah itu akan memberi maslahat.

Maqasid yang tidak tercapai oleh akal fikiran kedua-dua Nabi ini, rupa-rupanya Allah hendak kurniakan mereka menikmati daging kambing. Bukan semua maslahat di sebalik pelaksanaan syari’at itu Allah berikan pengetahuan kepada manusia. Sengaja Allah menyembunyikan maqasid, diperintahkan terlebih dahulu supaya melaksanakan syari’at. Begitu juga hikmah di sebalik perintah Allah meninggalkan Siti Hajar, rupa-rupanya sehingga ke hari ini kita menikmati air zam-zam. Sekiranya kedua-dua Nabi ini tidak melaksakan perintah Allah, adakah kita dapat merasa nikmat sembelihan setiap tahun pada hari ini?

Di sinilah pentingnya kita beriman dengan perkara ghaib, habuan yang hendak Allah kurniakan akan datang yang kita tidak tahu. Boleh sahaja jika mahu Nabi Ismail mempersoalkan apa rasional dan maslahat di sebalik perintah Allah itu. Tetapi tidak, Nabi Ismail lebih memahami autoriti perintah Allah berbanding menimbulkan sangkaan terhadap suruhan Allah SWT itu, bahkan Nabi Ismail mencari jalan untuk memudahkan pelaksanaannya.

Sumber: http://ulamasedunia.org/2016/09/03/maqasid-syariah-penyembelihan-nabi-ismail-as/

www.indahnyaislam.my

 

text gambar

One thought on “Ibrah penyembelihan Nabi Ismail AS: Permudahkan perlaksanaan syariat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *