home Semasa Kempen bantuan musim sejuk Aman Palestin diteruskan

Kempen bantuan musim sejuk Aman Palestin diteruskan

 

KUALA LUMPUR: Aman Palestin Berhad (Aman Palestin) meneruskan usaha membantu rakyat Palestin dan Syria di kem pelarian dengan mengadakan kempen Aid For Syria.

Kempen bermula pada September 2016 sehingga April 2017 itu memperkenalkan dua pakej utama iaitu Pakej Bantuan Musim Sejuk (BMS) bernilai RM150 dan RM10 bagi Pakej Ten4Syria yang difokuskan melalui atas talian.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Awang Suffian Awang Piut, berkata kempen kali ini agak besar berikutan jumlah yang disasarkan sebanyak RM22.5 juta bagi membantu rakyat Palestin dan Syria yang memerlukan.

“Pakej BMS memperuntukkan 30,000 lot iaitu bantuan dalam bentuk makanan, bantuan alat pemanas, perubatan untuk diberikan kepada lebih 5,000 keluarga bagi menghadapi musim sejuk.

“Setiap keluarga mempunyai lebih kurang tujuh ahli, jadi seramai 35,000 orang akan mendapat manfaat dengan harga RM850 setiap keluarga.

Melalui pakej BMS kita akan uar-uarkan secara agresif supaya ia habis secepat yang mungkin.

“Kempen dinamakan Aid4Syria kerana negara Syria juga adalah sebahagian daripada bumi Syam, jadi untuk membebaskan Palestin daripada cengkaman Zionis kita perlu memasuki bumi Syria,” katanya semasa sidang media Kempen Aid For Syria.

Yang turut hadir, tiga orang duta Aman Palestin sempena kempen berkenaan iaitu pelakon cilik yang juga model, Mia Sarah Nasuha Muhammad Ridhuan, Pencetus Ummah (PU) Yeop dan selebriti YouTube Hasbi Muh Ali.

Awang Suffian berkata, perkembangan terkini yang berlaku di sana sangat menyayat hati, seolah tiada sifat kemanusiaan dengan lebih tujuh juta rakyat Syria menjadi pelarian di negara sendiri.

Sementara itu, katanya, sebanyak 137 lembu dan 387 kambing dengan jumlah keseluruhan RM2 juta berjaya diagihkan Aman Palestin di tiga negara sempena ibadah korban.

Agihan hasil sumbangan seluruh rakyat Malaysia itu dilakukan Aman Palestin kepada warga Palestin di tiga negara iaitu Palestin, Syria dan Lubnan. – BH

www.indahnyaislam.my

text gambar

One thought on “Kempen bantuan musim sejuk Aman Palestin diteruskan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *