home Semasa Perak lancar kempen solat Subuh berjemaah

Perak lancar kempen solat Subuh berjemaah

image-8

 

IPOH – Kerajaan negeri melalui kerjasama Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk) dan Yayasan Dakwah Islam Darul Ridzuan (Kadir) melancarkan Kempen Solat Subuh Berjemaah di Masjid, di Kediaman Menteri Besar Perak, di sini, kelmarin.

Pelancaran tersebut disempurnakan sendiri Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dengan gimik mengetuk kerantung sebelum diikuti laungan azan.

Berucap selepas melancarkannya, Zambry berkata, kempen itu merupakan usaha yang baik bagi menggalakkan masyarakat Islam mendirikan solat Subuh secara berjemaah di masjid.

“Ini merupakan salah satu cabaran baharu, proses tarbiah umat Islam. Subuh ini penuh dengan rahsia besar.

“Dengan usaha ini, kita doa semoga ALLAH berkati dan memberi kekuatan untuk istiqamah dalam meneruskan usaha ini,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Zambry mendedahkan usaha solat Subuh secara berjemaah di masjid itu bukanlah baharu kerana telah dilakukan oleh pihak Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut.

Katanya, lebih membanggakan, ia diketuai sendiri oleh Panglima Armada, Laksamana Madya Datuk Mohamad Roslan Mohamad Ramli.

Zambry berkata, beliau kagum dengan usaha yang dilakukan pihak TLDM itu yang mampu menjadikan agensi itu sebuah pasukan yang hebat.

“Jadi, kita harap bukan sahaja di TLDM, malah di seluruh negeri ini boleh digerakkan untuk sama-sama menunaikan solat Subuh di masjid,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jaipk, Datuk Mohd Yusop Husin berkata, kempen berkenaan akan dimulakan di masjid-masjid daerah dan semua masjid di negeri ini.

Katanya, selain dibekalkan dengan kain rentang berkenaan kempen ini, medium khutbah Jumaat turut digunakan dalam usaha menggalakkan orang ramai menunaikan solat Subuh berjemaah di masjid.

Beliau berkata, idea itu timbul selepas melihat ketika bulan Ramadan lalu ramai yang menunaikan solat Subuh tetapi selepas itu jumlah jemaah semakin berkurang.

“Jika bukan Islam boleh bangun awal pagi untuk bersenam, kenapa tidak orang Islam bangun awal pagi untuk solat Subuh berjemaah di masjid sebagai tanda bersyukur.

“Malah, kita sendiri tahu fadilat bangun awal pagi ini terutama waktu Subuh,” katanya.

Sumber: sinarharian

www.indahnyaislam.my

text gambar

2 thoughts on “Perak lancar kempen solat Subuh berjemaah

  1. alhamdulillah .semoga semua terus istiqomah , Negeri dn rakyat Perak dilimpahi barokah dn Allah lindungi kita semua. Aamiin ya rabbal alamiin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *