home Semasa Hijab: Antara perintah Tuhan dan hak saya

Hijab: Antara perintah Tuhan dan hak saya

photo_2016-10-05_10-21-15

 

Bagaimana cara hendak menarik rakan-rakan supaya berhijab? Bagaimana nak pujuk mereka supaya istiqamah dalam? Bagaimana nak memberi kefahaman kepada mereka mengenai aurat? Bagaimana nak fahamkan mereka bahawa berhijab ini tuntutan, bukan fesyen mahupun trend?

Itu antara persoalan yang sering timbul. Kita tidak nafikan fenomena berhijab sejak akhir-akhir ini seperti memberi aura positif bahawa muslimah Islam kini sudah semakin sedar akan kewajipan tuntutan agama.

Rata-rata muslimah yang sebelum ini tidak berhijab, akhirnya memilih untuk berhijrah. Sebab rincinya hanya mereka sendiri yang tahu.

Tetapi sedarkah kita, dalam keikhlasan untuk berhijab, masih ramai yang menjadikan hijab ini sebagai fesyen dan trend sehingga jauh menyimpang daripada kewajipan Islam yang sebenar.

Bahkan ramai wanita yang seolah-olah tidak takut akan dosa seperti mempermainkan tuntutan agama. Hari ini berhijab, esok lusa sudah hilang ke mana hijab yang dipakai.

Hakikatnya, berhijab bukan gaya mahupun trend, namun berhijab adalah ahklak, moral, ketaatan kita kepada Allah yang satu. Islam menuntut agar wanita menutup aurat adalah sebagai bentuk ibadah yang mulia dan wajib hukumnya.

Muslimah dianjurkan untuk menutupi auratnya mereka agar mereka senantiasa terhindar daripada niat jahat manusia dan mahu mengubah hidup mereka lebih dekat kepada Allah SWT.

Kalau kita soroti, ada lima golongan berkaitan hijab ini.

Golongan 1 : Saya anggap hijab adalah tidak wajib bagi muslimah. Ia lebih kepada pilihan peribadi, dan Tuhan tidak memaksakan ke atas saya untuk berhijab. Hijab bukan penanda aras dosa pahala, mahupun kebaikan dan keburukan seseorang.
Golongan ini yang paling berbahaya. Pegangan mereka secara tidak langsung boleh menjadi ancaman dan menggugat akidah wanita Islam lain.

Contohnya, pertubuhan liberal Sister In Islam (SIS) berulang kali mengungkapkan bahawa pemakaian hijab adalah tidak wajib dan bukan tuntutan Islam. Lebih malang, SIS mengatakan pakaian tidak mencerminkan keimanan seseorang.

Mereka lantang menyangkal pandangan bahawa al-Quran secara jelas dan terang menentukan bentuk pakaian muslimah.

Mereka tidak memperhatikan hakikatnya pada ayat 31 surah An-Nuur dan ayat 59 surah Al-Ahzab mengenai pakaian bagi wanita Islam.

“Katakanlah kepada wanita yang beriman: “Hendaklah mereka menahan (menjaga) pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan (memanjangkan) kain tudung (khimar) ke dadanya…..” (Ayat 31 surah An-Nuur)

“Hai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin: “Hendaklah mereka mengenakan (dan melabuhkan) jilbabnya (pakaian) ke seluruh tubuh mereka”. Dengan demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenali, dan dengan itu mereka tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Ayat 59 surah Al-Ahzab)

Golongan 2: Saya anggap hijab adalah wajib bagi muslimah, tetapi saya masih belum berhijab kerana belum bersedia. Ini kerana bila berhijab memerlukan banyak komitmen.

“Biarlah ianya datang daripada saya sendiri, bukan dipaksa sesiapa. Bila tiba masa, Insya-Allah saya bertudung”

“Bertudung kena ikhlas, kalau tak ikhlas tak ada makna pun bertudung”
“Saya belum ke arah itu lagi, tetapi doakanlah yang baik-baik.”

Hakikatnya, jika bukan sekarang bila lagi?

Golongan 3: Saya berhijab, tetapi saya bebas ingin buat apa sahaja. Hijab tidak memberhentikan saya membuat apa yang saya mahu seperti menari ballet, bergambar di majalah Playboy

Sayangnya bila berhijab, mereka tidak mengetahui tujuan sebenar mereka untuk berhijab. Tingkah laku dan akhlak masih berada di takuk yang lama tanpa apa-apa perubahan.

Sebab itu ada yang kata, “Pakai tudung labuh tapi perangai buruk nak buat apa, baik lagi orang yang tak pakai tudung, tapi hati baik…”

Hakikatnya, pakai hijab, tudung dan menutup aurat itulah yang membezakan antara wanita Islam dan wanita bukan Islam.

Golongan 4: Suka hati wanita ingin pakai apa sahaja yang dikehendaki. Dan wanita tidak boleh dipaksakan keinginan mereka. Lelaki yang harus menjaga pandangan dan menjaga tingkah laku mereka.

Ayat yang sentiasa kita dengar…”Alaa dah okay la ni pakai tudung. Rambut tak nampak, leher pun tak nampak. Nampak sikit sikit tu biasalah.

“Alaaa panjangnya shawl ni. Lipat biar jadi pendek sikit. Labuh labuh buat serabut pulak”

“Tak suka la paksa-paksa pakai tudung”

“Biarlah tak bertudung, bukan nak tunjuk kat siapa-siapa pun”

Realitinya, berhijab adalah tuntutan agama. Allah mengarahkan seluruh wanita muslimah untuk menutup aurat tidak kira sama ada seseorang itu ikhlas atau tidak, suka atau tidak, disuruh oleh orang lain atau terbit dari hatinya sendiri.

Golongan 5: Golongan yang memahami erti hijab sebenar.

Alhamdulillah. Inilah muslimah yang terbaik dan patut diteladani. Mereka berhijab kerana Allah dan memahami erti sebenar tuntutan Islam. Bertuahlah ibu bapa yang mendapat anak perempuan seperti ini dan jika berumah tangga, bertuahlah si suami.

Perlu diingat, jika seseorang menutup aurat secara ikhlas atau separa ikhlas, maka dia akan beroleh ganjaran sekadar keikhlasannya. Namun tanggungjawab fizikal yang diwajibkan oleh agama dikira sudah terlaksana secara zahirnya.

Lalu, apakah benar berhijab adalah hak peribadi seseorang sedangkan dirinya sendiri adalah milik Allah?

Siti Fatimah Ishak
Wartawan Ismaweb

Sumber: http://www.ismaweb.net/2016/10/hijab-antara-perintah-tuhan-dan-hak-saya/

www.indahnyaislam.my

text gambar

One thought on “Hijab: Antara perintah Tuhan dan hak saya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *