home Semasa Khutbah Jumaat: Janganlah biarkan wang menguasai diri

Khutbah Jumaat: Janganlah biarkan wang menguasai diri

ringgit-gen

 

BANGI, 6 Muharam 1438H, Jumaat – Umat Islam diingatkan untuk tidak lupa diri semata-mata kerana wang demi mencari kesenangan meskipun terpaksa melakukan kejahatan yang menyusahkan orang lain.

Menerusi Khutbah Jumaat Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) hari ini berkata, hanya kerana wang pelbagai perkara boleh berlaku sehingga di luar batasan Islam.

“Kerana wang, ada manusia yang sanggup menjadi hamba wang dengan melakukan kegiatan jenayah seperti mencuri, menculik, membunuh, pecah amanah, rasuah, penindasan, keganasan, ajaran sesat dan melakukan kezaliman-kezaliman lain.

“Kerana wang, ada manusia yang menjadi keras hati, kedekut dan bakhil. Mereka beranggapan, bahawa wang yang mereka perolehi ini adalah daripada hasil usaha dan titik peluh mereka sendiri yang tidak boleh dikongsi oleh sesiapa.

“Kerana wang, ada dikalangan manusia menghadapi masalah rumahtangga yang semakin kritikal. Hal ini berlaku disebabkan kerana ibu bapa sibuk mencari nafkah dari pagi hingga ke larut malam sehingga terabai tanggungjawab terhadap keluarga.

“Kerana wang, berapa ramai di antara manusia yang tergolong dalam golongan anak yang derhaka yang sanggup memutuskan hubungan silaturrahim dengan ibu bapa mereka.

“Kerana wang, ada dikalangan manusia semakin tamak. Perasaan belas kasihan, bertimbang rasa, bantu membantu dan membuat kebajikan sudah tidak wujud dalam diri mereka,” kata kenyataan khutbah itu.

Justeru, mimbar Jumaat sekali lagi mengingatkan bahawa adalah tidak salah untuk kita mencari wang yang banyak bagi meningkatkan taraf kehidupan ekonomi keluarga.

Malah Islam menggalakkan umatnya supaya berusaha mencari wang untuk tujuan menjalani kehidupan harian memenuhi keperluan perbelanjaan harian.

“Tetapi perlu ingat, janganlah jadikan wang menguasai diri, mendatangkan permasalahan dan kemudaratan dalam kehidupan kita termasuk segala bentuk penyelewengan, rasuah, salah guna kuasa dan sebagainya,” kata khutbah itu. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

text gambar

One thought on “Khutbah Jumaat: Janganlah biarkan wang menguasai diri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *