home Perkongsian Siyasah, Semasa Negara Islam tidak tertegak tanpa kekuatan keimanan rakyat yang dominan

Negara Islam tidak tertegak tanpa kekuatan keimanan rakyat yang dominan

bb56

 

Keperluan menegakkan negara Islam adalah bagi memastikan Syariah Allah berada di tahap yang tertinggi di dunia ini. Hukum Allah tidak akan dapat dilaksanakan secara sempurna dan menyeluruh tanpa kekuatan sebuah negara yang menguasai dunia. Inilah hakikatnya mengapa Rasulullah SAW dan para Sahabat berhijrah ke Madinah dan membentuk sebuah negara. Tanpa kekuatan sebuah negara, Islam dan arahan-arahan Allah s.w.t tidak mampu diimplementasikan secara sempurna di dunia ini.

Maka apabila mana kita memahami kewajipan mewujudkan negara Islam yang hakiki, kita juga perlu memahami keperluan asas negara Islam yang kukuh. Kita perlukan pemerintah dan rakyat yang benar-benar beriman dan berpegang teguh pada Syara’. Jika tidak, bagaimana pemerintah ingin implimentasi syara’ dalam negara jika rakyat sendiri tidak mahukan syara’? Ketuanan syara’ dan kemahuan rakyat tidak dapat dipertemukan melainkan rakyat sendiri  terbimbing sepenuhnya dan inginkan syara’.

Bertitik tolak dari situlah mengapa Rasulullah SAW sanggup bersabar selama 13 tahun di Makkah dengan mendidik para Sahabat r.a dengan didikan keimanan (aqidah). Kerana Rasulullah sangat tahu bahawa hanya permulaan dengan Aqidah dapat merealisasikan matlamat (البدء بالعقيدة يحقق كل هدف)[1]. Rasulullah dan para Sahabat jelas bahawa matlamat akhirnya adalah membawa manusia kesuluruhannya tunduk kepada beriman kepada Allah s.w.t dan tunduk kepada sistem Islam, maka jalannya wajib jelas dan berterus terang sejak dari langkah pertama demi menjamin tercapainya matlamat.

Antara hasil didikan (tarbiyyah) Rasulullah SAW selama 13 tahun ialah, apabila disyariatkan suatu perkara seperti pengharaman arak dan hukuman-hukuman seperti hudud di Madinah, ia bukanlah satu bebanan ke atas para Sahabat. Sahabat yang dikenakan hukuman  hudud amatlah sedikit.

Proses penegakan negara Islam bermula dengan fokus pembentukan peribadi muslim dengan dasar keimanan kepada Allah SWT dalam skala besar sebagai asas yang kuat bagi sesebuah keluarga dan masyarakat seterusnya negara. Proses pembentukan skala besar ini tidak berlaku setahun dua, tetapi bertahun-tahun, bagi menghasilkan buah yang begitu matang.

Hasil didikan keimanan yang kukuh, para Sahabat r.a mengimani kalimah “la Ilah illa Allah” dalam apa jua situasi dan masa. Bukan hanya beriman apabila ditawarkan manfaat-manfaat duniawi dan dipamerkan kecantikan serta kehebatan sistem negara Islam. Tidak, sama sekali tidak. Mereka beriman kepada Allah dengan penuh keikhlasan yang datang dari lubuk hati yang murni dengan kesedaran aqidah yang tertanam dalam diri dalam apa jua situasi dan masa. Sebab itulah kita dapat lihat kesungguhan mereka dalam berjihad dan berani berkorban nyawa demi menegakkan Islam di muka bumi ini.

Dengan terbinanya negara Islam yang hakiki, barulah manusia akan berbondong-bondong memasuki Islam, selepas mereka bebas dari semua sistem dan pemikiran yang mencengkam mereka selama ini.

Dengan aset fitrah yang dimiliki, mereka dapat lihat dengan mata hati bagaimana sistem Negara Islam dapat mentadbir mereka dengan adil dan cemerlang, lantas tunduk patuh dengan pemerintahan Islam ataupun terus memeluk Islam.

Lihatlah peristiwa pembukaan Kota Makkah tatkala berbondong-bondong manusia memeluk Islam tanpa sebarang paksaan. Kerana Islam berjaya ditegakkan dan diimplementasikan secara SEMPURNA dalam konteks sebuah negara, lantas mereka yang bukan Islam tertarik untuk memeluk Islam setelah bebas daripada sebarang sistem dan pemikiran yang menentang Islam ketika itu.

Ustaz ahmad bin Khairuddin

www.indahnyaislam.my

Rujukan:

[1] Lihat: Syeikh Dr. Solah al-Khalidi, Ma`alim fi al-Toriq: dirasah & tahqiq,m/s 49.

text gambar

One thought on “Negara Islam tidak tertegak tanpa kekuatan keimanan rakyat yang dominan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *