home Semasa ‘Pesan arwah mama penguat saya’

‘Pesan arwah mama penguat saya’

 

Batu Caves: “Pesanan arwah mama buat saya kuat untuk teruskan hidup,” itu kata Hairul Raffique Asraf Azman, 26, penghidap penyakit kaki gajah atau nama saintifiknya Elephantiasis yang pernah berhasrat untuk membunuh diri akibat tekanan daripada penyakit itu.

Hairul Raffique berkata, dia berasa malu untuk berdepan orang ramai dalam keadaan kakinya yang besar sebelah sejak enam tahun lalu selepas kaki kanannya melecet serta mengalami demam selama dua minggu.

Katanya, selepas setahun mengalami penyakit itu dia berasa sangat tertekan dengan keadaannya yang menyebabkan orang ramai sering menyalahkan dirinya dan rakan mula menjauhkan diri.

“Disebabkan itu saya rasa mahu bunuh diri kerana menganggap saya tiada masa depan sehingga sanggup meminta arwah mama saya membelikan racun. Tetapi arwah mama tidak henti-henti memberi nasihat dan semangat.

“Mama meninggal dunia Disember tahun lalu dan semua pesanannya menjadi penguat untuk saya teruskan hidup sebagai seorang yang berguna dan berdikari,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Nakhoda, di sini, semalam.

Menurutnya, sejak dua tahun lalu dia mula berjinak-jinak dalam bidang rekaan grafik dan bekerja sendiri untuk mengumpul perbelanjaan bagi kos rawatan dan pembedahan yang mahu dilakukan ke atas kakinya.

Kata Hairul, daging mati yang ‘menumpang’ di kaki kanannya seberat 60 kilogram itu boleh dibuang sekiranya kesihatannya dalam keadaan baik dan dianggarkan menelan kos RM5,000 di hospital kerajaan.

“Arwah mama pesan jangan mengharapkan bantuan orang lain tetapi berusaha sendiri. Jadi saya tidak boleh bergantung pada sumbangan semata-mata, sebaliknya saya cuba berusaha untuk mengumpul sendiri kos pembedahan.

“Meskipun hanya boleh mengumpul RM50 hingga RM300 sebulan, saya cuba buat yang terbaik untuk berdikari sendiri seperti arwah mama harapkan,” kata anak kelima daripada enam beradik itu,” katanya yang juga pemegang kad orang kurang upaya (OKU).

Hairul Raffique menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM350 sebulan dan mendapat diskaun bayaran langganan bulanan Internet daripada Telekom Malaysia (TM) yang digunakan untuk kerja sambilan sebagai pereka grafik.

Orang ramai yang ingin memberi sumbangan supaya pembedahannya boleh dipercepatkan boleh disalurkan melalui akaun Bank Islam 12225020187626 atas nama Hairul Raffique Asraf. – hmetro

www.indahnyaislam.my

text gambar

One thought on “‘Pesan arwah mama penguat saya’

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *