home Perkongsian Siyasah, Semasa Prinsip-prinsip negara Islam berdasarkan Piagam Madinah

Prinsip-prinsip negara Islam berdasarkan Piagam Madinah

medina

 

Berdasarkan Piagam Madinah dan juga amalan Rasulullah SAW dalam mentadbir Madinah, Negara Islam berdiri di atas beberapa prinsip yang tidak boleh ditolak ansur dan bersifat kekal (thabit) sehingga hari kiamat seperti berikut: [1]

  1. Hakimiyyah Allah (Pemerintahan dan kekuasaan hanyalah milik Allah swt).
  2. Syura
  3. Keadilan
  4. Ketaatan

1) Hakimiyyah Allah

Hakimiyyah Allah bermaksud hanya Allah s.w.t yang mempunyai hak untuk menggubal undang-undang (tasyri`) ke atas makhluknya. Hanya Dia lah yang layak menghalalkan dan mengharamkan sesuatu.[2] Ini bermakna, manusia wajib mengikut apa saja ketetapanNya kerana Allah adalah pemerintah tertinggi di dunia yang tiada tandingannya.

Ulama telah meletakkan satu kaedah yang selari dengan dasar Hakimiyyah Allah ini iaitu;

“السيادة للشرع والسلطة للأمة”

(Ketuanan dunia ini adalah milik Allah, dan pemerintahan adalah milik Umat Islam)

السيادة للشرع”  bermaksud, Allah adalah pemerintah tertinggi, hanya Allah SWT sahaja yang punyai hak untuk menghalalkan dan mengharamkan sesuatu. Manusia wajib mengikut apa saja ketetapanNya.

Manakala السلطة للأمة pula bermaksud, umat Islam diberi hak untuk memilih dan melantik pemimpin dari kalangan mereka (iaitu orang Islam sendiri, bukan kafir) yang berwibawa yang mampu memikul tanggung jawab menegakkan prinsip Al-Hakimiyyah Lillah dalam negara. Kaedah السلطة للأمة ini juga selari dengan prinsip syura yang dipelopori oleh Rasulullah SAW dan para Sahabat r.a

2) Syura

Syeikh Dr. Muhammad Abdul Qadir Abu Faris mendefinisikan syura seperti berikut:

تقليب الآراء المختلفة ووجهات النظر المطروحة في قضية من القضايا واختبارها من أصحاب العقول والافهام حتى يتوصل إلى الصواب منها , أو إلى أصوبها و أحسنها ليعمل به حتى تتحقق أحسن النتائج[3]

Maksudnya: “Proses bertukar pendapat yang pelbagai dan sudut pandang terhadap suatu isu yang mana ia diselidikit dan dikaji oleh para sarjana cendekiawan sehingga sampai kepada suatu keputusan yang tepat, ataupun yang paling tepat dan terbaik, untuk beramal dengannya sehingga dapat merealisasikan natijah yang terbaik”.

Tiada negara di dunia sebelum itu yang pernah menerapkan syura dalam sistem pemerintahannya. Negara Islam Madinah merupakan negara pertama yang menjadikan syura sebagai prinsip penting dalam sistem pemerintahannya. Rasulullah sentiasa mematuhi tuntutan syura dalam semua hal yang tidak diturunkan wahyu daripada Allah mengenainya.

Salah satu kisah menarik berkenaan syura adalah seperti mana yang berlaku dalam peperangan Uhud sehingga Allah s.w.t menurunkan ayat 159 Surah Ali Imran yang memberi arahan kepada Rasulullah supaya melakukan syura.

Allah s.w.t berfirman:

فَبِمَا رَحْمَةٍ مِّنَ اللَّـهِ لِنتَ لَهُمْ ۖ وَلَوْ كُنتَ فَظًّا غَلِيظَ الْقَلْبِ لَانفَضُّوا مِنْ حَوْلِكَ ۖ فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاسْتَغْفِرْ لَهُمْ وَشَاوِرْهُمْ فِي الْأَمْرِ ۖ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّـهِ ۚ إِنَّ اللَّـهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ ﴿١٥٩﴾[4]

Maksudnya: “Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.”

Ayat di atas diturunkan selepas kekalahan kaum Muslimin di medan pertempuran Uhud[5] di mana Rasulullah SAW telah mengikuti pandangan majoriti (yang kebanyakannya dalam kalangan pemuda) untuk keluar menghadapi musuh di luar Madinah.[6] Sesetengah orang Islam menyangka faktor kekalahan mereka di medan Uhud ialah disebabkan Rasulullah SAW telah mematuhi tuntutan syura dengan mengikuti keputusan majoriti dan meninggalkan pandangan Baginda sendiri untuk bertahan dan berhadapan musuh dari dalam Madinah sahaja.

Meskipun sudah kalah, Allah s.w.t tetap mengarahkan Rasulullah untuk melakukan syura dengan kaum Muslimin dan Allah s.w.t memaafkan kesalahan yang mereka lakukan. Ini kerana, syura adalah prinsip dan sistem penting bagi sebuah pemerintahan negara atau pergerakan sesebuah kumpulan. Kekalahan di medan Uhud natijah daripada syura, adalah lebih baik berbanding mengikuti pandangan peribadi yang tidak diketahui natijahnya sama ada menang atau kalah.[7]

3) Keadilan & 4) Ketaatan

Keadilan dan ketaatan turut menjadi dasar penting dalam pemerintahan negara Islam yang telah dipelopori oleh Rasulullah SAW dan para sahabat. Terdapat dua ayat Al-Quran yang secara spesifik mengarahkan pemimpin supaya berlaku adil dan rakyat supaya mentaati pemimpin.

Firman Allah s.w.t:

إِنَّ اللَّـهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ النَّاسِ أَن تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ ۚ إِنَّ اللَّـهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِ ۗ إِنَّ اللَّـهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا﴿٥٨ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّـهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ ۖ فَإِن تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّـهِ وَالرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ۚ ذَٰلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا﴿٥٩[8]

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.

 Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (iaitu Pemimpin dan Ulama)[9] dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya – jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya”.

Ustaz Ahmad bin Khairuddin

www.indahnyaislam.my

Rujukan:

[1] Lihat: Syeikh Dr Muhammad Abdul Qadir Abu Faris, Al-Nizom al-Siyasi fi al-Islam, terbitan Daar al-Furqan, Amman, Jordan, m/s 17, 40, 67 & 78.
[2] Min Fiqh Al-Dawlah fi Al-Islam, m/s 61.
[3] Syeikh Dr Muhammad Abdul Qadir Abu Faris, Al-Nizom al-Siyasi fi al-Islam, terbitan Daar al-Furqan, Amman, Jordan, m/s 79.
[4] Surah Ali Imran, ayat 159.
[5] Fakhru Al-Razi, Al-Tafsir Al-Kabir wa Mafatih al-Ghaib, jil. 4, m/s 440.
[6] Ibni Hisyam, Al-Sirah Al-Nabawiyyah, tahqiq Toha Abdul Rauf Sa`d, Daar Al-Jiil, Beirut, 1411 Hijrah, jil. 4, m/s 8-9.
[7] Lihat: Syeikh Abdul Qadir Abu Faris, Al-Nizom al-Siyasi fi al-Islam, m/s 85.
[8] Surah Al-Nisa’ ayat 58-59.
[9] [9] Ibnu Taimiyyah, Al-Siyasah al-Syar`iyyah, m/s 164;

وأولو الأمر صنفان : الأمراء والعلماء ، وهم الذين إذا صلحوا صلح الناس ، فعلى كل منهما أن يتحرى بما يقوله ويفعله طاعة الله ورسوله ، واتباع كتاب الله.

text gambar

One thought on “Prinsip-prinsip negara Islam berdasarkan Piagam Madinah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *