home Semasa Tasauf, tarekat mesti terikat dengan syariat

Tasauf, tarekat mesti terikat dengan syariat

ustfauzi01

 

Amalan tasauf khususnya yang dilakukan menerusi kumpulan tarekat terdedah dengan unsur syirik dan sesat sekiranya dilakukan tanpa ilmu dan tidak terikat dengan panduan syariat.

Naib Presiden ISMA, Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni, berkata selagi mana sesuatu amalan itu bersandarkan rujukan syarak, maka ia dibolehkan oleh Islam.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan kuliah Maghrib di Surau Al-Islah, Taman Kajang Mewah anjuran Biro Dakwah ISMA Cawangan Daerah Hulu Langat dengan kerjasama pihak surau.

Memberi contoh berzikir sambil menari yang dilakukan oleh kumpulan tarekat, beliau berkata, ada kumpulan yang berzikir sambil menggoyang-goyangkan badan dan kepala seperti bacaan tahlil yang biasa diamalkan oleh masyarakat Melayu, ia dibenarkan oleh Islam.

Bagaimanapun ada kumpulan yang ekstrem sehingga berdiri dan menari dengan menundukkan badan ke hadapan dengan menganggap Rasulullah SAW hadir di majlis zikir tersebut dan ia adalah haram di sisi Islam.

“Mereka menyebut zikir ‘Nur Muhammad, fi hazihi jilsah hadaran Nabi’ (Nur Muhammad, majlis ini didatangi oleh Nabi), lalu mereka berdiri seolah-olah menghormati Nabi yang berada di tengah-tengah majlis mereka, maka ini satu contoh yang ekstrem dan diharamkan oleh syarak,” katanya.

Ustaz Fauzi berkata, Rasulullah SAW telah wafat dan berada di alam lain dan mustahil orang yang telah mati akan hadir di dalam majlis-majlis zikir yang diadakan.

 

Mensucikan/mendewakan syeikh tarekat juga haram

Antara amalan haram yang berlaku di kalangan kumpulan tarekat ialah mensucikan atau mendewakan (taqdis) syeikh tarekat sehingga ada yang sanggup mencium kaki syeikh, sujud kepada syeikh, meminum basuhan tangan syeikh dan ada yang menganggap syeikh seorang yang maksum (bebas daripada dosa).

Ujar Ustaz Fauzi, menghormati (ihtiram) dan mengambil berkat (tabarruk) dengan orang soleh seperti syeikh adalah dibenarkan oleh Islam, tetapi menghormati syeikh sehingga ke tahap mensucikan, maka ia bercanggah dengan syarak.

“Dalam Islam memang ada sesetengah hamba Allah dikurniakan kelebihan seperti kasyaf dan karamah. Jika ia berlaku kepada mana-mana syeikh tarekat, ia bukanlah sebab untuk mensucikan (taqdis) syeikh itu dan dianggap maksum oleh pengikutnya,” katanya lagi.

 

Berlonggar dalam isu sanad

Selain itu, ada sesetengah syeikh tarekat mendakwa telah mendapat hadis Nabi melalui riwayat yang tidak pernah ada dalam periwayatan lain seperti Sahih Muslim dan Bukhari sedangkan pengumpulan dan periwayatan hadis telah dilakukan oleh ulama hadis sejak dahulu melalui disiplin ilmu yang amat ketat.

Seharusnya sebarang dalil hadis yang dibawa untuk diamalkan atau untuk berhujah perlulah bersandarkan ilmu Ulum Hadis dari segi sanad dan matan, dan seseorang syeikh tidak boleh mendakwa hadis itu benar berdasarkan riwayat tersendiri yang dimilikinya itu.

 

Bertemu Rasulullah

Ada juga sesetengah syeikh tarekat yang mendakwa telah mendapat zikir dan doa langsung daripada Rasulullah SAW sama ada telah bertemu secara sedar atau di dalam mimpi.

Jika syeikh mendakwa bertemu Rasulullah secara sedar, maka ia adalah pembohongan kerana Rasulullah SAW telah wafat dan berada di alam lain, maka mustahil untuk bertemu dengan sesiapa yang masih hidup.

Sekiranya syeikh mendakwa bertemu Rasulullah di dalam mimpi, maka mungkin ia adalah benar kerana syaitan tidak boleh menyerupai Rasulullah SAW di dalam mimpi. Namun begitu, tiada siapa pun pada hari ini yang boleh mengesahkan bahawa yang ditemui itu adalah Rasulullah SAW.

 

Amalan ibadah melampau

Antara perkara lain yang kerap berlaku kepada kumpulan tarekat ialah beribadat secara berlebihan sehingga mengabaikan hak-hak yang lain.

“Sebagai contoh, bangun qiyamullail bermula pukul satu pagi sehingga jam enam pagi. Ini satu bentuk ibadah yang melampau kerana dikhuatiri pada keesokan hari, terdapat hak-hak seperti hak di tempat kerja, hak isteri dan anak-anak-akan terabai oleh kerana terlalu letih berjaga di waktu malam.

“Sebab itu dalam Surah Muzzammil, Allah memberi waktu anjal untuk hamba-Nya berqiyamullail sama ada bangun pada awal malam atau sebelum Subuh dalam masa yang panjang atau dalam tempoh yang pendek walaupun kadarnya solat sunat satu rakaat.

“Dalam kehidupan harian pun sebenarnya telah lengkap untuk kita mendekatkan diri kepada Allah. Bermula dengan solat Subuh, kemudian wirid selepas solat, sambil memandu ke tempat kerja kita boleh membaca zikir ma’thurat, tiba di pejabat kita boleh solat sunat Dhuha, kemudian solat Zohor berjemaah sehinggalah pada waktu malam, kita solat Maghrib dan Isyak berjemaah.

“Sahabat Nabi, Ibnu Mas’ud pernah menegur satu kumpulan yang hanya duduk di masjid berzikir sepanjang waktu. Ibnu Mas’ud berkata kepada mereka, siapakah yang akan memerangi musuh sekiranya kamu semua beruzlah (mengasingkan diri daripada masyarakat untuk beribadah)?” jelas Ustaz Fauzi lagi.

 

Amalan memuja kubur

Antara perkara syirik yang berlaku ialah memuja kubur orang soleh dengan beranggapan bahawa orang soleh yang telah meninggal dunia boleh memberi bantuan.

“Ini adalah satu bentuk syirik kepada Allah. Ia berpunca daripada silap faham dalam amalan bertawasul dengan orang soleh.

“Dalam Islam, bertawasul dengan orang soleh yang masih hidup adalah dibenarkan. Contohnya, kita berjumpa dengan mana-mana orang soleh dan kita meminta orang soleh itu mendoakan kebaikan untuk kita.

Istighathah (meminta bantuan) daripada orang yang telah mati tidak dibenarkan. Orang mati tidak boleh melakukan apa-apa. Syafaat yang kita minta pun akan kita dapat di akhirat nanti, bukan di dunia.

“Apabila kita menganggap orang yang telah mati boleh membantu kita, maka di situ lahirnya amalan memuja kubur dan berdoa agar orang yang telah mati itu akan membantu kita. Maka ia adalah amalan syirik,” jelas Ustaz Fauzi.

 

Tasauf adalah sebahagian daripada Islam

Ustaz Fauzi menegaskan bahawa Islam tidak menolak tasauf kerana ia adalah sebahagian daripada Islam.

Sebagai contoh, Syeikh Abdul Qadir Jailani terkenal di alam Melayu sebagai tokoh tasauf, tetapi di dunia Arab beliau dikenali sebagai pejuang Islam.

Begitu juga dengan Ibrahim bin Adham dan Imam Ghazali. Mereka dikenali oleh orang Melayu dengan amalan-amalan sufi sedangkan mereka juga adalah faqih dalam agama dan berjihad menentang musuh.

Beginilah gambaran yang sepatutnya dipegang oleh umat Islam yang menjaga aspek tasauf dalam kehidupan di samping berjihad untuk agama Islam.

Apa yang dilarang adalah melampau dalam tasauf sehingga jauh daripada panduan syariat Islam. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

text gambar

One thought on “Tasauf, tarekat mesti terikat dengan syariat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *