home Semasa Toleransi Sunni dan Syiah?

Toleransi Sunni dan Syiah?

aizam-masod

 

Kebangkitan Islam di Malaysia bermula pada awal tahun 70-an. Ia menjadi semakin terserlah ‎apabila berlakunya Revolusi Iran pada tahun 1979. Pada era tersebut, dunia Islam yang sekian ‎lama terjajah dengan sekularisme Barat sejak kejatuhan Turki Uthmaniah, seakan-akan ‎tersentak dengan kejayaan Iran meruntuhkan kerajaan sekular Shah Iran. ‎

Serentak dengan itu, pengaruh Syiah Iran mula masuk ke negara ini. Walhal, sebelum ini ‎Syiah tidak pernah dikenali di Malaysia apatah lagi untuk menganggapnya sebagai sebuah ‎mazhab. Beberapa pertubuhan dan tokoh gerakan Islam tempatan yang terpengaruh dengan ‎Revolusi Iran dilihat mula membawa masuk ajaran Syiah ke negara ini secara perlahan-lahan. ‎

Pada tahun 80-an, pengaruh Syiah terus bergerak secara senyap-senyap. Di pusat-pusat ‎pengajian tinggi terdengar desas desus mereka yang tertarik malah ada yang menerimanya ‎sebagai satu pegangan baru. Mereka bukan sekadar menerimanya dari aspek politik, malah ‎turut mengakuinya sebagai pegangan mazhab. ‎

Saat itu, mulalah kedengaran cerita nikah mut’ah dan solat fardu tiga waktu kerana ‎menjamakkan Zuhur dengan Asar serta Maghrib dengan Isyak walaupun tanpa sebarang ‎sebab. Malah terdengar juga kalangan mereka yang bersolat dengan meletakkan batu Karbala ‎di tempat sujud. ‎

Kemuncaknya apabila pihak kerajaan menerusi jabatan agama dan pihak keselamatan ‎menyedari bahaya besar kumpulan ini terhadap akidah. Akibatnya, Syiah telah difatwakan ‎haram oleh Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada tahun 1996 yang ‎akhirnya membawa kepada penangkapan beberapa aktivis Syiah Melayu di bawah Akta ‎Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada tahun 1997.‎

Pada zahirnya selepas tindakan diambil terhadap Syiah, aktiviti mereka sudah agak reda dan ‎merosot. Tetapi ia ibarat “api dalam sekam”. Asapnya sentiasa ada dan tidak pernah padam. ‎Kini setelah hampir dua dekad diharamkan, fahaman Syiah kian berkembang di kalangan ‎generasi baru mereka. Rupa-rupanya Syiah tidak pernah berdiam diri walaupun setelah ‎fahaman mereka diharamkan kerajaan pada tahun 1996.‎

Generasi baru Syiah Melayu ini sudah mula celik undang-undang. Mereka berusaha sedaya ‎upaya untuk menuntut hak sebagai golongan minoriti. Pelbagai hujah dibentangkan kepada ‎pihak berkuasa agama untuk mengatakan bahawa Syiah adalah salah satu daripada mazhab ‎yang sah di samping Ahli Sunnah. Risalah Amman 2005 dieksploitasikan, begitu juga fatwa ‎Syeikh Mahmud Syaltut tentang keharusan beribadah dengan ajaran Syiah dicanangkan.‎

Modus operandi Syiah ini dilihat cuba mengulangi kisah silam al-Azhar yang berusaha ‎mengadakan taqrib (pendekatan) antara Sunni dan Syiah. Ia telah dimulai oleh Syeikh ‎Mahmud Syaltut ketika beliau menjadi Syeikh al-Azhar lebih 50 tahun yang lalu. Namun ia ‎terbengkalai begitu lama. Usaha ini diikhtiarkan kembali oleh Persatuan Ulama Sedunia di ‎bawah pimpinan Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi.‎

Namun ia bukanlah usaha yang mudah. Al-Qaradawi memberi syarat isu mengutuk sahabat ‎hendaklah diselesaikan terlebih dahulu. Tanpa penyelesaian kepada masalah tersebut, titik ‎pertemuan sukar dicari. Mana mungkin berdialog dengan mereka yang masih mengata dan ‎memfitnah itu dan ini kepada Abu Bakar, Umar, Uthman, Aisyah, Hafsah, Mu’awiyah, ‎Talhah, Zubair dan lain-lain yang merupakan para isteri dan sahabat Rasulullah SAW.‎

Isu yang kedua dibangkitkan oleh al-Qaradawi adalah berkenaan ketidakjujuran puak Syiah. ‎Mengapa dalam ketika Syiah begitu ghairah menuntut penyatuan dengan pihak Sunni namun ‎dalam masa yang sama terus melancarkan dakyah kepada penganut Sunni? Apakah seruan ‎taqrib hanya dijadikan alat untuk memudahkan mereka menyebarluaskan Syiah tanpa ‎tentangan dari pihak Sunni?‎

Pada hari pertama Muktamar Doha pada 20 Januari 2007, perbincangan menjadi hangat ‎apabila al-Qaradawi membangkitkan soal usaha secara berencana menjadikan rantau Sunni ‎sebagai Syiah. Namun Ayatullah al-Taskhiri yang mewakili usaha taqrib di Iran menolak ‎tohmahan itu. Sebaliknya, beliau memohon jangan pula Syiah dicemuh sebagai puak Safawi ‎dan kafir. ‎

Sebenarnya usaha untuk mendekatkan Sunni dan Syiah diragui oleh kebanyakan ulama. Ini ‎kerana, sejarah membuktikan inisiatif taqrib yang cuba dilakukan hanya menemui jalan buntu. ‎Dr. Muhammad Imarah, seorang cendikiawan Islam Mesir beraliran sederhana yang suatu ‎ketika dahulu pernah mendukung usaha taqrib juga akhirnya pasrah. Dalam makalah beliau ‎akhir-akhir ini, usaha pendekatan Sunni-Syiah dirumuskan sebagai hampir mustahil.‎

Lebih parah, kegagalan taqrib menjadi senjata untuk Syiah menghakimi Sunni. Sunni ‎dipersalahkan dan dituduh sebagai pemecahbelah, pembawa fitnah, pentaksub mazhab, ‎pengkhianat agama, anti perpaduan dan pelbagai lagi tuduhan yang tidak wajar. Sedangkan ‎kegagalan taqrib itu berpunca daripada iktikad dan tindakan khianat puak Syiah sendiri. ‎

Jika dirincikan lagi, punca sebenar kegagalan ini adalah kerana sikap Syiah yang terus menerus ‎berpegang kepada akidah taqiyyah (berpura-pura dalam beriktikad). Hal ini sebagaimana yang ‎dimuktamadkan dalam sumber-sumber utama Syiah sendiri. Dalam kitab al-Kafi, al-Kulaini ‎meriwayatkan hadis palsu yang menyebut bahawa tidak beriman seseorang yang tidak ‎melakukan taqiyyah. Ini amat menghairankan, bagaimana suatu kepercayaan yang dipelajari, ‎kemudian boleh dikhianati dengan lisan sendiri.‎

Syiah perlu ingat, Sunni amat sedar bahawa dengan taqiyyah inilah ajaran Syiah terus hidup ‎dan semakin tersebar luas. Lebih membimbangkan, perkembangan Syiah dalam abad ke-21 ‎dilihat seiring dengan perjuangan puak liberal yang sibuk menjaja hak asasi manusia atas nama ‎demokrasi. Justeru, sedikit demi sedikit taqiyyah dikurangkan, Syiah cuba tampil dengan ‎pendekatan yang lebih terbuka, slogan hak kebebasan beragama dilaungkan, sedangkan pada ‎masa yang sama, usaha mensyiahkan Sunni diteruskan.‎

Walau apa pun, penyebaran Syiah tetap ditolak oleh Sunni. Bukan sahaja di Malaysia malah ‎di negara Sunni terampuh di dunia, Mesir. Dalam pertemuan Syeikh al-Azhar, Prof. Dr. ‎Ahmad al-Tayyib dengan Presiden Iran, Mahmud Ahmadinejad, di Masyikhatul Azhar pada 6 ‎Februari 2013, beliau menegaskan, ‎

‎“Meskipun para ulama besar al-Azhar terdahulu pernah terlibat di dalam pelbagai muktamar ‎penyatuan Islam antara Sunni dan Syiah untuk melenyapkan fitnah yang memecah belahkan ‎ummah, penting saya tekankan bahawa seluruh muktamar itu ternyata hanya menyebelahi ‎kepentingan puak Syiah (Imamiyah) dan mengorbankan kepentingan, akidah dan simbol-‎simbol Ahli Sunnah, sehingga usaha taqrib itu hilang kepercayaan dan kredibilitinya seperti ‎yang kami harapkan. Kami juga sangat menyesali celaan dan penghinaan terhadap para ‎sahabat dan isteri Nabi SAW yang terus menerus kami dengar dari golongan Syiah, yang tentu ‎sahaja hal itu amat ditolak oleh kami. Perkara serius lainnya yang kami tolak adalah usaha ‎penyusupan penyebaran Syiah di tengah-tengah masyarakat muslim di negara-negara Sunni”.‎

Selain itu Syeikh al-Azhar turut menyentuh keadaan penganut Ahli Sunnah di Iran yang amat ‎memilukan. Beliau mengatakan, ‎

‎“Ramai daripada mereka yang mengadukan kepada kami keadaan dan hak-hak mereka. Saya ‎memandang, tidak boleh hak-hak warga negara didiskriminasi dan diperkecilkan seperti yang ‎telah disepakati dalam sistem politik moden dan diatur oleh syariat Islam”.‎

Namun begitu, Syiah dilihat terus menerus melaksanakan agenda mereka. Kali ini mereka ‎berselindung di sebalik Risalah Amman 2005 yang memaktubkan bahawa Syiah adalah salah ‎satu daripada lapan mazhab yang sah. Menerusi risalah tersebut, segala doktrin sesat Syiah ‎seperti mencaci maki para sahabat dan isteri Nabi SAW dianggap benar dan sah. Risalah ‎Amman 2005 menjadi jalan pintas bagi puak Syiah untuk mendapatkan pengiktirafan segera ‎tanpa perlu diperhalusi doktrin dan kepercayaan mereka.‎

Walau bagaimanapun, Risalah Amman 2005 bukanlah suatu keputusan yang boleh ‎membatalkan pendirian para ulama Sunni terdahulu terhadap Syiah. Dr. Yusuf al-Qaradawi ‎sendiri, iaitu salah seorang ulama tersohor yang menandatangani risalah tersebut dengan tegas ‎telah menyebut pendiriannya terhadap Syiah. Pendiriannya tidak pernah berubah sama ada ‎sebelum risalah tersebut ditandatangani atau selepasnya. ‎

Dalam kitabnya Fatawa Mu’asirah jilid 4 yang terbit pada tahun 2009, beliau membongkar ‎kesesatan Syiah Imamiyyah dengan membentangkan asas-asas perbezaan akidah antara Ahli ‎Sunnah dan Syiah, hukum mencaci maki para sahabat Nabi SAW dan sikapnya terhadap ‎taqrib Sunni dan Syiah pasca Muktamar Doha 2007.‎

Benar, fatwa al-Qaradhawi pada 2009 menyebut bahawa Syiah masih dikategorikan sebagai ‎muslim sebagaimana termaktub di dalam Risalah Amman. Pun begitu, ia tidak bererti ‎golongan Syiah bersih dan bebas daripada kesesatan dalam asas-asas akidah seperti mana ‎yang telah dijelaskan secara panjang lebar oleh al-Qaradawi dalam fatwanya itu.‎
‎ ‎
Ketika membahaskan tentang taqrib Sunni dan Syiah, al-Qaradawi yang juga merupakan ‎anggota kanan Hai’ah Kibar Ulama’ al-Azhar telah menegaskan pendiriannya dengan ‎mengemukakan tiga syarat taqrib:‎

Pertama, kesepakatan untuk tidak mencerca para sahabat. Ini kerana kita tidak mugkin ‎dipertemukan atau didekatkan jika masih seperti itu. Saya mengatakan: Semoga Allah ‎meredai mereka (para sahabat), sedangkan engkau (Syiah) berkata: Semoga Allah melaknat ‎mereka. Sedangkan kata reda dan laknat mempunyai perbezaan yang sangat besar. ‎

Kedua, dilarang menyebarkan sebuah mazhab di sebuah daerah yang dikuasai oleh mazhab ‎tertentu. Maksudnya, Syiah dilarang menyebarkan fahaman mereka di negara Sunni.‎

Ketiga, meraikan hak-hak golongan minoriti, terutama jika golongan minoriti tersebut adalah ‎mazhab yang sah. Hal ini seperti mana penindasan yang dilakukan oleh Iran terhadap ‎penganut Sunni di Iran sedangkan mereka adalah penduduk asal negara tersebut.‎

Di tempat lain Syeikh al-Qaradawi turut mengulas pandangan gurunya Syeikh Mahmud ‎Syaltut berkenaan usaha taqrib Sunni dan Syiah, beliau mengatakan, ‎

‎“Pada tahun 60-an yang lampau, Syeikh Mahmud Syaltut sebagai Syeikh Al-Azhar telah ‎mengeluarkan fatwa yang membolehkan beribadah dengan mazhab Ja’fari. Dengan alasan di ‎dalam perbahasan fiqhnya lebih mendekati kepada Mazhab Ahli Sunnah, kecuali ada ‎perbezaan sedikit sahaja yang tidak menjadi alasan untuk melarang beribadah dengan ‎mazhab Ja’fari secara keseluruhan, seperti dalam hal salat, puasa, zakat, haji dan muamalah. ‎Akan tetapi fatwa ini tidak pernah dibukukan dalam Himpunan Fatwa Syaltut. Fatwa Syeikh ‎Syaltut ini sebagaimana yang disebutkan tidak meliputi permasalahan akidah dan usuluddin ‎‎(pokok-pokok agama Islam) yang di dalamnya mengandungi perbezaan yang sangat jelas ‎antara Ahli Sunnah dan Syi’ah. ‎

Contohnya dalam hal imamah, 12 imam Syiah, kemaksuman imam, pengetahuan mereka ‎terhadap hal ghaib dan kedudukan mereka yang tidak mampu mencapainya walaupun oleh ‎malaikat yang sangat dekat (dengan Allah SWT) dan tidak juga oleh nabi yang diutus. Mereka ‎beranggapan bahawa masalah ini adalah masalah penting yang termasuk masalah usuluddin. ‎Tidak sah iman dan Islam seseorang kecuali dengan mengimani masalah ini. Orang yang ‎menolaknya dianggap kafir, akan kekal di neraka. Juga contoh lainnya iaitu akidah orang-‎orang Syiah terhadap para sahabat dan hal-hal lainnya yang mereka anggap sebagai pokok-‎pokok agama mereka.‎

Kesimpulannya, Syiah di Malaysia perlu insaf, bukanlah semudah itu untuk mengajak ke arah ‎perpaduan Sunni dan Syiah. Sejarah Syiah bukan baru bermula dua dekad yang lalu. Para ‎ulama Sunni telah berkurun-kurun lamanya menulis dan mengarang tentang Syiah. Ia ibarat ‎barah yang sukar diubati dalam sejarah akidah umat Islam.‎

Ketegasan pemerintah juga menunjukkan Syiah sekali-kali tidak akan diterima di negara ini. ‎Bukan sahaja sebagai sebuah mazhab yang sah, malah sebagai sebuah mazhab pun ia tidak ‎diiktiraf kerana Syiah itu sesat. Kesemua empat belas buah negeri telah pun memfatwakan ‎pengharaman Syiah, sepuluh daripadanya telah pun mewartakan menjadi undang-undang. ‎

Apa yang pasti, tiada jalan lain kecuali pengikut Syiah Melayu Jadian itu kembali ke pangkal ‎jalan. Sunni bukan asing bagi mereka kerana mereka sendiri lahir dari rahim Sunni. Justeru, ‎taubat adalah satu-satunya jalan ke arah penyatuan. Satu-satunya wadah yang selamat di ‎dunia dan akhirat, tidak lain dan tidak bukan hanyalah berpegang dengan Ahli Sunnah Wal ‎Jamaah. Wallahu a’lam. ‎

Ustaz Mohd Aizam bin Mas’od
Ahli Panel Akidah JAKIM

www.indahnyaislam.my

text gambar

2 thoughts on “Toleransi Sunni dan Syiah?

  1. 1. Syiah telah masuk awal ke Islam alam melayu.
    2. Tidak dapat di nafikan juga kesakitan islam mrndapat sambutan setelah revolusi Islam Iran sebelum ini pas mundar tiada sokongan dan pas juga bercampur mendapatkan pandangan pentadbiran.
    3. Aswj menerima mazhab syiah juga dah begitu lama terutama dalam ilmu sufi tasawuf tariqat dan lainnya.
    4. seperti seorang tokoh ulama Melayu Syeikh Abdul Rauf Ali Fansuri terkenal dengan gelaran TUAN SYIAH KUALA.
    5. Masarakat aswj menerima syiah setelah mereka mendalami ilmu tasawuf yang lebih penjelasan yg mana aswj tidak datap perjelaskannya hanya syiah dapat huraikan masalah masalah agama dan kuat hujahnya.
    6. Maka orang ug berfikiran terbuka dan dapat menerima mazhab syiah dan dapat di amalkan dan diterima sebagai satu mazhab.
    7. Jadi ramai lah orang aswj tukar mazhab kpd syiah.
    8. Tentang lahir dari ibu bapa aswj juga tidak timbul. Kerana sama macam orang tua yg asalnya kafir berkata apakah kamu nak tinggalkan agama nenek moyang kamu?.
    9.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *