home Semasa 14 kaedah penghapusan etnik muslim Rohingya

14 kaedah penghapusan etnik muslim Rohingya

burn

 

Tulisan ini merupakan tulisan yang sangat penting untuk kita, terutamanya rakyat Malaysia, supaya boleh menilai apakah sebenarnya yang berlaku di Burma khususnya bumi Arakan dan ujian yang bagaimana yang dihadapi secara sabar oleh saudara Rohingya kita.

Apakah sebenarnya yang berlaku sehinggakan baru-baru ini tercetus sekitar 7000-8000 orang Rohingya telah tersadai di Selat Melaka.

Nak tahu apa yang berlaku kepada mereka sebenarnya? Ringkas sebagai permulaan tulisan ini bahawa kejadian di Selat Melaka tersebut adalah sedikit cerminan-cerminan peristiwa penghapusan etnik di Burma sejak tahun 1942 lagi.

Dalam masa yang sama, tulisan ini ingin membawa satu muhsabah yang dalam buat rakyat Malaysia bahawa jika orang Melayu Islam di Malaysia tidak berhati-hati dan bersungguh menjaga kuasa dan keharmonian negara, maka tidak mustahil kejadian yang berlaku di Rohingya berlaku juga di Malaysia.

Perspektif kejadian di Burma perlu dilihat dari kerangka bangsa dan agama. Ia adalah racism tetapi itulah hakikat yang berlaku. Perspektif ini sering dinafikan kerana dikatakan sebagai satu perspektif yang negatif dan pesimis.

Namun begitu, perspektif inilah yang mendasari umat Islam di Palestine, di Burma, di China, di Thailand, di Filipina dan mana-mana pelosok dunia yang mempunyai pembantaian ke atas umat Islam.

Secebis sejarah Rohingya dan Burma

Arakan iaitu tanah yang didiami Rohingya mempunyai 2 kelompok kaum yang besar iaitu yang terdiri daripada etnik Rohingya yang beragama Islam dan Rakhines ataupun Maghs yang beragama Buddha.

Arakan merupakan antara 14 daerah di dalam wilayah Burma di mana daripada 7 juta umat Islam di sana, hampir separuh berada di Arakan.

Arakan yang berkeluasan  36,778.0 Km persegi mempunyai populasi lebih daripada 3 juta penduduk, tidak termasuk seramai 1.5 juta etnik Rohingya yang dibunuh dan dibuang daripada Burma sejak daripada tahun 1942.

Kini, majoritinya terdiri sama banyak daripada etnik Rohingya dan etnik maghs. Seawal tahun 1942 juga, terdapat lebih kurang 200,000 etnik di Burma tetapi kini hanyalah tinggal sekitar 100 lebih sahaja.

Siapakah dalang yang perlu dipersalahkan?

Jika diselidiki siapakan di sebalik Kerajaan Burma yang menjalankan ethnic cleansing ke atas muslim Rohingya maka jawapan yang ada terbukti bahawa majoriti daripada kerajaan dan tentera adalah  daripada etnik Maghs.

Mereka bukanlah penduduk asal Burma. Mereka ini berhijrah ke Burma dalam sekitar 1200-1500 tahun yang lepas. Asal usul bahasa mereka adalah Sino-tibetan dan merupakan susur galur dari keturunan Yunnan yang bermigrasi daripada China. Etnik Maghs telah menduduki tanah Arakan sehingga berjaya memerintah tanah tesebut.

Pada tahun 1982, mereka telah membuat satu proses Burmanization dan memperkenalkan identity mereka sebagai Burman.

Burmanization adalah proses asimilasi menjadikan Burma sebagai satu bangsa, budaya, bahasa dan sejarah. Identiti bangsa adalah Burman dan identiti agama adalah Buddha.

Sebagai tambahan kepada identity tersebut, jika diimbas kembali pada tahun 1961, kerajaan Burma telah mengisytiharkan Buddhism sebagai state religion tanpa mengambil kira etnik majority lain seperti Rohinyga yang beragama Islam dan Kachin yang 90 peratus beragama Kristian.

Mana-mana etnik yang cuba menolak asimilasi identiti ini maka mereka perlu berhadapan dengan penghapusan etnik.

Wajarlah ia ditentang orang Islam kerana pemaksaan identiti ini akan mendorong mereka untuk murtad. Setelah diselidiki, terdapat 14 kaedah penghapusan etnik yang berjaya direkodkan seawal tahun 1942 lagi yang dilakukan secara kejam dan tidak berperikemanusiaan ke atas etnik Muslim Rohingya.

Berikut merupakan keempat belas usaha tersebut.

1. Statistical genocide sebagai usaha mengaburi usaha jahat tentera dan kerajaan Burma

Statistical genocide yang dilakukan oleh tentera State Law and Order Restoration Council(SLORC)  adalah satu usaha yang bertujuan mengaburi mata dunia daripada segala kekejaman tentera dan kerajaan Burma dengan menunjukkan angka penduduk Rohingya yang telah digelapkan.

Ideanya adalah supaya menunjukkan tiada berlaku pembunuhan dan paksaan migrasi kepada etnik muslim Rohingya di muka bumi Arakan.

Dengan cara ini segala usaha jahat pembunuhan, rogol, pukul, rampasan dan lain-lain usaha boleh dilakukan dengan sangat selesa.

Jika diperhatikan, angka penduduk Rohingya yang ditunjkkan kini adalah lebih rendah daripada apa yang pernah dibuat oleh Burma Socialist Programme Party (BSPP) pada 30 tahun yang lalu.

Mana mungkin setelah siri-siri pembunuhan dan paksaan migrasi (akan diterangkan lanjut di bawah) besar-besaran tidak menunjukkan sebarang pengecilan drastik angka populasi etnik muslim Rohingya?

Dalam masa yang sama statistical genocide ini bertujuan untuk tidak mengiktiraf status majoriti etnik muslim Rohingya dan sekaligus menafikan hak kerakyatan mereka.

2. Proses murtad dan menghapuskan identiti: Burmanization dan De-muslimization

Ketika Burman mendapat kuasa dan mendaulatkan Buddha sebagai agama negara maka Burman ataupun etnik Maghs ini telah melakukan satu proses Burmanization.

Proses Burmanization ini bertujuan menghasilkan satu asimilasi agama, etnik, budaya, masyarakat dan sejarah etnik-etnik Myanmar ini sebagai satu kaum dengan satu bahasa dan agama.

Antara slogan terkenal adalah “to be Burmese is to be a Buddhist” dan slogan ini dicanang-canangkan kepada seluruh etnik.

Maka proses ini secara tidak langsung menetapkan satu pemaksaan prinsip-prinsip de-muslimazation kepada etnik Rohingya.

Ataupun dengan kata lain, kalau ingin kekal di Burma maka tolong murtad! Ia bertentangan dengan prinsip agama islam dan Rohingya terpaksa menolaknya.

Hasil penolakan oleh etnik Rohingya terhadap Burmanization dan de-muslimizationini, maka kerajaan tentera tempatan yang dipenuhi oleh etnik Maghs telah menjalankan satu proses yang dinamakan Rakhine Pyi pada tahun 1974 dengan memberi taraf kerakyatan kepada etnik Maghs yang beragama buddha di Arakan dan tidak mengikritaf kerakyatan etnik Rohingya.

3. Pogrom 1942: Penyembelihan etnik Muslim Rohingya sebelum kemerdekaan

rohingya-2

Etnik Maghs yang beragama Buddha di Arakan sentiasa menginginkan tanah yang diduduki oleh etnik Rohingya. Pada tahun 1942, sebanyak 10,000 orang etnik Rohingya yang beragama Islam telah dibunuh dengan kejam dan ribuan lagi dihalau daripada perkampungan mereka.

Pada bulan April 1942 khususnya, ketika rusuhan dan peperangan sivil tercetus di Arakan daripada kepulauan Akyab, etnik Maghs bersama-sama dengan para pemerintah Burma telah memanfaatkan situasai tersebut dengan menyembelih seramai 100,000 orang muslim Rohingya lagi dan membakar lebih daripada 307 buah perkampungan muslim.

Ketika itu hampir sahaja keseluruhan bahagian timur Arakan menjadi tanah perkampungan bukan Islam dan etnik Maghs yang beragama Buddha menduduki tanah tersebut.

Namun begitu, setelah Burma mendapat kemerdekaan pada tahun 1948, muslim Rohingya telah merayu kepada kerajaan baru Burma untuk mendapatkan semula tanah mereka, tetapi permintaan ini telah ditolak. Hasilnya ribuan umat Islam Rohingya tidak mempunyai tempat tinggal.

4. Rohingya dinafikan hak pemilikan tanah: Panlong Conference 1945

Terdapat beberapa siri penafian hak pemilikan tanah oleh Kerajaan Burma terhadap etnik muslim Rohingya. Antara yang terpenting adalah pada tahun 1945, di mana ketika itu General Aung San sedang berusaha mendapatkan kemerdekaan daripada tangan British.

Syarat yang diberikan oleh British adalah agar beliau mendapat sokongan segala etnik baik majoriti dan minoriti di Burma.

Justeru itu, pada tahun 1947 telah diadakan satu persidangan yang dinamakan Panlong Conference yang diadakan di wilayah Shan.

Setiap etnik minoriti seperti Shan, Kayah, Kachin, Karen dan lain-lain etnik telah diberikan jaminan untuk mendapat autonomi kepada tanah mereka.

Namun begitu, etnik Muslim Rohingya yang merupakan antara etnik majoriti tidak dipanggil.

Bahkan, wakil bagi etnik di Arakan telah diwakili oleh etnik Buddhist Maghs yang sebenarnya merupakan satu konspirasi kerajaan pusat untuk meletakkan Arakan iaitu tanah umat Islam Rohingya di bawah kekuasan mereka yang beragama Buddha.

Ini secara tidak langsung telah menafikan hak pemilikan tanah kepada etnik Muslim Rohingya.

5. Etnik Muslim Rohingya dinafikan hak politik

Namun begitu, penafian hak ini tidak berhenti disitu. Pada pilihan raya Burma yang pertama pada tahun 1947, Majlis Perlembagaan Burma dengan sengajanya tidak mengambil kira perwakilan daripada kawasan utara Arakan untuk terlibat dalam pilihanraya kerana kawasan tersebut dipenuhi oleh umat Islam.

Walaupun selepas itu wujud usaha untuk bernegosiasi dengan pihak British, namun begitu ia merupakan satu usaha yang terlambat kerana Perlembagaan Burma telah siap dihasilkan.

Ini merupakan satu tindakan jahat menafikan hak politik sekaligus memansuhkan jaminan hak dan keistimewaan etnik muslim Rohingya sebagai pribumi Burma menurut perlembagaan.

Selepas kejadian ini, etnik Rohingya diarahkan keluar daripada mendiami kawasan penempatan mereka kerana tidak diiktiraf sebagai pribumi.

6. Operasi Tentera: BTF Operation dan Nagamin (King Dragon) Operation 1978

data-2

data

Jadual1: 19 operasi ketenteraan yang tidak pernah berhenti sejak Kemerdekaan Burma.

Selepas kemerdekaan Burma, pada tanggal 4 januari 1948, 19 operasi ketenteraan di wilayah penempatan Rohingya dijalankan dengan alasan untuk mengawal rusuhan daripada berlaku.

Tetapi hakikat sebenar yang berlaku adalah 19 operasi-operasi pembunuhan, pencerobohan masjid dan tempat ibadah, pemusnahan sumber pendapatan, dan rampasan ladang-ladang serta tempat tinggal.

Antara 19 operasi ini, operasi Burma Territorial Force (B.T.F) adalah yang paling kejam sekali. Kerajaan tentera tempatan yang dipenuhi oleh etnik Buddhist Maghs telah membunuh, merogol, membuat kemusnahan dan melaksanakan undang-undang sesuka hati mereka.

Akhirnya ia mengakibatkan ribuan penduduk muslim Rohingya terpaksa lari meninggalkan tempat tinggal mereka.

Antara operasi lain yang tidak berperikemanusian juga adalah operasi Nagamin (King Dragon) pada tahun  1978. Dalam operasi ketenteraan ini, seramai 300,000 etnik muslim Rohingya dihalau keluar daripada perumahan mereka dan hampir 1/3 dibunuh.

Lebih 200,000 orang pada kemudian harinya telah dikembalikan dengan jaminan keselamatan di bawah Bilateral Repartriation Agreement antara kerajaan Burma dan kerajaan negara lain, tetapi jaminan tersebut hanyalah tipu daya tentera yang sekali lagi, nasib etnik muslim Rohingya diperkotak-katikkan oleh kerajaan Burma.

7. Etnik muslim Rohingya dinafikan hak kerakyatan dan hak istimewa pribumi.

citizenship-law

Bukan sahaja mereka dinafikan hak penempatan dan politik, tetapi pada masa yang sama turut dinafikan hak mereka dalam mendapat kerakyatan serta hak istimewa penduduk pribumi.

Hak kerakyatan etnik Muslim Rohingya walaupun di bawah Union Citizenship Act of 1948 ada meletakkan undang-undang asas kerakyatan sebagai “ there shall be one citizenship through out the Union” tetapi mereka tidak diterima dalam perincian etnik yang berautonomi seawal persidangan Panglon 1945.

Bahkan lebih teruk lagi apabila satu semakan semula kerakyatan yang bertujuan mengiktiraf status pribumi dibuat pada tahun 1982.

Di bawah Burma Citizenship Law 1982 (Pyithu Hluttaw law no. 1982-87) telah membahagikan kerakyatan kepada beberapa kelas iaitu kelas rakyat biasa, rakyat bersekutu dan rakyat pribumi. Seperti yang dijangka, etnik muslim Rohingya tidak tersebut dalam kelas rakyat pribumi yang sekaligus dinafikan langsung hak keistimewaan pribumi mereka.

Berbeza dengan etnik-etnik lain seperti Kachin, Kayah, Karen, Chin, Maghs (Burman), Mon dan Arakanese yang melalui kerakyatan ini telah diiktiraf hak pemilikan tanah melalui status pribumi.

Di akhir usaha kerakyatan ini adalah etnik Rohingya dengan kerakyatan “a stateless people”. Tiada Negara, tiada tempat tinggal dan tiada tanah.

8. Pembunuhan dan pembantaian di bawah kempen Pyi Thaya (Prosperous Country)oleh SLORC.

Dalam keghairahan Burma cuba mengejar modernisasi dan pertumbuhan rancak demokrasi sekitar tahun 1988, justeru itu, pada awal tahun 1991 satu kempen menghapuskan etnik Rohingya dijalankan di bawah nama “Pyi Thaya” ataupun nama lainnya sebagai Prosperous Country Campaign.

Kempen ini bertujuan menjadikan Myanmar terkehadapan dari sudut pembangunan dan keselesaan. Tetapi dibeli dengan harga nyawa Rohingya.

Di bawah kempen ini, askar-askar daripada State Law and Order Restoration Council(SLORC) yang rata-ratanya terdiri daripada etnik Buddhist Maghs telah dikerahkan ke Arakan untuk melakukan pogrom(penyembelihan dan penghapusan) ke atas etnik muslim Rohingya.

Akibatnya, 300,000 orang muslim telah melarikan diri sehelai sepinggang ke Chittatong iaitu satu daerah di Bangladesh.

Setelah dihalau, kerajaan tempatan telah melakukan jemputan berbondong-bondong khusus kepada penganut agama Buddha dari dalam dan luar negara untuk menetap dan membangun penempatan di tanah etnik muslim Rohingya yang telah ditinggalkan di bawah program pembangunan kerajaan.

9. Konflik dan konspirasi tentera SLORC dan United Nation Human Rights Council (UNHRC)

unhr

Walaupun kewujudan institusi antarabangsa United Nation Human Righst Council (UNHRC) cuba memainkan peranan dalam menyelesaikan permasalah ini tetapi ia merupakan satu tindakan yang sia-sia.

Segala usaha UNHRC seperti projek pemulihan dan penyatuan kaum diselenggara sendiri oleh tentera SLORC yang dalam masa yang sama turut terlibat membunuh etnik muslim Rohingya. Mana-mana etnik muslim Rohingya yang dihantar pulang ke Arakan di bawah perjanjian bilateral UNHRC telah dipindahkan semula oleh tentera SLORC.

Dalam masa yang sama kakitangan kerja yang dipilih untuk berkhidmat sebagai staff UNHRC juga disekat hubungannya untuk menceritakan hal-hal sebenar kepada media luar.

Namun begitu, walaupun  seringkali berlaku konflik antara staf UNHRC dan tentera SLORC tetapi terdapat juga waktu dimana kakitangan UNHRC seakan-akan berkompromi dan bekerjasama dengan tentera SLORC dalam usaha yang menggadaikan nyawa etnik muslim Rohingya serta tidak kurang juga meluluskan tindakan SLORC yang membunuh etnik muslim Rohingya.

Dalam ruang ini perlu untuk direkodkan juga statistik yang dikeluarkan oleh Curt Lambrachi dalam laporannya bertajuk “The return of Rohingya refugees to Burma: Voluntary Repartriation or Refoulment”.

Dalam laporan ini, selain merekodkan segala salah laku tentera SLORC ia turut sama merekodkan statistik dimana dalam sebuah keluarga 10 orang pasti 2 daripadanya pernah mengalami tembakan, luka parah, dibelasah, dibakar dan apa-apa kecederaan fizikal.

Dalam masa yang sama dalam setiap keluarga paling kurang seorang perempuan daripada keluarga tesebut pernah dirogol.

10. Operasi Na-Sa-ka 1992: operasi paling kejam dalam sejarah.

Selepas tarikh 28 April 1992 di mana Refugee Repatriation Agreement telah menunjukkan hasil yang baik dalam membela nasib penduduk Rohingya.

Etnik buddhist Maghs masih tidak berpuas hati. Maka mereka telah melancarkan satu operasi ketenteraan dengan mewujudkan satu task force bernama Na-Sa-Ka yang terdiri daripada tentera, polis dan imigresen.

Kalau dibandingkan dengan 18 operasi ketenteraan sebelum ini, Na-Sa-Ka merupakan operasi yang mengakibatkan kesan paling teruk berbanding operasi-operasi sebelumnya.

Ia merupakan satu operasi jangka masa panjang dimana walaupun sudah bermula sejak tahun 1992 namun begitu sehingga kini ia masih belum berakhir. Na-Sa-Ka mempunyai beberapa tujuan utama iaitu:

  1. Menghasilkan tekanan sosio-ekonomi terhadap etnik muslim Robingya.
  2. Memindahkan populasi etnik Rohingya daripada Burma di bawah polisi pelindungan seperti polisi pekerja asing.
  3. Mengawal keseluruhan proses pengembangan populasi etnik Rohingya.
  4. Menjayakan usaha De-muslimization wilayah Arakan melalui penghapusan kaum.
  5. Menyebarkan ajaran Buddhism dan tradisi Burma Buddhist di Arakan dengan menanam prejudis terhadap tradisi serta budaya Rohingya.

Kesan operasi ini, bukan sahaja mengakibatkan pembunuhan, tetapi setiap sumber ekonomi etnik muslim Rohingya dimonopoli SLORC.

Ratusan ekar tanah pertanian dan sumber pendapatan mereka diambil begitu sahaja tanpa ada apa-apa pampasan oleh penyangak Buddha dan SLORC.

Dalam masa yang sama, mereka juga dikerah untuk menghasilkan bahan perumahan, menyediakan simpanan makanan, ternakan, produk pertanian tanpa dibayar sedikitpun oleh kerajaan Burma.

11. Syarat perkahwinan tidak masuk akal dan suntikan kemandulan

rohingyaa

Lanjutan daripada operasi Na-Sa-ka, salah satu objektif mereka adalah mengawal proses pengembangan etnik Rohingya supaya populasi tersebut tidak berkembang.

Atas dasar ini, pemerintah telah memaksa syarat yang ketat bagi mana-mana pasangan Rohingya yang ingin berkahwin. Hampir sahaja banyak perkahwinan tidak diluluskan kerajaan. Antara syarat-syarat tersebut adalah:

  1. Perlu mendapat surat pengesahan daripada ibu bapa.
  2. Perkahwinan memerlukan surat sokongan daripada Majlis tempatan yang menguruskan hal ehwal kampung.
  3. Perkahwinan juga memerlukan sijil perubatan yang menunjukkan pasangan boleh berkahwin.
  4. Pasangan juga perlu mendapat kelulusan dari pihak polis bahawa pasangan tidak terlibat dengan mana-mana aktiviti jenayah.
  5. Perkahwinan juga perlu mendapatkan sokongan daripada Komander kawasan dan pegawai pengarahan daripada tentera SLORC.

Syarat-syarat ini merupakan syarat perkahwinan yang gila lagi menyusahkan tetapi inilah hakikat perkahwinan bagi etnik muslim Rohingya.

Sering kali juga askar SLORC menangkap perempuan yang telah berkahwin dan menyuntik suntikan kemandulan secara paksa kepada mereka. Ia gara-gara untuk memandulkan ibu-ibu Rohingya dan mengelak kelahiran. Ini bukan sahaja menghina agama Islam tetapi turut sama menghalang populasi etnik Rohingya untuk berkembang lanjut.

12. Pembunuhan golongan elit etnik Muslim Rohingya di Arakan

Bagi mengelakkan etnik muslim Rohingya bangkit melawan, ramai dari kalangan elit, pelajar, dan golongan cerdik pandai diburu, dipenjara, dibunuh.

Siapa yang tidak takut jika lahirnya golongan yang boleh melawan kekejaman Burma? Sejak dari tahun 1994, bahagian utara Arakan telah menjadi padang pembunuhan bagi golongan elit ini.

Di bawah tuduhan jenayah yang tidak berasas, seramai 3000 orang yang tidak bersalah telah ditembak mati ataupun disembelih. Manakala, 1500 lagi orang telah masuk bersembunyi bagi mengelakkan ditangkap lantas dibunuh oleh SLORC.

13. Larangan melaksanakan apa-apa syiar agama Islam.

 Mungkin ramai tidak percaya tetapi inilah hakikat sebenar apa yang berlaku. Etnik Muslim Rohingya yang beragama Islam tidak boleh menunjukkan sedikit pun syiar Islam mereka.

Sebgai seorang muslim mereka tidak dibenarkan menyimpan janggut, memakai pakaian yang menutup aurat ataupun mengenakan kopiah. Bagi para wanita pula, tudung dan hijab dilarang sama sekali ketika berada di luar rumah.

Jika ada upacara kematian, kubur-kubur mereka tidak boleh diletakkan batu nisan. Bahkan tahlil sekalipun dilarang kerana itu dikatakan sebagai satu syiar Islam. Di sekolah pula, ajaran Buddha adalah subjek wajib sejak di sekolah rendah lagi.

Terdapat juga di beberapa buah Kampung di mana umat Islam di situ diharamkan untuk menunaikan solat berjemaah Maghrib, Isya dan Subuh di masjid-masjid.

Selain itu, bagi meredakan sentimen umat Islam Rohingya, para ulama telah digesa juga dipaksa untuk mengeluarkan fatwa palsu sebagai mengesahkan tindakan pemerintah Burma.

14. Undang-udangan larangan untuk bergerak 11 oktober 1966

stop-killing-muslim

Satu undang-udang Restriction of movement telah dipaksakan kepada etnik Rohingya sejak dari tanggal 11 oktober 1966. Undang-undang ini melarang etnik muslim Rohingya melakukan pergerakan antara kampung ke kampung sekitar Arakan.

Pada tanggal 1 september 1992, polisi ini diperketatkan. Etnik muslim Rohingya digesa untuk mengalihkan sampan dan boat dari sungai.

Mereka dilarang membeli tiket kapal terbang ataupun apa-apa kenderaan untuk bergerak. Disebabkan masalah ini, ramai daripada etnik Rohingya yang sakit telah mati kerana tidak dibenarkan berjumpa doktor di wilayah bandar Akyab ataupun Rangoon.

Kerana polisi ini jugalah, ia telah memberi kesan yang sangat teruk kepada keseluruhan hidup masyarakat Rohingya. Ramai daripada mereka terpaksa mengalah daripada menjalankan mana-mana aktiviti ekonomi, sosial dan agama. Ramai juga pelajar-pelajar mereka terpaksa turut sama berhenti dari meneruskan pengajian.

Kesimpulan

14 kaedah penghapusan etnik ini adalah sesuatu yang perlu dipandang serius oleh penduduk negara lain dalam mengenal bahawa isu etnik muslim Rohingya bukanlah sekadar isu yang biasa. Mereka telah dinafikan hak mereka seawal usia 1942 lagi dan sehingga kini diselang-seli dengan pembantaian, pembunuhan serta dirampas hak milik mereka. Justeru itu, isu ini tidak boleh dilihat sebagai isu pelarian yang boleh diselesaikan dengan derma ataupun diberikan tempat perlindungan sementara.

Persoalan penting bagi mereka adalah apakah solusi tuntas bagi menyelesaikan projek penghapusan etnik ini sekaligus mengembalikan segala hak—hak yang sudah berkurun lamanya telah dinafikan? Kenapa Myanmar seolah-olah kebal daripada sebarang tindakan dunia terhadap projek penghapusan etnik ini? Gesaan dan koalisi antarabangsa harus dilaksanakan segera, dan sebarang pembisuan, adalah tanda kepada sokongan institusi dunia terhadap pembantaian ini.

Aiman Faudzi
Penganalisis Institut IRIS

Sumber: http://focuss.my/14-kaedah-penghapusan-etnik-muslim-rohingya/

www.indahnyaislam.my

 

text gambar

3 thoughts on “14 kaedah penghapusan etnik muslim Rohingya

  1. TAHUKAH ANDA, PEMBUNUHAN DAN KEZALIMAN KEPADA ETNIK ROHINGYA SUDAH SAMPAI TAHAP DARURAT WAKTU INI ?

    Sedih. Sangat menyedihkan. Setiap hari masuk berita dalam Whatsapp group saya mengenai keadaan terkini di Mnyanmar. Secara specifiknya, di Arakan.

    Dahulu, semasa di bawah pemerintahan junta tentera, kekejaman kepada etnik Rohingya berlaku sepanjang masa.

    Apabila Aun San Suu Kyi berjaya menjadi pemerintah menewaskan parti junta tentera, harapan besar diletakkan di bahu pemegang nobel keamanan ini untuk menghentikan kekejaman kepada etnik Rohingya ini.

    Namun, ianya meleset sama sekali.

    Kini, kekejaman menjadi lebih buruk berbanding zaman pemerintahan junta tentera.

    ASSK terang terang isytihar polisi tidak boleh lagi gunakan nama Rohingya di negaranya. Rohingya ini dianggap tidak sah langsung untuk duduk di negara Mnyanmar.

    Kesan dari itu, kami mendapat berita etnik Rohingya sedang di halau secara aggresif dari semua perkampungan mereka.

    Tidak cukup dengan itu, setiap hari dikhabarkan paling minima 5 orang gadis akan diculik dan dirogol oleh tentera pemerintah. Allahuakbar! Melampau sungguh!

    Anak anak kecil dibunuh tanpa peri kemanusiaan. Ada satu gambar yang saya dapat cukup menyedihkan. Terburai isi perut si kecil yang tidak berdosa itu. Tak sanggup saya kongsikan gambar itu di sini. Sangat menyayat hati. Nauzubillah.

    Yang dewasa ada yang disembelih hidup hidup. Dipenggal kepala dan disepak seumpama bola . Dan ini bukan cerita puluhan tahun lepas, bukan juga cerita tahun lepas , bukan juga cerita bulan lepas, ini cerita sekarang! Cerita hari ini!

    Nah! Mahu tunggu apa lagi?

    Kami para NGO Islam di Asean segera buat mesyuarat tergempar. Etnik Rohingya ini mesti segera dibantu. Apatah lagi mereka saudara seakidah dengan kita.

    Hasil mesyuarat, kami setuju untuk lancarkan kempen Food Flotilla For Mnyanmar (Rohingya).

    Kami telah salurkan bantahan secara rasmi kepada seluruh kedutaan asing , negara OIC, ASEAN SECRETARIAT, dan kami telah pun menghantar memo dan terus berdemo di pejabat UN.

    Kami juga komited untuk segera lancarkan kutipan dana sebanyak mungkin untuk menghantar bantuan kecemasan berupa makanan, perubatan dan pakaian kepada mereka yang sedang di zalimi di Mnyanmar.

    Tak cukup dengan itu. Kami mahu usaha kali ini biar dapat perhatian seluruh dunia. Kami mahu dunia segera bertindak hentikan kekejaman di Mnyanmar. Lalu lahir idea untuk hantar kapal penuh dengan barang bantuan kesana. Biar pun ada halangan besar yang menanti,kami tak kisah,kami akan redah aje!

    Lagi kami dihalang, lagi kuat keinginan kami untuk merempuh masuk memberi bantuan. Kami tidak akan berdiam diri melihat saudara Rohingya kita dibelasah setiap masa!

    Ayuh teman teman, bantu kami untuk membantu mereka.

    Paling kurang, tolong like dan share kan posting ini supaya lebih ramai orang boleh terlibat dalam memberikan bantuan kepada Umat Islam Rohingya.

    Insya Allah, target kami selewat lewatnya bulan 12 ini kapal akan bergerak.

    Buat masa itu, kami mohon sokongan dana dari orang ramai untuk kami salurkan bantuan kepada mereka.

    Sekiranya anda ada rezeki lebih, boleh juga salurkan bantuan kewangan kepada mereka berupa wang ringgit untuk mereka belikan keperluan segera seperti ubat ubatan , beras , pakaian dan khemah untuk berteduh. Akaun bank ngo kami ialah 5641-0042-1083 (Maybank, Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim).

    Sekali lagi, mohon bantu kami dengan like dan share posting ini kepada seramai mungkin kenalan anda.

    Terima kasih. Semoga Allah memberkati usaha kita semua. Amin.

    Ustaz Hakim Mohd Nor
    Setiausaha Serantau Muslim
    Layari http://www.smuslim.com utk kepastian

    SM Hotline: +60108659407
    admin@smuslim.com

  2. Kenyataan Media MAPIM
    12 hb Disember 2016

    MAPIM GESA KETUA BUDDHA MALAYSIA BERTINDAK HENTIKAN PENINDASAN KE ATAS MUSLIM ROHINGYA DI MYANMAR.

    MAPIM mengesa ketua dan komuniti Buddha di Malaysia bertindak untuk mendesak ketua Buddha di Myanmar supaya hentikan penindasan ke atas umat Islam Rohingya khususnya dan umat Islam umumnya di Myanmar.

    Kami mengalu-alukan kenyataan ketua Sami Buddha Malaysia , Datuk K Sri Dhammaratana , baru-baru ini berkaitan dengan isu Rohingya . Mengikut laporan media, beliau mengeluarkan kenyataan mengutuk keganasan puak ekstrimis nasionalis Buddha di Myanmar terhadap Rohingya Muslims. Beliau menekankan bahawa ajaran Buddha menolak sebarang keganasan.

    Namun kenyataan tersebut tidak memadai. Sejak 9 hb Oktober sehingga hari ini, penindasan yang ekstrim telah dilakukan di daerah Maungdaw di negeri Rakhine , Myanmar. oleh tentera yang didalangi oleh penganut Buddha dibawah seorang ketua sami dan bekas banduan penjara bernama Ashin Wirathu.

    Serangan dengan senjata berat di Muangdaw oleh tentera telah mengakibatkan ratusan etnik Rohingya Muslim terbunuh, ribuan rumah dibakar termasuk masjid dan puluhan ribu menjadi pelarian tanpa sebarang perlindungan dari mana-mana pihak.

    Kami berpendirian walaupun ada penafian bahawa pergolakkan di Myanmar terutama di negeri Rakhine bukan bersifat konflik ugama, namun penggerak kepada penindasan umat Islam Rohingya itu ternyata adalah oleh seorang ketua Buddha , iaitu Ashin Wirathu , yang memimpin gerakan anti Islam sejak 2012 di Myanmar dibawah nama Gerakan 969, sebuah gerakan Buddhis Nasionalis.

    Bermula dari kempen 969 itu , beliau menyeru penganut Buddha di seluruh Myanmar jangan berusniaga dengan Muslim , jangan menjual sebarang harta kepada Muslim dan melarang sebarang wanita Buddha berkahwin dengan mana-mana lelaki Muslim.

    Malah para sami yang menjadi pengikut kepada Wirathu melancarkan kempen membenci umat Islam dengan pelbagai gelaran yang membawa kepada kebencian yang mendalam terhadap kaum minoriti etnik Muslim seperti “anjing gila” ,
    “teroris” , “penceroboh” dan Muslim mempunyai “Master Plan” .

    Malah melalui ceramah Wirathu yang diedar melalui DVD, fb dan media sosial , kaum Muslimin didakwa “mensasar gadis Burma, dan merogol mereka ” dan Muslim “terlibat dengan amalan kronisnisme”.

    Dalam theguardian.com melaporkan ,

    ” Buddhist monk uses racism and rumours to spread hatred in Burma. Thousands watch YouTube videos of 45-year-old ‘Burmese Bin Laden’ who preaches against country’s Muslim minority”

    ( ” The saffron-robed 45-year-old regularly shares his hate-filled rants through DVD and social media, in which he warns against Muslims who “target innocent young Burmese girls and rape them”, and “indulge in cronyism”) . ( theguardian.com )

    Beliau berulang-ulang menuduh bahawa Muslim adalah “kasar” dan “ganas” dan mengingatkan kepada penganut Buddha, tindakan keatas Muslim wajar dilakukan untuk melindungi Myanmar dan Agama Buddha.

    The Guardian melaporkan sikap Wirathu seperti berikut :

    “…… and it becomes clear how his paranoia and fear, muddled with racist stereotypes and unfounded rumours, have helped to incite violence and spread misinformation in a nation still stumbling towards democracy.

    “We are being raped in every town, being sexually harassed in every town, being ganged up on and bullied in every town,” Wirathu recently told the Guardian, speaking from the Masoeyein monastery in Mandalay where he is based.

    “In every town, there is a crude and savage Muslim majority.”

    Tidak boleh dinafikan kempen membenci kaum Muslimin dan Islam di Myanmar adalah inti kepada gerakan 969 yang beliau pimpin dan nampaknya mendapat dokongan dari pihak pemerintah .

    Dalam pelbagai dokumentasi video oleh media antarabangsa, keganasan penganut Buddha yang membunuh, membakar rumah, kedai dan masjid Muslim di Yanggon dan Meikhtila pada 2013 jelas menunjukkan bahawa siri serangan tersebut adalah bersifat kebencian kepada Islam.

    Wirathu mendakwa dalam setiap komuniti Islam wujud teroris Muslim yang dibiaya oleh pihak luar untuk mengancam sekuriti Myanmar. Dengan yang demikian semua penganut Buddha mesti mempertahankan negara dan agama mereka dari kaum Muslimin.

    Guardian melaporkan lagi : ” Wirathu openly blames Muslims for instigating the recent violence. A minority population that makes up just 5% of the nation’s total, Wirathu says Burma’s Muslims are being financed by Middle Eastern forces: “The local Muslims are crude and savage because the extremists are pulling the strings, providing them with financial, military and technical power,” he said.”

    Dari semua rekod dan siasatan media bebas antarabangsa dan dalam negeri Myanmar , jelas keganasan yang tercetus sejak sekian lama da kini terus berlaku lagi di Maungdaw adalah bersifat serangan agama, bukan hanya konflik komunal.

    Kami mengesa ketua Buddha agar :

    1. Menulis dan menegaskan kepada ketua Buddha di Myanmar bahawa mereka perlu berusaha menghentikan penganut esktrimis Buddha di bawah Wirathu dari menindas dan menganas terhadap masyarakat Islam di Myanmar.

    2. Menghantar delegasi Buddha dari Malaysia ke Myanmar untuk menyampaikan pendirian bahawa gerakan Nasional Buddha yang diketuai Wirathu perlu dihentikan dan kembali kepada ajaran Buddha yang menolak pembunuhan dan keganasan.

    3. Menganjurkan perhimpunan komuniti Buddha di Malaysia untuk menyatakan pendirian menolak dan mengutuk keganasan ke atas Rohingya Muslims di Myanmar.

    4. Menulis surat kepada Dalai Lama sebagai antara pemimpin Buddha dunia supaya berusaha menekan ketua dan sami Buddha di Myanmar menghentikan keganasan.

    5. Menulis surat kepada Majlis Buddhis Sangha SeDunia ( World Buddhis Sangha Council ) supaya mengutuk serangan agama di Myanmar dan mendesak supaya badan itu bertindak menghentikan kezaliman yang dilakukan ke atas kaum Muslimin di Myanmar.

    6. Menganjurkan dialog antara agama bagi mengeluarkan resolusi dan pendirian terhadap keganasan di negara Budhhis Myanmar.

    MOHD AZMI ABDUL HAMID
    President
    Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *