home Semasa Produk permainan berbentuk ilmiah dan patuh syariah dapat pengiktirafan

Produk permainan berbentuk ilmiah dan patuh syariah dapat pengiktirafan

cv2014

 

NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) meraih kejayaan menerusi dua produk yang dipertandingkan pada Ekspo Antarabangsa mengenai Idea, Ciptaan, Inovasi dan Reka Bentuk Patuh Syariah (ISCIIID) 2016 di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Produk Global Zakat Game: Bijak Zakat (GzakatG V1.0) dan Model Penganjuran Sukan dan Peraduan Patuh Syariah mendapat pingat emas dan Anugerah Umar Al-Khattab (Produk Terbaik Profesional/Akademik) serta Anugerah Abu Bakar As-Siddiq (Produk Terbaik Keseluruhan).

Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-Undang USIM Prof Madya Dr Azman Ab Rahman berkata, GzakatG V1.0 adalah sebuah inovasi baharu yang berbentuk permainan ilmiah berkaitan fiqh zakat.

Katanya, ia direka bagi mengukuhkan kemahiran pengiraan zakat harta dalam kalangan amil dan muzakki meliputi pelbagai jenis zakat seperti zakat pendapatan, pertanian, penternakan serta emas dan perak, pada masa yang sama melahirkan amil profesional dan cekap dalam aspek pengurusan zakat.

“Kami percaya produk ini mampu menarik perhatian masyarakat kerana ciri-ciri istimewa dan kelainan yang dibawa berbanding dengan produk lain. Produk ini juga boleh dijadikan sebagai alat bantu mengajar interaktif di sekolah, universiti dan kursus pemerkasaan amil zakat,” katanya di sini, hari ini.

Selain itu, katanya kumpulan yang diketuai beliau itu turut mendapat pingat emas bagi Produk Model Penganjuran Pertandingan Sukan dan Peraduan Patuh Syariah.

Katanya, ia diperkenalkan bagi memastikan setiap pertandingan yang dianjurkan mematuhi prinsip syariah dan memberi pendedahan kepada atlet, jurulatih serta masyarakat tentang konsep bersukan patuh syariah.

“Melalui model ini, ia menyediakan cadangan garis panduan kepada pihak penganjur untuk mengadakan pertandingan yang patuh syariah dan penganjuran sukan yang menepati syarak serta dilengkapi dengan modul komprehensif,” katanya.

Beliau juga berharap supaya GzakatG V1.0 dan Model Penganjuran Sukan dan Peraduan Patuh Syariah dapat dikomersialkan secara meluas kepada golongan sasaran supaya masyarakat luar dapat menerima manfaat daripada produk inovasi ini.  – Bernama

www.indahnyaislam.my

text gambar

One thought on “Produk permainan berbentuk ilmiah dan patuh syariah dapat pengiktirafan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *