home Semasa Jangan lelah berusaha Cikgu!

Jangan lelah berusaha Cikgu!

 

Dia mengamuk lagi! Kali ini habis meja dan kerusi yang berhampiran dengan nya diterbalikkan. Dihumban beg- beg sekolah milik rakannya berterabur di dalam kelas. Kelas itu sekali lagi menjadi huru hara. Murid-murid lain semuanya telah dikumpulkan di luar bilik darjah. Berkerumun berhampiran dengan guru mereka yang bergenang air mata di koridor bilik darjah. Barangkali mahu menangis kerana sudah putus akal memikirkan kaedah menenangkan anak ini.

Seorang guru senior cuba menenangkan murid lelaki yang seperti gajah naik minyak itu. Guru perempuan yang punyai belasan tahun pengalaman mengajar murid tahun satu itu nyata tenang menghadapi anak ini. Dibiarkannya anak ini bertindak ganas menolak meja dan kerusi sambil menjerit-jerit. Barangkali menzahirkan ketidakpuashatian. Dia hanya mengawal dan menghalang anak ini dari mencederakan diri sendiri.

Guru perempuan itu seolah – olah seperti seorang penjinak kuda mahir yang sedang berusaha menghadapi kuda yang enggan diletakkan tali pedatinya. Sekejap- sekejap dia juga persis seorang matador yang sedang menghadapi lembu jantan yang ganas dengan kain merah ajaibnya. Menepis barang-barang yang dilemparkan kepadanya oleh anak malang ini.

Bukan sekali ini anak berusia tujuh tahun ini mengamuk begini. Berkali-kali sudah amukannya menghentikan pengajaran dan pembelajaran yang sedang berlangsung di dalam bilik darjah. Para guru terpaksa mengawalnya agar dia tidak mencederakan rakan- rakan sekelasnya. Pernah sekali salah seorang murid di dalam kelas itu cedera terkena bekas pensil besi yang dibalingnya membuta tuli. Hanya kerana salah seorang rakannya mengusik bekas pensil tersebut tanpa izinnya. Dan selalunya apabila penat mengamuk dia akan tertidur di kerusi atau meja tulisnya.

Setelah berbulan sekolah berlangsung, dia masih begitu. Sehinggakan menjadi bualan para guru.Kerap juga menerima aduan dan rungutan dari para ibu bapa yang risaukan keselamatan anak mereka di dalam kelas tersebut. Beberapa kali guru-guru tahun satu berbincang untuk menangani karenahnya yang suka mengamuk itu. Namun seringkali berakhir dengan usaha yang tidak tahu janji hasilnya. Sudah mati akal guru-guru.

Di rujuk kepada kaunseling, berbincang dengan ibu bapa, pendekatan psikologi semuanya sudah dibuat namun dia tetap begitu. Kaunselor juga menemui jalan buntu. Hati guru mana yang mampu bertahan jika anak muridnya terus begitu tanpa boleh di rawat.

Ibunya apatah lagi. Sentiasa berendam air mata apabila bertemu guru-guru di sekolah. Ibu mana yang mampu menahan perasaan bila anaknya berperangai sedemikian.

Akhirnya para guru mengambil keputusan. Tidak mengapa dia mengamuk sedemikian. Asalkan dia masih mahu menghadirkan diri ke sekolah, Menyediakan satu senarai tindakan untuk menjaga keselamatan murid -murid lain sekiranya di mengamuk. Dan mengambil langkah untuk mengubah tingkah laku anak ini secara beransur-ansur. Bermula dengan nasihat salah seorang ustaz yang mahu para guru memanggilnya dengan nama keduanya kerana nama pertamanya dalam Bahasa Arab membawa maksud yang amat keras jika diterjemah ke dalam Bahasa Melayu.

Guru-guru yang mengajar di kelas anak ini sungguh luar biasa. Meskipun saban hari berhadapan dengan amukan anak ini tidak sedikitpun memutuskan nafsu mereka untuk terus mendidik. Ya, adakalanya mereka mengeluh. Namun keluhan itu bukanlah lambang putus asa atau harap tetapi sebagai mukaddimah buat memanjang bicara mencari solusi menghuraikan kekusutan mereka. Dan selepas itu masing-masing tetap bertebaran ke kelas-kelas membawa cahaya semangat baharu.

Itu kisah 5 tahun yang lalu.
Sememangnya ada banyak perkara yang tidak dapat diselesaikan serta merta. Perlukan ketabahan dan pengorbanan yang tinggi untuk membuat perubahan sedikit demi sedikit.Mencetak manusia tidak semudah mencetak buku. Memupuk tingkah laku positif tidak semudah menulis bait-bait ayat dalam helaian buku. Mencorak hati memerlukan lebih dari sebatang pena.

Mutakhir ini, kemenjadian menjadi satu kalimah yang sering disebut-sebut. Diseru kepada sekalian

guru agar menjadikannya sebagai hasrat utama warga pendidikan. Justeru laksana soldadu di medan tempur yang dilengkapi senjata buat menewas musuh, dilengkapkan semua guru dengan idea-idea kemenjadian murid yang menjadi aspirasi pendidikan negara.

Aku masih ingat suatu waktu dimana saya bertemu dengan seorang guru yang sudah bersara. Bertukar-tukar pandangan dan cerita menarik tentang suasana pendidikan. Separuh hayatnya dihabiskan dalam mendidik anak- anak di sekolah rendah. Katanya, bergaul dengan anak-anak sekolah rendah, jangan mudah hilang sabar. Kena ada OTAK. Bukan otak di kepala ini semata tetapi,

O :- Observe ( sentiasa memerhati tingkah laku mereka )
T :- Target ( Perlu ada sasaran apa yang ingin diperbaiki )
A :- Action ( Bertindak pantas pada tingkah laku yang negatif )
K :- Knowledge ( Ilmu pengetahuan mengenai tingkahlaku dan psikologi mereka sentiasa perlu di tingkatkan ) .

Tersengih-sengih aku saat beliau menghuraikan setiap akronim itu. Sepanjang perbualan kami banyak sungguh akronim yang dikongsikan. Semuanya aku catatkan buat bekalan untuk menempuh cabaran dunia pendidikan.

Tidak dinafikan kemenjadian itu amat mudah disebut namun menciptanya seringkali menyebabkan air mata tumpah dan hati yang retak seribu. Justeru daya tahan yang amat tinggi diperlukan bagi mereka-mereka yang melibatkan diri dalam dunia percetakan manusia ini. Ya…kita! Ibu bapa, para guru, para ustaz dan ustazah, pensyarah, pendakwah dan sesiapa sahaja yang meletakkan dedikasi kehidupannya untuk mencetak manusia. Orang -orang yang menjadi penyumbang utama kepada ketamadunan manusia yang manusiawi bukan sekadar kemodenan kering yang menafikan peranan hati dalam kemajuan teknologi yang dibangunkan.

Membentuk kemenjadian generasi alaf ini memerlukan para guru terutamanya menjadi pohon yang subur dan sentiasa berbuah. Memberi manfaat bukan sahaja kepada manusia yang sukakan buahnya, malahan kepada haiwan yang bergantung hidup dengannya.. Paling tidak menjadi tempat menumpang teduh sang musafir dari panas terik matahari. Dilempar batu, kayu dan kadang kala selipar oleh anak-anak yang berhajat kepada buahnya. Namun setiap lemparan itu kita balas dengan buah buahan yang masuk ranum untuk dinikmati mereka. Dan kekal kita begitu sehingga sampai ketetapan untuk menjemput kita kembali.

Untuk para guru yang mengabdikan diri dengan usaha-usaha men’jadi’kan murid-murid ini, parut luka pengorbanan sememangnya tidak pernah sembuh. Pergorbanan itu bererti berkorban. Berkorban itu selalunya sakit dan derita. Dan seolah-olah telah ditakdirkan bahawa derita itu akan sentiasa menjadi asam garam perjuangan. Sungguhpun jika dilihat guru-guru alaf ini dari sudut materinya sudah agak senang dan terbela namun jika diselak dalam sudut hatinya senantiasa akan ada parut-parut luka emosi dan harapan yang tidak selalunya indah. Itulah guru.

Kini setelah 5 tahun berlalu sudah. Anak yang dahulunya terkenal dengan amukannya kini menjadi sebaliknya. Dia kini dikenal sebagai murid yang paling bersopan dan tinggi hormatnya kepada guru. Tiada lagi amukan luarbiasanya melainkan kemarahan biasa seorang anak lelaki bila diusik rakan sebaya. Para guru terus dan sentiasa memujinya. Beliau seolah-olah anak yang membesar dengan pujian dan perhatian istimewa para guru. Dari sekeras-keras manusia kini dia berubah menjadi seorang yang lebih matang dan lembut dalam tingkah lakunya. Jika ada murid yang tersenyum, memberi salam dengan suara yang penuh sopan di sekolah ini, maka dia lah orangnya.

Dan dengan ini sudah cukup untuk membuatkan aku tersenyum puas dan bersyukur meskipun banyak parut luka di hati yang masih belum sembuh.

Cikgu Asmadi Abdul Samad
Dalam hati ada taman.

www.indahnyaislam.my

text gambar

One thought on “Jangan lelah berusaha Cikgu!

  1. boleh kenal dgn pelajar ni tak, di mana dia skrg?… Something good to make a research. Sungguh menarik. Mungkin dia da bersekolah menengah. Boleh dapatkan maklumat?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *