home Semasa ‘Kanak-kanak ajaib’ tawaf menggunakan dua tangan

‘Kanak-kanak ajaib’ tawaf menggunakan dua tangan

 

MAKKAH – Kegigihan, semangat serta azam seorang remaja lelaki dari Qatar yang disifatkan sebagai ‘kanak-kanak ajaib’, melaksanakan umrah mendapat perhatian ramai, termasuk daripada Imam Masjidil Haram, Syeikh Maher Al-Meiqli.

Walaupun dia lemah, dia mampu untuk mengatasi kecacatannya dan membuktikan kepada orang ramai bahawa kecacatan yang sebenar ialah kecacatan jiwa dan mustahil baginya untuk menyerah kepada ketidakupayaan itu.

Ghanim Al-Miftah, 15 tahun, dilahirkan dengan ‘Caudal Regression Syndrome’, sindrom yang menganggu perkembangan tulang belakang menjadikannya lebih rendah, mendapat perhatian media sosial yang menyiarkan klip video dia bergerak melakukan tawaf hanya menggunakan tangan.

Hasratnya untuk melakukan umrah mendapat perhatian Putera Sultan bin Salman, yang juga Presiden Suruhanjaya Pelancongan dan Warisan Kebangsaan Arab Saudi, yang menanggung perbelanjaannya.

“Allah menjawab doa saya dan saya mampu melakukan umrah serta bertawaf menggunakan kedua-dua tangan saya,” katanya yang digelar ‘Duta Kanak-Kanak Qatar’ .

Di sebalik kecacatan fizikalnya, dia mencipta nama sendiri – menubuhkan badan amal, kelab sukan dan telah mengasaskan kedai ais krim sendiri.

Dalam klip video yang dimuat naik oleh media sosial, Ghanim menyatakan penghargaan kepada semua pihak yang membuatkan impiannya untuk melakukan umrah, menjadi kenyataan.

“Kemudahan yang saya terima pertama dan paling utama adalah daripada Allah dan mereka yang membantu saya untuk datang ke Makkah. Saya tidak akan lupakan mereka dalam setiap doa saya,” katanya.

Ketika melakukan umrah, Ghanim dikelilingi anggota polis bagi memastikan keselamatannya berikutan ramai jemaah yang melakukan umrah, khususnya ketika tawaf.

Ketika melakukan tawaf, dia tidak menggunakan kerusi roda yang disediakan, sebaliknya bergerak mengelilingi Kaabah tujuh pusingan menggunakan tangan. Dia dibantu oleh ahli keluarganya untuk mencium Hajarul Aswad.

Selepas melakukan solat sunat, dia dihampiri oleh Syeikh Maher, yang berbual dengannya dan mencium dahinya serta memuji keazamannya.

“Apabila saya mendengar anda berada di sini, saya datang untuk menyambut anda,” kata Syeikh Maher.

“Apa yang mampu saya katakan apabila disambut oleh imam yang disayangi. Semoga Allah melindunginya. Suara merdunya menyentuh hati ramai orang dan saya kerap mendengar bacaannya. Saya tidak menjangka untuk bertemunya di sini, sehingga saya hilang kata-kata,” kata Ghanim.

Dia kemudian memuat naik gambar dan klip video umrah itu dalam akaun Instagramnya, di mana dia mempunyai lebih 950,000 pengikut. – Ismaweb

 

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *