home Kolumnis, Semasa Pengusiran Bani Nadhir: Menyingkap wajah dan kesudahan munafiqin

Pengusiran Bani Nadhir: Menyingkap wajah dan kesudahan munafiqin

 

Muhammad Bin Maslamah menjadi utusan yang dihantar Rasul SAW bagi menyampaikan berita mereka diusir. Beliau adalah sekutu Bani Nadhir sebelum keIslamannya.

“Kamu telah merancang untuk membunuh Baginda Rasul SAW dengan menjatuhkan batu besar dari atas tembok kalian. Ini pengkhianatan. Hukumannya, seluruh kaum Bani Nadhir mesti meninggalkan Madinah dalam masa 10 hari. Tiada senjata. Hanya barang yang boleh dibawa muatan seekor unta.”

Bani Nadhir terkedu. Orang putih kata ditangkap “off-guard”. Orang NS sebut, “rahsia sudah terkobok”. Mereka tiada alasan kerana perancangan jahat mereka dibongkar oleh Allah SWT kepada Rasul SAW melalui perantaraan Jibril.

“Bukankah kita dahulu sahabat karib ya Muhammad?”

Muhammad Ibn Maslamah menjawab tegas. “Itu sebelum keIslamanku. Kini kecintaan dan taat setiaku hanyalah untuk Allah dan Rasul. Wala’ dan bara’ aku hanya kepada Baginda”.

Beginilah sikap mukmin sejati yang ditunjukkan oleh sahabat yang mulia, Muhammad Ibn Maslamah yang seharusnya dicontohi. Ketegasan terhadap musuh Allah secara jelas dan tegas tanpa kompromi. Ketegasan dalam menyatakan yang haq adalah ciri penting ajaran Rasulullah SAW yang bersifat rahmat kepada sekalian alam. Rahmat bukan bererti tunduk goyah berdepan musuh Allah serta mudah terpedaya dengan perancangan licik musuh.

Adapun sikap golongan munafik adalah sama sekali berbeza. Abdullah bin Ubay, ketua kaum munafik di Madinah terperanjat besar menerima berita pengusiran. Dia bersegera bertemu Bani Nadhir dan memberikan janji dan sumpah setia kepada mereka.

“Mereka (orang-orang munafiq) tergamak berkata kepada saudara-saudara mereka yang kafir dari kalangan ahli Kitab (Yahudi Bani Nadhir ini): “Sesungguhnya, kalau kamu dihalau keluar sudah tentu kami akan keluar bersama-sama kamu, dan kami tidak akan tunduk taat kepada sesiapapun yang menentang kamu selama-lamanya; dan kalau kamu diperangi, sudah tentu kami akan berperang bersamamu!” (Rujuk Al-Hasyr ayat 11).

Bagi munafiqin, wala’ dan bara’, kecintaan dan taat setia mereka jelas kepada musuh Allah, sekalipun mereka di khalayak ramai mengaku beriman. Betapa bahayanya golongan ini. Perancangan dan tindakan mereka boleh menghancurkan kekuatan dan persaudaraan Islam yang terbina.

Mereka ada di setiap zaman. Mereka ada di setiap negara. Ramai di kalangan mereka mencanangkan slogan kononnya mereka membawa kepada Islam tetapi hakikatnya mereka bersama kumpulan yang menentang Islam dan umat Islam. Mereka mungkin juga berhujah dengan Quran dan Hadith, tetapi tafsiran mereka tersasar jauh dari kehendak sebenar. Di belakang, mereka membuat pakatan jahat dengan kumpulan dan parti yang jelas memusuhi Islam.

Akhirnya janji Abdullah Bin Ubay hanya tinggal janji. Mereka tidak pun membantu Bani Nadhir sebagaimana sumpah mereka. Bani Nadhir di usir hina dari Madinah kerana pengkhianatan mereka terhadap Allah dan Rasul.

Persoalannya, apakah kesudahan yang bakal menimpa golongan Yahudi dan munafiqin ini, setelah mereka khianat terhadap Allah dan Rasulnya. Di dalam surah Al-Hasyr, keputusan Allah terhadap mereka amat jelas bahawa kedua kumpulan ini akan ke neraka dan mereka kekal di dalamnya.

كَمَثَلِ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ قَرِيبًا ۖ ذَاقُوا وَبَالَ أَمْرِهِمْ وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

(Sikap kaum Yahudi itu) samalah seperti orang-orang (dari suku Yahudi) yang terdahulu sedikit dari mereka (Bani Qainuqa yang juga dihalau sebelum mereka), yang telah merasai akibat yang buruk (di dunia) dengan sebab bawaan kufur mereka; dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya (pada hari akhirat kelak) Al-Hasyr 15.

كَمَثَلِ الشَّيْطَانِ إِذْ قَالَ لِلْإِنْسَانِ اكْفُرْ فَلَمَّا كَفَرَ قَالَ إِنِّي بَرِيءٌ مِنْكَ إِنِّي أَخَافُ اللَّهَ رَبَّ الْعَالَمِينَ

(Adapun sikap kaum munafik) itu samalah seperti (sikap) Syaitan ketika ia berkata kepada manusia: “Berlaku kufurlah engkau!” Setelah orang itu berlaku kufur (dan dikenakan azab), berkatalah Syaitan kepadanya: “Sesungguhnya aku berlepas diri daripadamu, kerana sebenarnya aku takut kepada Allah, Tuhan yang menguasai seluruh alam. Al Hasyr 16.

فَكَانَ عَاقِبَتَهُمَا أَنَّهُمَا فِي النَّارِ خَالِدَيْنِ فِيهَا ۚ وَذَٰلِكَ جَزَاءُ الظَّالِمِينَ

Kedua mereka ditempatkan di dalam neraka, kekallah kedua mereka di dalamnya. Dan yang demikian itulah balasan makhluk-makhluk yang zalim. Al Hasyr 17.

Berpegang teguhlah kita semua dengan Islam dan ajarannya. Bersamalah kita mencontohi sahabat Muhammad Ibn Maslamah yang memberikan taat setia dan seluruh jiwa raganya untuk Allah dan RasulNya. Lihatlah sekeliling dan telitilah sikap mereka yang mewarisi sikap dan perangi buruk Abdullah Bin Ubay dan berhati-hatilah dengan watak dan wajah munafiqin ini sepanjang zaman.

Allahua’lam.

Ustaz Haji Omar Kassim
Pengerusi Biro Dakwah ISMA

www.indahnyaislam.my

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *