home Kalam Tokoh, Semasa Tiada pilih kasih dalam hukum

Tiada pilih kasih dalam hukum

 

Antara keindahan hukum dalam Islam ialah ia berkuatkuasa kepada semua golongan orang mukallaf tanpa mengira kedudukan dan pangkat. Pengecualian hanya berlaku dalam situasi yang sangat terhad seperti dalam keadaan musafir, sakit, terpaksa dan beberapa keadaan lain. Tiada kekebalan dikhaskan untuk golongan–golongan tertentu sehingga dikecualikan daripada menunaikan kewajipan-kewajipan syarak mahupun terlepas daripada hukuman-hukuman yang ditetapkan.

Sesuatu yang diharamkan oleh Allah sifatnya adalah menyeluruh. Tiada istilah sesuatu itu diharamkan hanya kepada orang Arab dan dihalalkan kepada bukan Arab, sesuatu itu harus untuk orang yang berkulit putih tetapi haram bagi yang berkulit hitam, ataupun sesuatu yang dikecualikan larangannya hanya kepada sekelompok manusia yang berstatus sosial yang tinggi dan dilarang kepada rakyat marhain.

Allah adalah tuhan seluruh makhluk dan peraturannya tertuju kepada semua makhluk-Nya. Mencuri itu haram samada yang dicuri itu sedikit atau banyak. Haramnya mencuri itu tetap kekal tidak kira samada yang mencuri itu orang biasa atau orang ternama. Nabi SAW sendiri menegaskan “Demi Allah jika Fatimah binti Muhammad yang mencuri, nescaya aku sendiri yang akan memotong tangannya.” (Hadith Muttafaq ‘alaih)

Pernah berlaku kecurian di zaman Nabi SAW . Kekeliruan berlaku samada pencuri itu seorang muslim atau yahudi. Kaum kerabat muslim yang dituduh itu berjaya melakukan beberapa keraguan sehingga seolah-seolah pencuri berkenaan adalah yahudi sehingga Nabi SAW hampir terpengaruh dengan mereka walaupun hakikatnya si pencuri itu adalah muslim berkenaan. Maka turunlah ayat 105–109 surah al Nisa’:

“Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) dengan membawa kebenaran, supaya engkau menghukum di antara manusia menurut apa yang Allah telah tunjukkan kepadamu (melalui wahyuNya); dan janganlah engkau menjadi pembela bagi orang-orang yang khianat. Dan hendaklah engkau memohon ampun kepada Allah; kerana sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Dan janganlah engkau berbahas untuk membela orang-orang yang mengkhianati diri mereka sendiri. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang selalu melakukan khianat, lagi sentiasa berdosa. Mereka menyembunyikan (kejahatan mereka) daripada manusia, dalam pada itu mereka tidak menyembunyikan (kejahatan mereka) daripada Allah. Padahal Allah ada bersama-sama mereka, ketika mereka merancangkan pada malam hari, kata-kata yang tidak diredhai oleh Allah. Dan (ingatlah) Allah sentiasa Meliputi PengetahuanNya akan apa yang mereka lakukan. Sedarlah! Kamu ini adalah orang-orang (yang telah menyimpang dari kebenaran), kamu telah berhujah membela mereka (yang bersalah) dalam kehidupan dunia ini, maka siapakah yang akan berhujah kepada Allah untuk membela mereka itu pada hari kiamat kelak? Atau siapakah yang akan menjadi pelindung mereka (dari azab seksa yang disediakan oleh Allah)?”

Dengan lain perkataan, tiada yang terlepas dan tiada yang tercicir daripada bertanggungjawab terhadap setiap keculasan dan kecurangan masing-masing. Dalam penguatkuasaan hukum Allah SWT tiada yang diistilahkan sebagai “ikan jerung” dan “ikan bilis”, mahupun pilih kasih dan pilih bulu.

Kita sebagai individu perlu akur dan insaf bahawa setinggi mana pun status kita, selicik mana pun permainan kita untuk melepaskan diri dari hukuman, mungkin terlepas ataupun dilepaskan dari hukuman dunia tetapi hukum akhirat sedang menanti kita.

Bagi agensi-agensi yang diamanahkan untuk menguatkuasakan undang-undang maka pesalah tetap pesalah walaupun setinggi mana pun darjat sosialnya di khalayak masyarakat.

Tidak menguatkuasakan undang-undang kerana faktor-faktor kepuakan, kumpulan mahupun darjat seseorang adalah merupakan satu pengkhianatan terhadap agama dan telah cuai menjunjung rukun negara iaitu “kedaulatan undang-undang”.

Sahibus Samahah Ustaz Hj Zamri Hashim
Timbalan Mufti Negeri Perak

www.indahnyaislam.my

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *