home Uncategorized Hubungan Malaysia, Arab Saudi lebih 600 tahun

Hubungan Malaysia, Arab Saudi lebih 600 tahun

Raja Faizal Abdul Aziz disambut Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah yang ketika itu Timbalan Yang di-Pertuan Agong, sewaktu lawatan baginda ke Malaysia pada Jun 1970.

 

Hubungan antara Malaysia dan Arab Saudi berakar umbi sejak empayar kepemimpinan Sultan Melaka mula bertapak di gugusan kepulauan Melayu, kira-kira 617 tahun lalu.

Menelusuri sejarah, hubungan kedua-dua negara yang berteraskan aktiviti perdagangan dipelopori saudagar Arab Saudi dari Oman, Aden, Jeddah dan al-Jahra, malah Melaka ketika itu turut dijadikan sebagai pusat penyebaran Islam di sekitar Nusantara.

Pensyarah Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Madya Dr Asmady Idris, yang menjalankan kajian mengenai pertalian Malaysia-Arab Saudi bagaimanapun berkata, hubungan politik kedua-dua negara di waktu Malaysia berada dalam kepemimpinannya sendiri, dirintis bapa kemerdekaan, Almarhum Tunku Abdul Rahman.

Katanya, keakraban dijalin antara Perdana Menteri Pertama dan Raja Arab Saudi ketika itu, Raja Faisal Abdulaziz Al-Saud, ibarat aur dengan tebing yang saling melengkapi dalam mencapai kerjasama serta gagasan diteroka kedua-dua pemimpin.

“Almarhum Tunku Abdul Rahman pada mulanya berdepan pelbagai detik canggung untuk mengadap Raja Faisal kerana pertemuan ketika itu membabitkan masa depan Malaysia dan peluang untuk negara mengorak kemajuan pembangunan.

“Mungkin ramai tidak tahu, kebanyakan sarjana Barat menyifatkan Kerajaan Arab Saudi sebagai negara ‘berahsia’ kerana mereka tidak akan sewenang-wenangnya melaksanakan sebarang perkongsian jika tidak mengenali latar belakang sesuatu pihak.

“Cabaran ini yang terpaksa diharungi Almarhum Tunku Abdul Rahman, namun sebaik ruyung dipecahkan, sagu yang diterima daripada Kerajaan Arab Saudi melimpah sehingga dirasai generasi kepemimpinan Perdana Menteri sekarang, Datuk Seri Najib Razak,” katanya kepada BH.

Rentetan kunjungan muhibah itu, Asmady berkata, pelbagai bantuan kewangan menerusi Dana Pembangunan Saudi disalurkan, khusus untuk membina institut agama dan menyuburkan aktiviti penyebaran dakwah Islam di negara ini.

Selain itu katanya, Kerajaan Arab Saudi juga tampil menghulurkan dana menerusi Rancangan Malaysia Ketiga yang terdiri daripada siri pembangunan untuk tempoh lima tahun, iaitu dari tahun 1976 hingga 1980.

“Dana pertama berjumlah AS$200 juta (RM893.5 juta – kadar tukaran ketika itu) Arab Saudi yang diberikan kepada Malaysia adalah pada zaman kepemimpinan Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak Hussein.

“Sumbangan bukan dalam bentuk kewangan yang disalurkan Kerajaan Arab Saudi pula merangkumi pemberian ratusan naskhah al-Quran dan penyampaian khutbah Jumaat di beberapa institusi keagamaan di Malaysia.

“Sejak tahun 1985, radio Arab Saudi dikenali ‘Nidah ul-Islam’ atau suara Islam turut mengadakan pelbagai siaran langsung dari Makkah menggunakan Bahasa Melayu untuk manfaat rakyat di negara ini,” katanya.

Sehubungan itu, Asmady yang juga Pengarah Penerbit UMS berkata, kunjungan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud ke negara ini atas jemputan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, akan membuka lembaran baharu kerjasama kedua-dua negara.

Katanya, tumpuan akan terarah kepada projek pembangunan di Arab Saudi menggunakan kepakaran Malaysia dalam bidang kejuruteraan kerana kepercayaan itu mula terbentuk sejak pelbagai kejayaan ditempa bakat tempatan, termasuk mengendalikan operasi sistem perkhidmatan rel Al Mashaaer Al Mugadassah Makkah Metro dan pembinaan menaik taraf jambatan ke Kompleks Jamarat.

“Kerajaan Arab Saudi sebelum ini lebih cenderung menggunakan kepakaran kejuruteraan dari beberapa negara barat seperti Eropah, Jepun dan Jerman, namun mereka mula mengiktiraf bakat serta kualiti Malaysia dalam bidang sama.

“Ini adalah kunjungan ketiga pemimpin Arab Saudi selepas Raja Abdullah Abdulaziz Al-Saud pada tahun 2006. Justeru, ia akan terus mengukuhkan hubungan dua hala Malaysia-Arab Saudi,” katanya. – Berita Harian

www.indahnyaislam.my

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *