home Semasa Saya bukanlah seorang muslim tetapi lawatan ke masjid hari ini membuat saya menangis

Saya bukanlah seorang muslim tetapi lawatan ke masjid hari ini membuat saya menangis

 

Hari ini merupakan “Hari Melawat Masjid” yang dianjurkan di peringkat nasional. Kami bertandang ke Newport dan ia adalah hari yang serba indah.

Pameran, makanan percuma (dalam jumlah yang cukup banyak), penyampaian berkaitan Islam dan melihat mereka solat bagi yang mahu terus menunggu adalah acara yang disediakan untuk para pelawat.

Kami melakukan semuanya kecuali melihat bagaimana mereka solat – kerana kesuntukan masa. Namun apa yang paling penting di atas semua acara ini adalah sambutan mereka yang sangat hangat, keterbukaan dan sifat pemurah yang menjadikan kami benar-benar merasa dihargai dan diraikan.

Sebaik kami melangkah masuk ke kawasan masjid, lantas kami di sapa penuh mesra. Melangkah beberapa langkah lagi ke dalam ruang masjid, tiba-tiba kedua-dua kami seperti mengalami kesan yang sama – kami berdua menangis teresak-esak hingga timbul pula perasaan malu.

Namun tangisan ini adalah cerminan kepada kesedaran sebenar, seolah-olah saya tidak langsung mengetahuinya sebelum ini, betapa kita semua adalah sama. Dan langsung tiada keperluan untuk kita berlaku jahat dan berpandangan serong terhadap mereka (mereka adalah sebahagian dari kita..).

Saya langsung dipeluk erat – hinggalah tangisan saya berhenti – oleh tiga wanita muslimah yang kemudiannya menerangkan kepada Jonny bahawa mereka tidak boleh memeluknya, yang membuatkan kami semua tertawa lantas menghentikan tangisan saya.

Saya memahami bahawa ini mungkin disalah ertikan sebagai membesarkan perkara yang kecil. Namun saya nekad untuk berkongsi pengalaman indah ini. Terroris ada dalam setiap agama (hanya Islam biasanya menjadi sasaran). Namun majoriti kita dalam dunia yang indah ini adalah orang yang mencintai kedamaian yang tidak mahu melihat konflik dan keganasan dikenakan ke atas kita oleh golongan minoriti dari mana-mana agama. Pengalaman di masjid ini adalah satu pengalaman yang terlalu istimewa dan mungkin suatu yang amat sukar dilupakan sepanjang hayat.

Jaki Miles-Windmill

Sumber: http://ilmfeed.com/visiting-a-mosque-today-made-me-cry/

www.indahnyaislam.my

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *