home Semasa Masih sihat beribadat di usia 116

Masih sihat beribadat di usia 116

 

BATU KURAU – Pada usia 116 tahun, Som Budin dari Kampung Repoh, di sini, mungkin menjadi warga emas tertua di Perak atau Malaysia.

Som yang lahir pada 24 Oktober 1900, bersyukur kerana usia dipanjangkan dan masih dalam keadaan sihat.

Walaupun usianya melebihi 100 tahun, warga emas ini masih boleh menjalani rutin harian tanpa bantuan orang lain.

Menurutnya, kini dia tinggal bersama anak dan menantunya di Kampung Repoh, Batu Kurau.

“Alhamdulillah tok masih sihat, walaupun mata dah tak nampak sangat dan telinga kurang dengar,” katanya semalam.

Tambah Som, sejak dahulu dia sering mengamalkan membaca al-Quran setiap hari terutama selepas solat.

“Selain itu, ketika masih sihat, tok juga mengajar anak-anak di kampung ini mengaji al-Quran.

“Tapi hari ini tak lagi sebab mata dah kabur,” katanya.

Sementara itu, anaknya, Idris Lazim, 65, berkata, dia bersyukur kerana usia ibunya dipanjangkan ALLAH dan berharap terus sihat.

“Selain mengamalkan bacaan al-Quran, ibu juga sering jaga pemakanan. Sampai sekarang dia masih makan ulam-ulaman kampung.

“Mungkin kerana amalan-amalan itu, kesihatannya masih baik walaupun penglihatan dan pendengaran kurang jelas,” katanya.

Mengulas lanjut, Idris berkata, ketika masih muda, ibunya mengusahakan sawah padi di Batu Kurau.

“Kebiasaannya begitulah, orang-orang dulu memang kuat kerja tak kira lelaki atau perempuan.

“Mereka dah biasa buat kerja berat dan keadaan tersebut menjadi faktor tubuh badan mereka sentiasa sihat dan bertenaga,” katanya.

Sementara itu, Adun Batu Kurau, Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria berkata, beliau gembira dan teruja selepas mengetahui usia mak cik Som telah mencecah 116 tahun.

“Saya sempat menziarahi mak cik Som dalam program ziarah di Dun Batu Kurau.

“Selain bertanya khabar, kita hulurkan sedikit bantuan dan sumbangan,” katanya.

Tambah Muhammad Amin, di Dun Batu Kurau terdapat 22 kampung, dan setiap kampung akan dilawati.

“Pada pandangan saya, sehingga kini di Batu Kurau, mak cik Som adalah warga emas tertua dan diharap dia akan terus sihat,” katanya. – Sinar Harian 9 Dis 2016

www.indahnyaislam.my

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *