home Kolumnis, Semasa Memperingati kegemilangan khilafah

Memperingati kegemilangan khilafah

10264488_1238523596161734_4654280534354325579_n

 

Baiah pertama

Kewafatan Rasulullah s.a.w. merupakan satu cabaran besar buat umat pada waktu itu, namun baginda telah menyediakan ‘Generasi Al-Quran yang Unik’ untuk menyambung risalahnya. Imam Al-Bukhari telah meriwayatkan sebuah hadith yang panjang dalam kitab Sahih Bukhari daripada Umar Al-Khattab r.a. tentang bagaimana berlakunya peristiwa baiah kepada khalifah pertama selepas kewafatan Rasulullah s.a.w. :

“.. Sesungguhnya antara pengalaman kami ialah ketika Allah mewafatkan Nabi-Nya s.a.w., kaum Al-Ansor tidak bersama kami, sebaliknya mereka berhimpun di Saqifah Bani Saadah. Ali dan Az-Zubair dan beberapa orang lain juga tidak bersama dengan kami. Kaum Muhajirin berkumpul di sisi Abu Bakar r.a.. Aku berkata kepada Abu Bakar : “Marilah bersama kami, kita pergi menemui saudara kita daripada golongan Al-Ansor.” Kami pun pergi menemui mereka. Apabila kami hampir kepada mereka, kami bertemu dengan dua orang lelaki soleh. Mereka berdua menceritakan apa yang berlaku dan bertanya : “Ke manakah tujuanmu wahai sekalian Muhajirin?” Kami menjawab : “Kami ingin bertemu saudara-saudara kami, golongan Al-Ansor.” Mereka berdua berkata : “Tidak perlulah kamu pergi kepada mereka sebaliknya selesaikanlah tugas kamu.” Aku berkata : “Demi Allah kami akan menemui mereka.”

Lalu kami pergi ke sana. Setibanya kami di Saqifah Bani Saadah kami dapati seorang lelaki yang berselimut berada di tengah-tengah orang ramai. Aku bertanya : “Siapakah ini?” Mereka menjawab : “Saad bin Ubadah.” Aku bertanya : “Kenapa dengannya?” Mereka menjawab : “Beliau sakit.”

Sejurus selepas kami duduk seketika, khatib mereka bangun lalu bertasyahhud dan memuji Allah. Dia berkata: “Kami adalah katibah Islam dan kamu (Muhajirin) adalah kelompok kecil yang menyusup meninggalkan kaummu. Tiba-tiba kamu ingin mengalahkan kami dan menguasai kami.” Apabila dia diam, aku ingin bercakap. Aku lebih mengetahui daripadanya beberapa batasan. Apabila aku ingin bercakap Abu bakar berkata: “Biarkan aku yang bercakap. Aku tidak ingin menimbulkan kemarahannya.” Lalu beliau berucap. Sesungguhnya dia lebih lembut dan lebih tenang daripadaku. Demi Allah, tidak ada satu pun perkataan yang ingin aku katakan melainkan dia mengucapkannya dengan tenang. Ia mengucapkan sama seperti apa yang aku ingin ucapkan atau lebih baik daripada yang inginku katakan. Kemudian dia diam.

Kata beliau : “Apa yang kamu ucapkan mengenai kebaikanmu, maka kamulah ahlinya. Sesungguhnya tidak diketahui seseorang yang lebih berhak untuk jawatan ini (khalifah) melainkan kaum Quraisy. Mereka adalah kabilah Arab yang pertengahan dari segi keturunan dan tempat. Sesungguhnya aku redha untuk kamu salah seorang daripada mereka berdua maka berbaiahlah kamu kepada mereka sekiranya kamu suka.” Lalu beliau memegang tanganku dan tangan Abu Ubaidah Amir bin al-Jarrah yang duduk bersama kami. Aku tidak membenci apa yang dikatakannya, cuma padaku sekiranya aku dibunuh supaya tidak memikul bebanan ini, ianya lebih aku sukai daripada aku menjadi Amir sedangkan bersamaku Abu Bakar As-Siddiq.

Bangun seorang Ansor dan berkata : “Akulah kayu tangga untuk menunggang unta dan kayu sangga kepada tamar yang merindang. Daripada kami seorang Amir dan daripada kamu seorang Amir wahai sekalian Quraisy.” Lalu berlakulah kekalutan dan kebisingan sehingga membawa perselisihan. Lalu aku berkata bentangkanlah tanganmu wahai Abu Bakar. Lalu beliau menghulurkan tangannya. Aku membai`ahnya dan diikuti oleh sekalian Muhajirin. Kemudian beliau dibaiah oleh kaum al-Ansor ..”

Hadith ini juga diriwayatkan oleh Ibn Kathir dalam Al-Bidayah wa Al-Nihayah, juga terdapat dalam Tarikh At-Tabari dengan riwayat Al-Bukhari dari Ibn Abbas r.a.. Begitulah peristiwa baiah pertama melantik khalifah, bagaimana bertapa bersungguhnya para sahabat dalam urusan melantik seorang pemimpin bagi sebuah Daulah Islamiyyah, kerana itulah yang akan menjamin kestabilan umat dan negara terutama selepas kewafatan Rasulullah.

Khulafa’ Ar-Rasyidin

Zaman pemerintahan Islam di bawah Khulafa’ Ar-Rasyidin yang empat iaitu Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali merupakan zaman keemasan bagi umat Islam, kerana generasi itu adalah sebaik-sebaik generasi seperti yang disebutkan Rasulullah s.a.w. dalam hadith :

“Sebaik-baik umat adalah pada zamanku, kemudian yang selepasnya, kemudian yang selepasnya.”
[ HR Bukhari ]

Abu Bakar As-Siddiq cukup dikenali sebagai khalifah yang tegas menjaga aqidah umat, memerangi golongan murtad dan nabi palsu serta mereka yang tidak membayar zakat, kerana hakikatnya semua golongan itu adalah pengkhianat kepada Rasulullah s.a.w. dan penganggu gugat kestabilan negara, di kala musuh-musuh Islam yang merupakan kuasa besar dunia sentiasa mengintai peluang untuk menghancurkan umat Muhammad. Perkara awal yang dilakukan Abu Bakar juga adalah menghantar tentera menghadapi kuasa Rom dan Parsi, sebagai bukti umat Islam itu tidak redha dengan sistem pemerintahan jahiliyyah serta jihad adalah medan penyebaran dakwah.

Umar Al-Khattab pula telah melakukan pembukaan besar-besaran sehinggalah kota Al-Quds berjaya menjadi milik umat Islam. Kesungguhan Uthman bin Affan menjaga umat yang semakin besar dari penyelewangan terutama di kalangan bukan Arab dapat dilihat dengan usaha menyatukan mushaf Al-Quran. Kebijaksaan Ali bin Abi Talib dalam dilihat dalam menguruskan konflik dalaman negara di zaman fitnah yang bermula akibat hasutan munafik.

Umar bin Abdul Aziz

Sosok tubuh yang digelar Khalifah Ar-Rasyid kelima ini iaitu Umar bin Abdul Aziz merupakan cicit kepada Umar Al-Khattab, bapanya Abdul Aziz bin Marwan telah berkahwin dengan cucu Umar Al-Khattab iaitu Ummu ‘Asim binti ‘Asim bin Umar. Kegemilangan khilafah di zaman Umar bin Abdul Aziz cukup mashyur walaupun beliau hanya memerintah selama dua tahun. Kejayaan terbesarnya yang sering disebut adalah efisiennya pentadbiran dan pengurusan harta negara oleh Umar hingga berlebihnya harta zakat selepas diberikan kepada semua asnaf!

Antara rahsia utama Umar bin Abdul Aziz adalah mengembalikan pembahagian kekayaan dan hasil dalam negara dengan adil. Perkara ini dijalankan melalui dua cara iaitu pertama, menghalang para pemimpin dan pembesar dari memonopoli kekayaan negara. Keduanya beliau menambah pemberian kepada golongan fakir dan miskin dan menjaga kebajikan mereka, dan menjamin tahap kehidupan mereka pada tahap yang selesa melalui zakat dan sumber baitul mal yang lain. [ As-Siyasah Al-Iqtisodiyah wa Al-Maliah li Umar bin Abdul Aziz ]

Umar bin Abdul Aziz juga merupakan seorang khalifah yang amat mengambil berat soal dakwah. Beliau telah memberi tugasan khas kepada ulama’ untuk menyebarkan ilmu agama secara meluas. Selain itu, Umar juga telah menghantar ulama’ yang rabbani ke utara Afrika bagi memantapkan fahaman agama mereka. Umar bin Abdul Aziz telah menulis surat kepada raja-raja Sind menyeru mereka kepada Islam dengan jaminan mereka akan memiliki negara mereka sendiri dan untuk mereka apa yang sepatutnya muslimin perolehi, maka telah sampai utusan beliau kepada mereka dan telah memeluk Islam salah seorang daripada iaitu Jieshbah bin Dahar. [ Futuh Al-buldan ]

Harun Ar-Rasyid dan Maharaja Rom

Mungkin ada di antara kita tidak mengetahui bahawa kuasa besar dunia satu masa dahulu iaitu kerajaan Rom pernah membayar jizyah dan tunduk di bawah penguasaan Khilafah Islamiyyah. Peristiwa ini dicatatkan oleh Ibn Kathir dalam kitabnya Al-Bidayah wa Al-Nihayah dalam bab ‘Kemudian masuknya tahun 187 H’.

Ratu Rom yang memerintah pada waktu itu telah membuat perjanjian damai dengan Khalifah Harun Ar-Rasyid dan membayar jizyah kepada Khilafah Abbasiyah. Namun setelah anaknya Nakfur (Nicephorus I) menaiki tahta beliau telah menghantar surat kepada khalifah untuk membatalkan perjanjian tersebut.

Berkata Nakfur kepada Ar-Rasyid (dalam suratnya) : “Daripada Nakfur Maharaja Rom kepada Harun Raja Arab, sesungguhnya Ratu sebelumku telah menempatkan kau seperti istana (castle), dan menempatkan dirinya seperti bidak (pawn), lalu dia telah membawa hartanya kepadamu. Itu adalah dari kelemahan seorang wanita dan kebodohannya, sekiranya kau telah membaca surat ini maka balaslah ia dengan segala harta yang telah diberikan kepadamu dan tebuslah dirimu dengannya, sekiranya tidak maka nantikan pedang di antara aku dan kau.”

Selepas Harun membaca surat tersebut, beliau sangat marah sehingga tiada siapa yang berani memandangnya, dan tidak berani berkata apa-apa kepadanya. Kemudian beliau meminta tinta lalu menulis di belakang surat tersebut : “Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani, daripada Harun Amirul Mukminin kepada Nakfur ‘Anjing Rom’. Aku telah membaca suratmu wahai anak perempuan kafir, maka jawapannya apa yang kau akan lihat tanpa kau mendengarnya, wassalam.”

Maka Khalifah Harun Ar-Rasyid berangkat pada hari yang sama membawa bala tentera menyerang Rom, hinggalah beliau menawan pintu Hercules, maka ketika itu Nakfur meminta dibuat perjanjian damai baru, dan beliau akan membayar kharaj setiap tahun, lalu Ar-Rasyid menerimanya. Begitulah umat pernah gemilang menundukkan penyembah hawa nafsu dengan kekuatan pemimpin dan negara Islam.

Pembukaan Konstantinopal

Usaha pertama pembukaan Konstantinopal sebenarnya telah dilakukan oleh Khalifah Muawiyah bin Abi Sufyan di zaman Umayyah dengan diketuai oleh Yazid bin Muawiyah sebagai panglimanya. Katibah tersebut turut disertai oleh Abu Ayub Al-Ansori yang akhirnya syahid di bumi Konstantinopal. Usaha tersebut berterusan sehinggalah Sultan Muhammad II Al-Fateh dan tenteranya berjaya membenarkan hadith Rasulullah s.a.w. :

“Kota Konstantinopal akan ditakluk. Sesungguhnya pemerintah yang terbaik adalah pemerintahnya, dan tentera yang terbaik adalah tenteranya.” [ HR Ahmad ]

Sultan Al-Fateh merupakan khalifah ketujuh dalam pemerintahan Khilafah Uthmaniyyah, beliau menaiki tahta ketika berumur 22 tahun. Musuh beliau ketika itu merupakan kerajaan Byzantine yang telah membina dan menjadikan Kota Konstantinopal sebagai pusat pemerintahan. Kota ini merupakan kota paling besar dan paling penting di dunia ketika itu menurut Dr Akram Dia’ Al-Umari dalam kitabnya Al-Mujtama’ Al-Madani, Al-Jihad Did Al-Musyrikin.

Sultan Al-Fateh telah menguasai enam bahasa dan pelbagai ilmu sejak kecil. Beliau juga telah menghafal Al-Quran pada umur lapan tahun dan mempunyai murabbi tersendiri yang telah membentuk peribadinya sejak kecil. Antara murabbinya yang mashyur iaitu Syeikh Agha Shamsuddin yang telah memberi kesan mendalam dalam pembentukan peribadinya dari dua aspek iaitu pertama dengan meningkatnya gerakan jihad oleh Empayar Uthmani dan kedua beliau sentiasa dibayangkan semenjak kecil sebagai orang yang dimaksudkan dalam hadith nabi mengenai pembukaan konstantinopal. [ Al-Futuh Al-Islamiyah Abar Al-Usur ]

Serangan terhadap Kota Kontantinopal bermula pada 26 Rabiul Awal 857 H bersamaan 6 April 1453 mengikut kitab Salatin Aali Uthman. Sultan Al-Fateh telah mengumpulkan angkatan tentera yang berjumlah hampir 250,000 anggota. Beliau menyuntik semangat mereka supaya berjihad dengan memohon kemenangan atau mati syahid. Juga diceritakan dalam Al-Futuh Al-Islamiyah para ulama turut serta dalam barisan tersebut sebagai tentera dan pejuang, keadaan ini menaikkan semangat tentera. Sultan Al-Fateh juga telah meminta seorang jurutera Hungary bernama Urban, untuk membuat sebuah meriam gergasi diberi nama Meriam Sultan bagi memecah tembok Konstantinopal yang kebal itu. Berat meriam ini dikatakan mencecah beratus ribu tan dan memerlukan beberapa ratus ekor lembu yang gagah untuk mengalihkannya.

Peperangan dengan kerajaan Byzantine merupakan pertembungan yang sengit, kerana mereka mempunyai kubu yang terhebat di dunia pada waktu itu. Tentera Islam hampir-hampir berputus asa dan ingin berpatah balik selepas tewas dalam percubaan awalnya. Namun Sultan Al-Fateh terus bertekad membenarkan hadith nabi setelah mendapat nasihat dan motivasi dari Syeikh Agha Shamsuddin dan Maula Al-Kuurani. Kata mereka : “Perang perlu diteruskan. Dengan perjuangan yang sebaiknya, kemenangan akan menjadi milik kita.” [ Muhammad Al-Fatih, Salim Al-Rashidi ]

Bagi mengalahkan kerajaan Byzantine yang angkuh itu, Sultan Al-Fateh telah merangka beberapa strategi di luar jangkaan manusia waktu itu. Peperangan Konstantinopal merupakan perang darat dan laut, tentera Al-Fateh telah menyerang melalui selat Bosphorus namun usaha itu gagal apabila Byzantine telah membuat persiapan awal dengan meletakkan rantai besi gergasi di selat tersebut, yang membuatkan semua kapal yang melaluinya pecah dan hancur. Beliau telah mengarahkan tenteranya memindahkan kapal perang dari pelabuhan Besiktas ke Selat Golden Horn melalui jalan darat yang berbukit bukau sejauh tiga batu. Kapal-kapal tersebut ditarik menggunakan batang kayu yang disapukan minyak dan lemak sebagai landasan bagi memudahkan pergerakan. Dalam tempoh satu malam tentera Al-Fateh telah berjaya menarik sebanyak 70 buah kapal dan menurunkannya di Selat Golden Horn tanpa disedari oleh musuh, beliau sendiri menyelaras keseluruhan operasi ini sepanjang malam. [ Muhammad Al-Fatih, Abdul Salaam Fahmi ]

Kejutan kedua yang dilakukan tentera Al-Fateh adalah membina menara kayu setinggi tiga tingkat melepasi ketinggian tembok kota, setiap tingkat dipenuhi tentera dan atasnya diletakkan pemanah. Menara ini berjaya menggerunkan Byznatine kerana menyebabkan sebahagian tentera Al-Fateh berjaya melepasi tembok besar kota tersebut, tetapi akibat lontaran api yang bertubi-tubi akhirnya menara itu tumbang. Namun tentera Al-Fateh tidak berputus asa, Al-Fateh sendiri berkata : “Esok kita akan bina empat buah lagi.” [ Muhammad Al-Fatih, Salim Al-Rashidi ]

Pada awal pagi Selasa 20 Jamadil Awal 857 H bersamaan 29 Mei 1453 serangan besar-besaran dan terakhir dilancarkan oleh Al-Fateh. Maharaja Constantine sendiri turun ke medan perang dalam menghadapi gelombang akhir ini. Setelah tentera Uthmani berjaya menggempur tembok kota dan menawan beberapa menara, Constantine merasakan tiada faedah lagi untuk melawan, akhirnya beliau turut terkorban di medan perang tersebut. Penyebaran berita kematian maharaja telah melemahkan tentera Byzantine keseluruhannya. Pada hari yang sama iaitu 29 Mei 1453 selepas Zohor, Sultan Al-Fateh berjaya menjejakkan kaki ke tengah kota Konstantinopal dikelilingi oleh tentera dan para panglimanya sambil berteriak : “Segalanya kehendak Allah.” Al-Fateh memandang mereka dan berkata : “Kamu kini adalah penakluk Konstantinopal yang telah dikhabarkan oleh Rasulullah s.a.w. [ Al-Futuh Al-Islamiyah Abar Al-Usur ]

Sultan Al-Fateh berangkat ke Gereja Hagia Sophia, tempat berkumpulnya semua rakyat Byzantine dan para rahib yang berlindung. Apabila Al-Fateh menghampiri pintu gereja, penganut Kristian di dalamnya merasa ketakutan. Beliau meminta paderi yang membuka pintu tersebut mententeramkan semua orang dan meminta mereka pulang ke rumah masing-masing. Sultan Al-Fateh memberi kebenaran kepada penganut Kristian untuk mengamalkan semua amalan agama mereka, dan memilih ketua agama yang berhak menjatuhkan hukuman yang bersangkutan dengan isu agama mereka. Walau bagaimanapun, beliau tetap mengenakan bayaran jizyah kepada mereka semua. [ Al-Futuh Al-Islamiyah Abar Al-Usur ]

Begitulah keadilan dan rahmat yang diperolehi seluruh manusia tidak kira muslim atau bukan apabila Islam memegang tampuk pemerintahan. Hanya dengan sistem yang diturunkan ilahi dan pemimpin yang ditanamkan iman sahaja mampu membawa kesejahteraan kepada dunia ini sepanjang sejarah tamadun manusia.

Monarki, korupsi dan sekular

Isu khilafah sering menjadi pertikaian dengan masalah monarki dan korupsi, hinggalah munculnya laungan negara sekular sebagai penyelesaian. Hakikatnya barat begitu berjaya menanam persepsi buruk terhadap khilafah selepas kejatuhannya, agar umat Islam tidak sesekali bangkit mencapai era kegemilangannya yang terdahulu. Sebahagian manusia begitu berat sebelah dalam membaca sumber-sumber mengenai sejarah khilafah, bahkan sebahagiannya tidak pun membuat pembacaan teliti namun terus membuat konklusi mudah mengenai tidak relevannya khilafah.

Khilafah bukanlah sistem monarki atau semestinya dalam bentuk monarki, perlantikan Abu Bakar dan selepasnya bukanlah datang dalam bentuk warisan sehinggalah zaman Muawiyah melantik anaknya Yazid. Namun perlantikan itu adalah dengan nasihat dari para sahabat seperti Al-Mughirah bin Syukbah yang menjadi penasihat khalifah pada waktu itu, juga sebahagian sahabat lain menyokong cadangan yang sama, ini berikutan Yazid sahaja yang dilihat paling layak dan mampu menggantikan Muawiyah dalam keadaan suasana politik umat Islam masih belum stabil. Perkara ini dicatat Ibn Khaldun dan kitabnya Tarikh Ibn Khaldun. Maka tidak semestinya khilafah yang ingin dibina bersifat sistem beraja dan perwarisan.

Tidak dinafikan korupsi memang berlaku sepanjang sejarah khilafah, ia adalah suatu yang sangat perlu diambil iktibar. Namun korupsi itu adalah berpunca dari lemahnya iman manusia yang menjadi khalifah tersebut bukannya salah sistem khilafah itu sendiri. Jika sistem itu sendiri bermasalah nescaya Islam tidak akan sampai ke bumi nusantara ini dan berjaya memegang dua pertiga dunia. Sebab itu dalam pembinaan semula khilafah perkara utama yang dititik beratkan adalah pembentukan peribadi, agar lahirnya masyarakat yang beriman yang pastinya akan melantik pemimpin yang beriman menjadi ketua.

Pemikiran sekular hakikatnya adalah ideologi yang sangat diinginkan oleh barat supaya sebati dalam fikiran umat Islam, kerana ia akan sentiasa meletakkan Islam itu sama taraf bahkan lebih rendah dengan agama-agama lain, pemerintahan pastinya akan dimonopoli oleh penyembah hawa nafsu dan tidak akan sesekali diberi ruang kepada Islam untuk menang, lihatlah sahaja hampir satu abad kita hidup dalam pemerintahan sekular antarabangsa, apa kebaikan kepada negara dan umat Islam yang diperolehi? Jauhkanlah diri dari termakan dengan janji dan ideologi retorik yang hanya ingin memerangkap umat Islam dari kembali bangkit.

Sedarlah bahawa sistem zakat, perbankan Islam, kehakiman dan sebagainya mustahil dapat dilaksanakan dengan sempurna melainkan dengan kuasa pemerintahan Islam.

Terlalu banyak ayat dalam Al-Quran yang memerintahkan agar sistem Islam dilaksanakan secara menyeluruh, kerana Islam itu bukan agama ibadat dan akhlak semata, tetapi sebuah sistem yang menyeluruh mencakupi seluruh aspek kehidupan. Firman Allah s.w.t. :

“Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu.” [ Al-Maidah : 49 ]

Urusan menegakkan negara Islam bukanlah sekadar untuk mencari sistem pemerintahan yang terbaik tetapi ia adalah satu arahan jelas dari Allah tentang kewajipan menegakkannya, dan umat Islam keseluruhannya sedang berada dalam keadaan berdosa ketika berlakunya ‘munkar akbar’ iaitu kejatuhan khilafah pada 3 Mac 1924.

Maka tiada jalan lain untuk membebaskan diri dari dosa ini melainkan dengan berusaha menegakkannya secara amal jamaie (kolektif) dengan membangunkan umat dari setiap aspek bermula dengan pembinaan peribadi, masyarakat dan seterusnya. Matlamat kita yang paling besar adalah membebaskan seluruh alam dari penghambaan hawa nafsu kepada penghambaan kepada Allah.

Usaha ini memerlukan pengorbanan yang besar dan kesabaran yang panjang, serta keyakinan yang tinggi sepertimana para sahabat di zaman Mekah yang tidak pernah menyangka bahawa Islam akan memerintah dua pertiga dunia, tetapi mereka sentiasa yakin dengan janji Allah dan Rasulnya dan terus beramal.

Ustaz Ahmad Nu’man Mazlan

www.indahnyaislam.my

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *