home Perkongsian Siyasah, Semasa Muslim liberal pasca kejatuhan khilafah

Muslim liberal pasca kejatuhan khilafah

 

Hari ini Islam hanya di masjid. Islam hanya di lembaran mushaf Al-Quran. Ia tidak dijelmakan dalam konteks sebuah negara di seluruh dunia. Inilah nasib Islam yang sudah lama terasing dari pemerintahan dunia selama satu abad, atau secara ‘rasmi’ sejak 93 tahun yang lalu, 3 Mac 1924.

Ya, satu abad. Umat Islam sebenarnya dalam keadaan berdosa selama satu abad! kerana arahan Allah dan Rasulnya masih tidak dilaksanakan dengan sempurna.

Firman Allah swt :

وَأَنِ احْكُمْ بَيْنَهُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ

“Dan Hendaklah kamu semua berhukum antara mereka dengan apa yang Allah turunkan dan jangalan mengikut hawa nafsu mereka.” (Al-Maidah : 49)

Sabda Nabi saw :

“Sesiapa yang mati dalam keadaan tidak berbai’ah (kepada pemerintah islam), maka matinya dalam jahiliyyah” (Hadith Sahih Muslim, daripada ibn Umar dalam kitab Al-Imarah).

Syeikh Dr. Yusuf Al-Qardhawi  dalam kitabnya “Min Fiqh Ad-Dawlah” menjelaskan, kita sentiasa dalam keadaan berdosa melainkan setelah berbai’ah kepada pemimpin yang benar-benar beriltizam dengan islam, berhukum dengan Al-Quran dan Sunnah.

Perkara ini tidak dapat dilaksanakan melainkan setelah wujudnya pemerintahan dan negara Islam yang hakiki.

Muslim liberal pasca kejatuhan khilafah

Tidak cukup dengan menghapuskan sistem Khilafah Islamiyyah, pihak musuh terus istiqamah menyerang umat Islam dengan pelbagai cara halus.

Amat berjaya projek barat mendoktrin umat sehingga ramai tidak mengerti akan ketamadunan Islam dan Siyasah Syar’iyyah lantas sibuk memperjuang negara sekular. Lihatlah di tanah arab sahaja, menurut Prof. Dr. Mahmud Al-Khalidi, 80% universiti tidak lagi meletakkan subjek Nizom Hukum fil Islam (Sistem Pemerintahan dalam Islam) dalam silibus.

Kejayaan projek mereka kita dapat lihat dengan lahirnya tokoh-tokoh muslim liberalis dan sekularis begitu pesat. Antara yang mendahului adalah Syeikh Ali Abdur Raziq. Beliau akhirnya dilucutkan dari Kumpulan Ulama’ Azhar kerana bukunya “Al-Islam wa Usul Al-Hukum” yang tersebar pada awal April 1925 dengan berani mengangkat idea sekular dan liberal. Guru Siyasah Syar’iyyah saya, Dr. Fakhri Abu Sofiyyah menceritakan sebenarnya buku tersebut ditulis oleh orientalis. Ali Abdur Raziq telah dibayar untuk digunakan namanya lalu diterbitkan di Mesir.

Muslim liberal turut membiak laju di nusantara dengan pelbagai medium yang terkenal seperti Jaringan Islam Liberal (JIL) di Indonesia, Sister In Islam (SIS), dan mutakhir ini, Islamic Renaissance Front (IRF) yang mula bergiat aktif di Malaysia sejak tahun 2009. Mereka mula mendapat tempat dalam kalangan masyarakat di Malaysia khususnya anak muda.

Kecelaruan Muslim Liberal

Muslim liberal sibuk dengan idea melangit tinggi tapi tidak pernah memberi solusi. Ideanya tampak luar kotak, tapi hanya teori, tidak realiti.

Saban hari asyik meng’accommodate’ kristian evangelis, melayan manja karenah mereka. Tidak habis-habis dengan dialog dan debat. Kononnya mengharapkan non-muslim tertarik kepada Islam, namun hak asasi umat Islam tidak pula ditegakkan. Apa yang jadi adalah jatidiri dan identiti umat Melayu Muslim semakin cair dek bahang panas humanisme yang menyerang.

Dalam hal pemerintahan negara pula, seperti biasa, bersungguh mereka mahukan Islam diasingkan dari politik dan pemerintahan, kononnya mahu kebebasan dan keadilan bersama, tidak mahu rakyat berbilang agama dan kaum didiskriminasi. Mereka buta dari melihat umat Islam di Syria, Palestin, Mesir, Afrika Tengah, Burma, dan sebagainya dibunuh, disembelih, serta diseksa kejam.

Solusi Islam Liberal vs solusi Islam

Kita bukan hanya ingin menegakkan demokrasi, human right, good governance, atau lain-lain istilah manis semata-mata yang diperjuangkan muslim liberal. Ia bukanlah ‘Tuhan’ di mana semua hal dipersetujui oleh semua tak kira agama, atas nama hak asasi manusia. Malangnya bila syariah hendak dimplementasi, ditolak ke tepi.

Lihatlah sendiri perangai pejuang muslim liberal demokrat bila mana ada isu yang melibatkan kepentingan syara’. Diam seribu bahasa.

Muslim liberal tidak faham konsep hak asasi manusia seperti mana yang disebut oleh Syeikh Dr. Fathi Ad-Duraini dalam kitabnya “Al-Haqq wa Mada Sultan Ad-Dawlah fi Taqyiidihi” (Hasil tesis Phd beliau yang mendapat Mumtaz, Pangkat pertama) :

“أن الشريعة هي أساس الحق، ليس الحق هو أساس الشريعة”

(Syariah adalah asas kepada hak [hak individu dan hak umum], bukanlah hak itu yang menjadi asas kepada Syariah)

Ingat, Islam bukan seperti agama lain seperti kristian yang akhirnya manusia terpaksa mencari solusi keluar dari agama demi mencapai kemajuan. Benarlah kata-kata Syeikh Muhammad Qutb dalam kitabnya “Syubhat Hawla Islam”: “Di dalam Islam tidak tidak terdapat halangan-halangan yang memaksa manusia memilih jalan atheis”.

Solusi Islam yang sebenar

Syeikh Dr. Abdul Qadir Abu Faris (Ulama Jordan dalam bidang Politik Islam) telah menyimpulkan satu konsep penting yang wajib kita fahami iaitu : “As-Siyadah Li As-Syara’ Wa As-Sultoh Li Al-Ummah”.

Membawa maksud, hanya Allah yang punyai hak menghalalkan atau mengharamkan sesuatu. Manusia wajib mengikut apa saja ketetapanNya. Allah adalah pemerintah tiada tandingan yang tertinggi di dunia. Dalam istilah ringkasnya Syeikh Abu Faris sebut: Al-Hakimiyyah Lillah.

Manakala Umat pula diberi hak untuk memilih dan melantik pemimpin dari kalangan mereka yang berwibawa yang mampu memikul tanggung jawab menegakkan syara’ dalam negara.

Maka, jika betul-betul mahu solusi, tegakkanlah Negara Islam hakiki yang mengangkat Al-Hakimiyyah Lillah. Ia sudah terbukti berjaya memerintah dunia selama berkurun-kurun dengan cemerlang dan adil sejak zaman Khulafa’ Ar-Rasyidin hinggalah Khilafah Uthmaniyyah.

Bilamana kita memahami kewajipan mewujudkan negara Islam yang hakiki, kita juga memahami keperluan asas negara Islam yang kukuh. Kita perlukan pemerintah dan rakyat yang benar-benar berpegang teguh pada Syara’.

Jika tidak, bagaimana pemerintah ingin implimentasi syara’ dalam negara kalau rakyat sendiri tidak mahukan syara’? Ketuanan syara’ dan kemahuan rakyat tidak dapat dipertemukan melainkan rakyat sendiri  terbimbing sepenuhnya dan inginkan syara’.

Akhirnya, kita wajib beriman bahawa metodologi perubahan yang diasaskan oleh Rasulullah saw itulah yang paling tepat, memberi solusi dan kejayaan besar buat Islam, iaitu bermula dengan fokus pembentukan peribadi muslim dalam skala besar sebagai asas yang kuat bagi sesebuah keluarga dan masyarakat seterusnya negara.

Dengan terbinanya negara Islam yang hakiki, barulah manusia akan berbondong-bondong memasuki Islam, selepas mereka bebas dari semua sistem dan pemikiran yang mencengkam mereka selama ini.

Dengan aset fitrah yang dimiliki, mereka dapat lihat dengan mata hati bagaimana sistem Negara Islam yang mentadbir mereka dengan adil dan cemerlang, lantas tunduk patuh dengan pemerintahan Islam ataupun terus memeluk Islam. Inilah sebenarnya yang dijelaskan oleh Tokoh Pemikir Islam, As-Syahid Syed Qutub dalam Muqaddimah Surah Al-Anfal Tafsir fi Zilal mengenai hakikat kebebasan.

Dengan terbinanya negara Islam, barulah Maqasid Siyasah Syar’iyyah (Tujuan politik Islam) tercapai: Menegakkan Syariah Allah di muka bumi.

Ustaz Ahmad bin Khairuddin

www.indahnyaislam.my

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *