home Semasa Amerika lancar serangan peluru berpandu terhadap Syria

Amerika lancar serangan peluru berpandu terhadap Syria

 

WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) malam tadi, melancarkan sekurang-kurangnya 59 peluru berpandu menyasarkan rejim Syria, sebagai tindak balas terhadap serangan senjata kimia mengorbankan 72 orang awam, termasuk kanak-kanak di Khan Sheikhoun, Idlib.

Peluru berpandu itu dilepaskan dari kapal perang AS di Laut Mediterranean menyasarkan pusat bandar Homs yang menempatkan pesawat tentera rejim yang melakukan serangan senjata kimia Selasa lalu.

Presiden AS, Donald Trump berkata, tentera negara itu telah melakukan serangan peluru berpandu terhadap Syria sebagai tindak balas penggunaan senjata kimia oleh rejim Syria minggu ini yang turut mencederakan ratusan orang awam.

“Saya mengarahkan tentera menyasarkan pangkalan udara rejim Syria di mana serangan menggunakan senjata kimia dilancarkan.

“Ia adalah berkaitan kepentingan keselamatan Amerika Syarikat untuk mencegah dan menghalang penyebaran dan penggunaan senjata kimia maut,” katanya.

Pegawai kanan tentera AS berkata, 59 peluru berpandu Tomahawk mengenai pangkalan udara Al-Shayrat di Syria. Peluru berpandu disasarkan terhadap pesawat rejim Syria dan kemudahan lain, tetapi tidak menyasarkan mana-mana bangunan yang menempatkan senjata kimia.

 

 

Katanya, tiada pesawat tentera Russia di pangkalan udara itu dan serangan peluru berpandu itu juga tidak menyasarkan kemudahan Russia.

Pentagon telah memaklumkan kepada pegawai tentera Russia, sebelum pelancaran peluru berpandu, kata pegawai itu, sambil menambah Kremlin mungkin sudah memberitahu rejim Assad mengenai serangan yang bakal dilancarkan itu.

“Dengan begitu banyak Tomahawk berterbangan, kami tidak mahu ia mengenai pesawat Russia,” katanya.

Peluru berpandu itu mula mengenai sasaran bermula jam 8.30 malam tadi waktu tempatan dan serangan berterusan selama tiga hingga empat minit. Tomahawk itu dilancarkan dari dua kapal tentera laut AS.

Trump berkata, serangan peluru berpandu itu adalah peringatan kepada Presiden Bashar Al-Assad bahawa AS memberi perhatian menggunakan kuasa tentera, sekiranya rejim Syria terus menggunakan senjata kimia.

Ini adalah kali pertama White House mengarahkan tindakan ketenteraan terhadap askar yang setia kepada rejim Assad. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *