home Semasa Beberapa usul syarak dalam memahami realiti semasa

Beberapa usul syarak dalam memahami realiti semasa

 

Bagi memastikan kita tidak tersasar daripada landasan, saya sebutkan beberapa usul syarak dalam memahami realiti semasa:

1. Setiap yang berlaku pasti ada rujukan dalam Al-Quran secara jelas atau kiasan (Risalah – Syafie)

2. Memahami Al-Quran mesti dalam bahasa Arab (Muwafaqat -Syatibi)

3. Tingginya ilmu seseorang dalam syarak bergantung kepada tingginya ilmunya terhadap Al-Quran, dan tingginya ilmunya dalam Al-Quran bergantung kepada tingginya kefahamannya dalam bahasa Arab (Risalah – Syafie)

4. Syariat diturunkan untuk menjaga maslahat manusia dunia akhirat (Muwafaqat – Syatibi)

5. Tujuan syarak dalam menurunkan syarak adalah untuk mengeluarkan mukallaf daripada dorongan nafsunya hingga dia memilih menjadi hamba Allah secara pilihan, sepertimana mereka telah pun menjadi hamba Allah secara paksaan/semulajadi (Muwafaqat – Syatibi)

6. Maslahat diketahui dengan neraca syarak bukan semata akal kerana akal bukan penghukum (Kaedah usul fiqh)

7. Setiap perkara yang diniatkan bertentangan dengan maqasid syarak adalah tidak syarie (Muwafaqat – Syatibi)

8. Segala cerita & fakta yang diceritakan dalam Al-Quran sekiranya tiada komentar atau pembetulan daripada Allah SWT maka perkara itu adalah kebenaran (Muwafaqat – Syatibi)

9. Apa yang dimulakan dalam Al-Quran dan apa yang diakhirkan adalah bertujuan tertib melainkan apa-apa yang dinaskan sebaliknya atau ada bukti yang menunjukkan sebaliknya (hadis berkenaan dari mana dimulakan Saie ketika umrah)

10. Segala hukum dalam Al-Quran berbentuk umum yakni kena pada semua, melainkan ada bukti bahawa ia adalah khusus untuk sesuatu perkara tertentu, walaupun hukum itu turun sempena peristiwa atau menjawab pertanyaan tertentu (kaedah usul fiqh)

11. Perilaku perawi (sekiranya melakukan sebaliknya/tidak menepati riwayatnya sendiri) tidak mengkhususkan atau menasakhkan nas yang diriwayatkan, kerana perbuatannya adalah ijtihad peribadi manakala riwayatnya adalah hujjah (khabar ahad) jika menepati syarat. (Kaedah Usul Fiqh)

12. Jika ada dua atau lebih dalil yang dilihat bertentangan, pertama sekali perlu menggabungkan kefahaman kedua-dua dalil supaya tidak mengabaikan mana-mana dalil, jika tidak dapat digabungkan, dinilai dalil tersebut mana satu yang lebih kuat, jika sama kuat dilihat pula zaman bila dalil itu turun, bila berbeza zaman akan dijadikan yang baru itu sebagai nasikh (melupuskan) hukum bagi dalil yang lama, bila tidak dapat dibezakan zaman maka lebih baik tawaqquf (tidak merajihkan/menasakhkan) daripada kedua-dua dalil dan perlu dinilai dengan dalil yang lain yang menyokong dan menguatkan salah satu (kaedah usul fiqh).

Saya kira ini adalah beberapa asas syarak yang boleh kita pegang dahulu untuk kita cuba bina kerangka asas ini dalam menanggapi isu semasa dan kontroversi ijtihad-ijtihad tertentu.

Apabila kita katakan kembali kepada Al-Quran dan neraca syarak, yang dimaksudkan adalah dengan menghayati panduan dan mesejnya yang terkandung padanya segala penyelesaian masalah manusia.

Jika berkesempatan saya akan tambah lagi, setakat ini cuma ini yang terlintas dalam kepala (what’s on your mind).

Moga bermanfaat.

Wallahua’lam

Ustaz Ahmad Syamil Md Esa

www.indahnyaislam.my

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *