home Semasa Aman Palestin, NGO antarabangsa pertama agih bantuan di Khan Al-Sheh, Syria

Aman Palestin, NGO antarabangsa pertama agih bantuan di Khan Al-Sheh, Syria

 

DAMSYIK, 7 Syaaban 1438H, Khamis – Aman Palestin berjaya masuk ke kawasan Khan Al-Sheh di Syria bagi memberi bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin dan rakyat negara itu melalui rombongan Misi Kemanusiaan Syria ke-10.

Ketua Lembaga Pengerusi Badan Al Khairiah, Abu Samrah berkata, Khan Al-Sheh merupakan destinasi pertama untuk penyerahan bantuan kepada pelarian Syria dan Aman Palestin merupakan NGO antarabangsa pertama yang berjaya memasuki kawasan itu.

“Rakyat Palestin dan Syria yang terjejas teruk akibat peperangan sangat-sangat memerlukan bantuan apatah lagi menjelang ramadan yang semakin hampir.

“Meninjau keadaan di kawasan ini yang dalam masa yang sama sedang menantikan kehadiran bulan Ramadan, bekalan makanan sememangnya tidak mencukupi bagi menampung keperluan mereka, tahap kesihatan juga berada dalam keadaan yang sangat kritikal akibat daripada terputusnya bekalan ubat-ubatan.

“Aman Palestin akan berusaha untuk memasuki kawasan-kawasan yang sukar untuk dicapai bagi menyalurkan bantuan agar pelarian Syria yang terperangkap di kawasan-kawasan terlibat akan memperolehi bantuan.

“Selain itu, usaha untuk memasuki bandar Aleppo juga sedang giat dilakukkan,” kata Aman Palestin dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain itu, Aman Palestin memaklumkan telah menyerahkan bantuan sebanyak RM500,000 berbentuk pek makanan dan akan diagihkan ke kawasan kem-kem pelarian yang sukar untuk dimasuki.

Misi yang telah bermula pada 2 Mei 2017 sehingga 8 Mei 2017 ini diketuai oleh pengarah Media Aman Palestin Berhad Anas Bin Abdul Wahab bersama-sama dengan dua pegawai Aman Palestin dan seorang pengamal media.

Rombongan Aman Palestin akan mengagihkan sumbangan kepada 1300 buah keluarga di kawasan Khan Al Sheh dan setiap keluarga akan menerima 1 kotak bantuan makanan yang bernilai 30 usd.

Kawasan Khan Al Sheh terletak di selatan Syria bahagian barat daya Damsyik dan merupakan kawasan yang tidak mendapatkan sebarang bantuan dalam tempoh 4 bulan.

Dalam masa yang sama juga, ketika ini Aman Palestin turut menghantar rombongan untuk Misi Ke Lubnan bagi menyampaikan sumbangan kepada pelarian Syria di samping menjalankan tinjauan ke atas anak-anak yatim di kawasan tersebut.

Sumber : ismaweb

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *