home Kisah Ramadhan Bulan Ramadhan aku kembali kepada Allah

Bulan Ramadhan aku kembali kepada Allah

 

Alhamdulilah tahun ini (jika dizinkan oleh Allah) adalah tahun ke-5 saya menyambut Ramadhan sebagai seorang muslim.

Bulan ramadhan adalah bulan kegemaran saya. Selain daripada sebab ia Ramadhan, bulan ini juga bulan kelahiran semula saya pada 17 Ramadhan 1434H (25 July 2013). Alhamdulilah Allah izinkan saya kembali kepada agama-Nya pada bulan Ramadhan Al-Mubarak.

Solat pertama selepas saya mengucap dua kalimah syahadah adalah solat terawih. Selepas berbuka, kawan ajar saya berwuduk dan lepas itu kami bergerak ke surau berdekatan. Pada waktu itu, saya memang tak tahu apa-apa, yang saya tahu hanya bacaan Al-Fatihah dan ikut pergerakan jemaah lain. Orang solat 8 rakaat saya ikutlah solat 8 rakaat.

AllahuAkbar perasaan ketika itu memang tak dapat diungkapkan dengan kata-kata. Hanya Allah sahaja yang tahu perasaan saya. Nikmat solat yang kali pertama saya rasai sendiri. Berjaya hafal doa berbuka puasa dan surah Al-Fatihah adalah pencapaian yang paling saya banggakan ketika itu. Alhamdulilah.

Iktikaf pertama saya adalah di Masjid Negeri Shah Alam. SubhanAllah ketenangan yang tak pernah saya dapat sebelum ini. Suasana yang sunyi dan tenang, tidak ada gangguan duniawi. Hanya ada golongan umat Islam yang beribadah semata-mata untuk keredhaan Allah.

Cantik sungguh rumah Allah. Rasa macam nak duduk di dalam selamanya. Iktikaf berikutnya adalah di Masjid Negara. Waktu itu, kali pertama saya jumpa ramai kawan yang solehah (kini saya panggil mereka akhawat).

Kami solat berjemaah, berbuka puasa ramai-ramai, baca Al-Quran sama-sama. Kemudian kami pergi buat kafilah dakwah(KD) di sekeliling masjid untuk buat kutipan Aman Palestin. Alhamdulilah pengalaman baru saya ketika bulan Ramadhan tahun 2014.

Pada bulan ramadhan juga saya dapat hadiah nas Al-Quran yang saya impikan selama ni. AllahuAkbar !

Sesungguhnya Allah tahu apa yang ada dalam hati-hati umat-Nya. Setiap kali saya baca Al-Quran tu saya akan teringat kat akhawat yang bagi hadiah. Moga Allah kurniakan ganjaran yang selayaknya buat ukhti itu.

Alhamdulilah pada bulan Ramadhan juga saya berjaya khatam Al-Quran buat kali pertama. InshaAllah tahun ini juga target yang sama. Kalo dapat lebih Alhamdulilah.

Alhamdulilah sudah dua tahun saya direzekikan duduk satu rumah dengan akhawat solehah. Setiap kali ramadhan, kami akan bergilir-gilir menyediakan sahur untuk akhawat yang lain. Kami bangun qiam sama-sama. Solat berjemaah dan kami berbuka di masjid sama-sama.

Ramadhan selama dua tahun ni memang kami akan berbuka dan solat terawih di masjid setiap hari.
Kemudian tadarus Al-Quran bersama dengan akhawat. InshaAllah tahun ni target yang sama maka akan lebihkan lagi.

Sedikit kisah ramadhan saya. Kalau panjang lagi mungkin boleh buat buku lagi kot haa.

 

 

Alhamdulilah.
Terima kasih Allah atas nikmat Islam, nikmat Iman dan nikmat Tarbiyah.

Semoga kita terus istiqamah dalam buat amal kebaikan. Kalau tak mula sekarang, bila lagi? Belum tentu sempat untuk esok hari. Moga Allah beri kita kesempatan untuk bertemu dengan Ramadhan Al-Mubarak. Aminn.

P/s : Jom buat target ramadhan sama-sama. Moga Allah terima segala amalan kita.

Nur Najwa Nasuha Chiew

www.indahnyaislam.my

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *