home Kolumnis, Semasa Ramadan antara puasa dan qisas

Ramadan antara puasa dan qisas

 

Perintah kewajipan berpuasa di dalam bulan Ramadan terkandung di dalam ayat: Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa (Al-Baqarah: 183). Ayat kewajipan berpuasa ini telah didahului dengan perintah kewajipan menjalankan undang-undang qisas di mana struktur ayat yang memerintahkan menjalankan hukum qisas adalah serupa.

Firman Allah SWT: Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan kamu menjalankan hukuman “Qisas” (balasan yang seimbang) dalam perkara orang-orang yang mati dibunuh iaitu: orang merdeka dengan orang merdeka, dan hamba dengan hamba, dan perempuan dengan perempuan. Maka sesiapa (pembunuh) yang dapat sebahagian keampunan dari saudaranya (pihak yang terbunuh), maka hendaklah orang yang mengampunkan itu) mengikut cara yang baik (dalam menuntut ganti nyawa), dan (si pembunuh pula) hendaklah menunaikan bayaran ganti nyawa itu) dengan sebaik-baiknya.

Yang demikian itu adalah suatu keringanan dari Tuhan kamu serta suatu rahmat kemudahan. Sesudah itu sesiapa yang melampaui batas (untuk membalas dendam pula) maka baginya azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Al-Baqarah: 178)

Ada beberapa persamaan dari sudut tanggungjawab perlaksanaan perintah arahan Allah seperti yang terkandung di dalam kedua-dua ayat di atas dan ada juga perbezaannya dan ada hubungkait di antara keduanya.

Persamaan yang nyata di antara kedua-dua ayat di atas adalah kedua-dua perintah Allah SWT puasa dan qisas adalah wajib dilaksanakan. Kedua-dua ayat di atas mengandungi ayat perintah yang menunjukkan ia wajib dilaksanakan dan tiada qarinah (petanda) yang menunjukkan ayat berkenaan mengandungi hukum sunat melakukannya.

Maka kesimpulan secara mudah ialah setiap muslim wajib melaksanakan kedua-dua perintah Allah ini iaitu berpuasa di dalam bulan Ramadan sebagaimana setiap muslim wajib berusaha untuk melaksanakan hukuman qisas sesama mereka.

Namun, apabila dilihat dari sudut perbezaan antara keduanya, kita dapati perintah berpuasa di dalam bulan Ramadhan diwajibkan ke atas setiap individu muslim apabila memenuhi syarat-syarat wajib berpuasa. Al Qodhi Abu Syuja’ rahimahullah dalam Matan Abi Syuja’ mengatakan: Ada empat syarat wajib puasa: Islam, baligh, berakal, mampu menunaikan puasa.

Manakala kewajipan melaksanakan qisas adalah kewajipan negara , bukan kewajipan individu. Pelaksanaan qisas ini bukanlah menjadi kewajiban setiap orang atau rakyat akan tetapi ia menjadi kewajiban Waliyul Amri ,Hakim , penguasa atau orang-orang yang dilantik sebagai wakil penguasa untuk melaksanakannya.

Qisas pun tidak boleh dilaksanakan kecuali berdasarkan bukti-bukti yang menunjukan adanya pembunuhan secara sengaja serta adanya tuntutan dari para ahli waris orang yang dibunuh agar qisas dilaksanakan terhadap si pembunuh.

Bagi kita umat Islam di Malaysia tidak terkecuali daripada tuntutan Allah untuk melaksanakan kedua-dua perintah ini. Bagi perintah puasa, kita sangat bersyukur kerana kita berpeluang dapat melaksanakan semua ibadah di dalam bulan Ramadhan dengan selesa dan tenang hati.

Namun, malangnya peluang yang ada disia-siakan disebabkan faktor kemalasan dan lain-lain. Namun perintah Allah untuk melaksanakan qisas masih tidak terbatal kepada umat Islam di Malaysia walaupun secara realitinya perjalanan untuk melaksanakannya masih sangat jauh, penuh berliku , memerlukan mujahadah dan pengorbanan.

Sekali-kali kita jangan patah semangat dalam usaha melaksakan perintah Allah ini. Kita sebagai umat Islam jangan putus asa untuk melaksanakannya dengan dimulai langkah-langkah awal secara berperingkat-peringkat.

Ramadan yang bakal kita sambut dan segala pakej ibadah yang terkandung di dalamnya adalah satu mekanisme terbaik untuk menyedarkan umat Islam di Malaysia betapa kesepakatan, kebersamaan seluruh umat Islam sangat penting untuk mendaulatkan Islam sedikit demi sedikit dalam kerangka yang dibenarkan oleh undang-undang negara.

Sebenarnya, sebagaimana umat Islam di Malaysia dari mana kelompok pun boleh sama-sama berpuasa, melakukan ibadah terawikh, memperbanyakkan membaca al Quran, sering mengunjungi masjid dan surau, begitu lah juga diharapkan sepakat seia sekata dalam menghadapi isu-isu yang berkaitan dengan Islam dan umatnya lebih-lebih lagi apabila berhadapan dengan usaha memartabatkan hukuman-hukuman di dalam Islam seperti hudud dan qisas secara berperingkat-peringkat tetapi serius, tidak putus asa dan sengaja tidak mencari-cari alasan.

Ramadan membentuk jiwa rakyat yang bertaqwa dan sepatutnya membentuk sebuah negara yang diredhai Allah yang menjalankan segala arahanNya. Samada arahan Allah itu wajib ke atas individu seperti puasa mahupun arahan Allah untuk dilaksanakan secara hidup bernegara iaitu undang-undang qisas.

Sahibus Samahah Ustaz Zamri Hashim
Timbalan Mufti Negeri Perak

www.indahnyaislam.my

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *