home Semasa Ramadan bukan untuk ‘balas dendam’ makan: Mufti Perak

Ramadan bukan untuk ‘balas dendam’ makan: Mufti Perak

 

KUALA LUMPUR – Umat Islam diingatkan supaya tidak ‘membalas dendam’ dengan makan secara gelojoh dan membeli makanan melebihi keperluan sehingga terpaksa dibuang begitu sahaja selepas berpuasa pada siang hari.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, sekiranya berlaku pembaziran sedemikian maka hukumnya adalah haram.

“Umat Islam perlu menstabilkan diri dengan menjaga lima perkara iaitu lidah daripada bercakap benda tidak baik, menjaga mata daripada melihat perkara maksiat, telinga daripada mendengar perkara melalaikan, syahwat iaitu mengawal makan serta tangan daripada mengambil benda bukan kepunyaan kita,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau mengulas kempen #janganlebihlebih yang dilancarkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan menjelang Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri, semalam.
Kempen tersebut sebagai peringatan kepada pengguna supaya tidak berbelanja me­lebih keperluan.

Pada masa sama, restoran dan hotel turut berlumba-lumba menawarkan promosi bufet Ramadan istimewa dengan harga berpatutan serta dengan jaminan halal yang dipercayai mampu menarik pelanggan Islam untuk berbuka puasa.

Namun, ruangan Forum dalam Utusan Malaysia hari ini mengi­ngatkan ungkapan ‘halal’ tersebut tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya lagi jika tidak mematuhi standard piawai­an yang ditetapkan syarak serta undang-undang berkaitan de­ngannya di negara ini.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan menegur sesete­ngah premis makanan yang tidak mempunyai logo halal tetapi menawarkan hidangan bufet Ramadan.

“Masalahnya juga apabila ramai orang Islam yang jahil tentang agama sendiri mudah leka dan tertipu dengan tawaran iklan makanan sempena Ramadan.

“Ada yang boleh berbuka puasa di premis yang menjual arak malah sesuka hati makan kerana teringin. Contohnya, hendak makan itik sekali pun kita kena pastikan premis yang menjual hida­ngan itu benar-benar mematuhi prosedur halal,” jelasnya. – Utusan

www.indahnyaislam.my

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *