home Semasa Isu putus hubungan dengan Qatar hanya untungkan Israel

Isu putus hubungan dengan Qatar hanya untungkan Israel

 

BANGI – Tindakan enam negara memutuskan hubungan dengan Qatar hanya menguntungkan rejim Israel, kata Ketua Pemuda PAS, Muhammad Khalil Abdul Abdul Hadi.

Jelas beliau, krisis yang berlaku ini akan mengukuhkan lagi penguasaan Israel ke atas bumi Palestin, dan natijahnya ialah perpecahan umat Islam.

“Perancangan untuk memecah-belahkan dunia Islam bukan satu rahsia lagi setelah kejayaan kuasa barat berpaksikan zionis-freemason ketika perang dunia pertama dan kedua menyaksikan dunia Islam berpecah kepada berpuluh-puluh buah negara hingga wujudnya negara haram Israel.

“Fasa kedua pula untuk mengukuhkan kedudukan Israel dan mengekang negara-negara yang menyokong perjuangan umat Islam untuk membebaskan palestin,”katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Muhammad Khalil berkata, tindakan yang dikenakan ke atas Qatar ini disusuli dengan pendedahan yang mengaitkan hubungan UAE dengan gerakan zionis-freemason.

“Sekumpulan penggodam dari Rusia berjaya memintas e-mel dari Yousef Al-Otaiba, duta UAE ke AS yang mengandungi hubungan intim beliau dengan badan pemikir yang mendokong Zionis-Freemason, Foundation for Defense of Democracies (FDD).

“Pendedahan sebanyak 55 muka surat ini antara lain menyebut penglibatan UAE terhadap cubaan rampasan kuasa di Turki.

“Pendedahan ini membuktikan pelakon-pelakon sebenar di sebalik wayang-wayang yang sedang dimainkan melibatkan rampasan kuasa di Mesir dan Turki, Al-Qaeda dan ISIS, serangan ke atas gerakan Islam sederhana dan wayang-wayang lain yang sedang dan akan dilakarkan,” katanya.

Jelas beliau, walaupun Qatar sebuah negara kecil namun negara itu licik dalam berpolitik dan babak yang berlaku ini memberikan mereka dua pilihan.

“Sama ada mengikut kehendak pendesaknya atau berdepan dengan ‘rampasan’ kuasa secara bersistematik hinggakan ada penganalisa politik tidak menolak kemungkinan rampasan kuasa secara kekerasan dikenakan ke atas Qatar bagi mencabut duri dalam daging ini.

“Hari ini Emir Qatar, Syeikh Tamim bin Hamd Al-Thani mengadakan lawatan rasmi ke Kuwait yang dilihat oleh penganalisa sebagai usaha untuk memulihkan hubungan dengan Saudi Arabia dan UAE,” tambahnya.

Kelmarin, lima buah negara berkenaan mengambil keputusan memutuskan hubungan dengan Qatar selepas mendakwa negara itu menyokong keganasan.

Ia kemudian diikuti dengan Maldives yang turut membuat keputusan sama. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *