home Semasa Mualaf rasai kenikmatan berpuasa

Mualaf rasai kenikmatan berpuasa

 

AMPANG – Majoriti mualaf yang berada di perantauan merasai kenikmatan berpuasa di Malaysia kerana negara ini mempunyai kepelbagaian jualan di bazar Ramadan mahupun beraneka macam sajian di majlis iftar di masjid.

Seorang warganegara Belanda yang juga guru bahasa Inggeris, Muhammad Haramain berkata, menyambut Ramadan di perantauan merupakan kenangan yang paling indah.

“Saya tidak pernah berbuka puasa bersendirian, saya memilih untuk berbuka puasa di beberapa masjid sekitar Lembah Kelang sepanjang Ramadan dan boleh dianggap masjid di sini (Malaysia) luar biasa.

“Saya tidak pernah melihat kemeriahan masjid dan surau di seluruh dunia berbanding negara ini yang dipenuhi juadah berbuka mewah secara bufet. Masjid dan surau di luar, majlis berbukanya sangat sederhana seperti di Pakistan hanya ada capati dan sedikit kuah dal, kurma atau pisang,” katanya.

Muhammad berkata, suasana masjid di negara ini juga ‘hidup’ dan dipenuhi dengan pelbagai program serta aktiviti untuk mengimarahkan masjid.

“Ramai orang yang datang tarawih dan ia sangat meriah berbanding negara lain,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Hidayah Centre Foundation, di sini, baru-baru ini.

Ketika mengimbau sejarah awal memeluk Islam pada usia 18 tahun, lelaki berusia 47 tahun berkata, dia hanya mempelajari agama melalui pembacaan buku-buku di perpustakaan.

“Di kampung saya tidak ramai beragama Islam. Saya menerima hidayah sejak usia remaja yang ketika itu amat tertarik dengan Islam. Saya mula belajar tentang Islam melalui buku-buku di perpustakaan.

“Saya memeluk Islam di Indonesia pada 1998 dan pada usia 20 tahun, saya membuat keputusan pergi mengembara ke beberapa negara yang majoriti rakyatnya beragama Islam seperti Turki, Palestin, Syria, Lubnan, Libya dan Sudan,” katanya.

Menurutnya, masyarakat beragama Islam memiliki adab, sifat kesopanan, malah menghormati golongan wanita serta warga emas.

“Ketika saya mengembara di negara Islam, masyarakatnya menerima saya sebagai seorang musafir, walaupun pakaian saya agak kotor, malah mereka turut memberi kebenaran untuk saya menumpang sementara di kediaman mereka.

“Saya mengalami kesukaran untuk berpuasa pada pertama kali kerana saya cepat berpeluh, pening kepala dan dahaga, namun ia satu ujian bagi saya,” katanya.

Menurutnya, dia berasa sedih dengan rakan-rakan saudara baharu lain yang berasa kesunyian apabila menyambut Ramadan.

“Mereka beritahu jarang diajak berbuka puasa bersama dan ada antara mereka tidak mengetahui majlis iftar dianjurkan pelbagai pihak,” katanya. – Sinar Harian

www.indahnyaislam.my

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *