home Semasa Sekularisme: Paradoks kebudayaan barat

Sekularisme: Paradoks kebudayaan barat

 

SAYA lihat secara umumnya ramai yang sudah membicarakan tentang sekularisme dan menjelaskannya dengan baik. Namun disebabkan ada beberapa pihak yang enggan merujuk bahan yang sepatutnya menjadi rujukan asasi bagi gerakan Islam, maka saya cuba menjadi pemudahcara untuk menulis tentang sekularisme dari sumber-sumber yang lain. Semoga mereka dapat menerima tulisan ini dengan baik.

Dasar dan komponen sekularisme

Idea sekularisme menurut Prof Dr Abdul Rashid Moten, berdiri di atas tiga dasar; Yang pertama orientasi duniawi dan manusiawi-menafikan ukhrawi, kedua adalah sains Barat manakala yang ketiga adalah liberalisme. [1]

Beliau menerangkan ketiga-tiga dasar ini dengan lebih mendalam dalam bukunya Political Science, An Islamic Perspective; “The first postulate sanctified humanity as the ultimate reality and argues that the significance and ultimate aim of human beings should be sought with reference to the present life and social well-being without, reference to religion or to the life in the hereafter. Western science espouses a belief in natural causation and consequent emphasis on the generalisability and applicability of the methodological pattern of Newton’s physics for the discovery of truth. The emphasis is upon reason, observation and experiment to the neglect of revelation, tradition or authority. Liberalism, the third constituent, is founded upon humanism, a belief in the integrity and sanctity of the free individual and upon inherent human rights to life, liberty and pursuit of happiness.”[2]

Pemikir dan ahli falsafah Islam, Prof Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas pula mengembangkan idea tentang komponen-komponen sekularisme daripada penulis buku The Secular City, Harvey Cox. Cox menyatakan bahawa terdapat tiga komponen sekularisme iaitu, disenchantment of nature, desacralization of politics, dan deconsecration of values.

Disenchantment of nature, atau penyingkiran elemen-elemen ruhaniyah daripada alam tabi’i merupakan terjemahan die Entzauberung der Welt yang diambil daripada Max Weber, seorang ahli sosiolog Jerman.

Al-Attas menyatakan bahawa “the freeing of nature from its religious overtones; and this involves the dispelling of animistic spirits and gods and magic from the natural world, separating it from God and distinguishing man from it, so that man may no longer regard nature as a divine entity, which thus allows him to act freely upon nature, to make use of it according to his needs and plans, and hence create historical change and ‘development’.”[3] Al-Attas berpendapat bahawa ini merupakan komponen terpenting dalam sekularisasi dan inilah yang mencetuskan kucar-kacir dalam peradaban Barat dan agama Kristian.

Beliau menambah lagi, “By the desacralization of politics they mean the abolition of sacral legitimation of political power and authority, which is the prerequisite of political change and hence also social change.”[4] Akan tetapi, Prof Al-Attas menegaskan bahawa wujudnya pentauliahan agama pada urusan wilayah dan imarah dalam kerangka agama Islam.

Beliau mengulas pula tentang deconsecration of values, “they mean the rendering transient and relative all cultural creations and every value system which for them includes religion and worldviews having ultimate and final significance, so that in this way history, the future, is open to change, and man is free to create the change and immerse himself in the ‘evolutionary’ process.”[5]

Ini bermakna kesemua nilai, method menanggapi kebenaran termasuk agama dan pandangan alam menjadi relatif, dan harus tandus daripada unsur-unsur keagamaan dan spiritual.

Faktor pemilihan sekularisme sebagai alternatif dan kritikan terhadapnya

Ada beberapa faktor yang menjadikan seseorang yang beragama memilih sekularisme sebagai matlamat dalam politik. Antara faktor tersebut adalah ;

1. Kekecewaan melihat sistem politik yang berasaskan “agama” tidak memberikan kemajuan dan kemodenan yang sepatutnya dikecapi.

2. Kagum dengan apa yang telah dihasilkan oleh Barat apabila mengamalkan sekularisme dalam sistem pemerintahan, dengan munculnya era Renaissance.

3. Sikap sebahagian individu dan institusi beragama yang menggunakan agama untuk tujuan peribadi dan political mileage tertentu, yang menyebabkan agama itu dipandang buruk dan serong oleh masyarakat.

4. Merasakan sekularisme sebagai alternatif sesuai untuk mengatasi masalah dan konflik yang sering berlaku dalam kehidupan masyarakat majmuk.

Berdasarkan faktor-faktor ini, maka kebanyakan rakyat dan pemerintah hatta islamis sekalipun merasakan sekularisme merupakan kerangka terbaik bagi membentuk sebuah negara pada zaman moden ini. Tetapi timbul satu persoalan penting, benarkah alternatif yang dipilih ini?

Apabila kita berbicara tentang kemandulan agama dalam memberikan kemajuan, kita sepatutnya melihat kepada agama yang dikatakan mandul tersebut. Sejarah kemunculan sekularisme sememangnya berkait dengan sejarah panjang agama Kristian, yang didakwa menjadi antitesis kepada kemajuan ilmu, kebudayaan, teknologi dan ketamadunan.

Agama Kristian yang dipimpin oleh gereja Roman Katolik telah menghalang perkembangan intelek yang menjadi asas kepada pembangunan tamadun.

Disebabkan ini, Rashid Ghannouchi menyatakan bahawa hegemoni yang dipaksakan oleh gereja ke atas masyarakat Eropah itu merupakan sebuah justifikasi bagi kebangkitan sekularisme dan Renaissance.

Beliau menambah lagi, “There might have been genuine intellectual, psychological, and historical justifications for the rebellion against the religious establishment, a rebellion, then, deemed essential for the emancipation of man and the progress of society.”[6]

Ini bermakna; individu dan institusi keagamaan Kristian yang bertanggungjawab kepada percambahan benih sekularisme dalam kebudayaan dan ketamadunan Barat. Islam tiada kaitan langsung dengan sekularisme. Bahkan ketika Eropah sedang bergelut untuk mencapai kebangkitan, umat Islam yang berjiran dengan mereka di Eropah juga seperti di Andalus dan Pulau Sicily sedang menikmati ketamadunan yang tinggi di bawah naungan Islam.

Al-Attas pula berpendapat bahawa sebenarnya agama Kristian yang ditentang oleh gerakan rakyat itu (yang diakhiri dengan kemunculan sekularisme), hakikatnya bukanlah agama Kristian yang asli. Bahkan ianya merupakan interpretasi liberal yang tiada asanya oleh gereja-hanya untuk mengingkatkan hegemoni mereka kepada rakyat-.

Di dalam buku Islam and Secularism, Al-Attas mengatakan “Secularization has its roots NOT in biblical faith, but in the interpretation of biblical faith by Western man; it is not the fruit of the Gospel, but is the fruit of the long history of philosophical and metaphysical conflict in the religious and purely rationalistic worldview of Western man.”[7]

Kenyataan Al-Attas ini menjawab persoalan bahawa kejatuhan Khilafah Uthmaniyyah (yang membawa pemerintahan berasaskan agama) yang dikaitkan dengan kebangkitan Mustafa Kemal Atarturk yang membawa idea sekularisme.

Realitinya di penghujung pemerintahan Khilafah Uthmaniyyah, secara spesifiknya selepas zaman Sultan Sulayman Al Qanuni (memerintah dari 1520-1566), para sultan, pembesar serta muslimin sendiri majoritinya sudah berada jauh dari landasan agama Islam yang sebenar.

Jadi, kekaguman muslimin kepada apa yang dicapai oleh Barat melalui sekularisme sebenarnya hanyalah paradoks semata-mata. Agama samawi yang disadur dengan pemahaman falsafah dan metafizik Greek diganti dengan ideologi baru, yang bersumberkan asas pemikiran rasional yang sama.

Agama tidak sepatutnya menjadi kambing hitam dalam persengketaan ini, kerana hakikatnya agama yang sebenar – iaitu Islam yang dipelihara sehingga hari ini dan memansukhkan semua agama samawi terdahulu – sangat bertepatan dengan akal rasional manusia serta meraikan pemikiran logik dan intelek.

Konflik masyarakat majmuk

Seringkali konflik masyarakat majmuk menjadi alasan serta justifikasi sebahagian pihak untuk mengambil sekularisme dan pluralisme sebagai penyelesaian. Realitinya, kepelbagaian agama dan bangsa bukanlah punca sebenar kepada konflik yang berlaku.

Tetapi cara mengurus kepelbagaian itu yang menjadi punca, semakin bijak pluraliti diurus, semakin kurang konflik yang akan berlaku dalam kalangan masyarakat majmuk.

Sebagai contoh, negara Malaysia sudah mempunyai satu dokumen yang menjadi rujukan dan teras kepada setiap warganegara, tidak kira daripada mana-mana agama atau bangsa.

Dokumen tersebut-iaitu Perlembagaan Persekutuan-perlu dirujuk setiap kali berlakunya konflik antara masyarakat, sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah dengan warganegara Madinah daripada kalangan muslimin ataupun selainnya melalui Piagam Madinah.

Apa-apa isu sensitif yang berlaku antara masyarakat majmuk perlu dibaca selari dengan klausa yang wujud di dalam perlembagaan. Ini akan membolehkan semua warganegara ikhlas yang menghargai negara ini, mengurus perbezaan yang ada di antara mereka dengan matang dan professional.

Perlembagaan sudah menjelaskan dengan baik tentang pengiktirafan agama Islam sebagai agama persekutuan, batas-batas pengamalan setiap agama selain agama Islam, kebebasan beragama dengan had tertentu dan lain-lain lagi. Tidak sepatutnya berlaku provokasi dan kontroversi yang berterusan jika semua warganegara memahami intipati perlembagaan ini yang telah ditulis sejak berpuluh tahun yang lalu.

Kesimpulan

Sekularisme telah membuktikan kerugiannya dari segi politik, ekonomi dan sosial jika diimport ke negara-negara Islam. Sepatutnya pihak yang dikatakan progresif dan menyeru kepada tanwir ini perlu melihat dengan lebih luas akan kerangka kenegaraan berteraskan Islam, yang sebenarnya mengandungi banyak sistem dan nilai positif yang boleh diaplikasi dalam konsep bernegara pada hari ini. Masa depan untuk Islam.

Ustaz Amar Ismat
www.amarismat.com

[1]  Abd Rashid Moten, Political Science; An Islamic Perspective, page (1)
[2]  Ibid, page 2
[3]  Al-Attas, Islam and Secularism, page 18
[4]  Ibid, page 18
[5]  Ibid, page 18
[6]  Rachid Ghannouchi, The Conflict between the West and Islam
[7]  Al-Attas, Islam and Secularism, page 20

www.indahnyaislam.my

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *