home Semasa Aktivis sebar fatwa Arab Saudi mengenai kebenaran Ikhwan Muslimin

Aktivis sebar fatwa Arab Saudi mengenai kebenaran Ikhwan Muslimin

 

KAHERAH – Aktivis dan pengguna media sosial mula menyebarkan semula fatwa dikeluarkan bekas Mufti Arab Saudi, Allahyarham Sheikh Abdul Aziz Bin Baz berkenaan Ikhwanul Muslimin, tatkala Riyadh dan sekutunya terus memberi tekanan kepada Qatar.

Pada 5 Jun lalu, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Mesir dan Bahrain memutuskan hubungan dengan Qatar selepas menuduh Doha menyokong keganasan selain melindungi Ikhwanul Muslimin dan Pertubuhan Perjuangan Islam Palestin (Hamas). Qatar bagaimanapun menafikan tuduhan itu.

Negara terbabit juga mengisytiharkan Ikhwanul Muslimin sebagai kumpulan pengganas.

Sheikh Abdul Aziz berkhidmat sebagai Mufti Besar Arab Saudi pada 1992 sehingga meninggal dunia pada 1999.

Fatwa dikeluarkannya adalah ekoran soalan yang dibangkitkan: “Dalam dunia Islam hari ini, terdapat beberapa kumpulan dan kaedah, contohnya Sufisme, diikuti Tabligh Jamaat dan Ikhwanul Muslimin, Ahli Sunnah Wal Jamaah dan Syiah. Bagaimana kita hendak mengetahui kumpulan mana yang mematuhi al-Quran dan ajaran Rasulullah SAW?”

Sheikh Abdul Aziz mengeluarkan fatwa sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tetap Penyelidikan Ilmiah dan Iftaa Arab Saudi. Fatwa 6250 beliau menyebut:

“Kumpulan Islam yang benar dan paling dekat dengan ajaran Rasulullah SAW adalah Ahli Sunnah Wal Jamaah, termasuk Ahli Al-Hadis, Jamaat Ansar Al-Sunna dan kemudian Ikhwanul Muslimin. Secara umum, semua kumpulan Islam boleh jadi benar atau salah pada masa-masa tertentu.

“Oleh itu anda perlu bekerjasama dengan mereka apabila melakukan sesuatu yang betul dan meninggalkan kesalahan yang mereka lakukan. Saya menasihati umat Islam untuk bekerjasama demi mencapai kebenaran dan ketakwaan.”

 

Sheikh Abdul Aziz Bin Baz

Sheikh Abdul Aziz menegaskan beliau melakukan kajian terhadap pelbagai buku ditulis oleh ahli Ikhwanul Muslimin.

“Ikhwanul Muslimin mempunyai sejarah yang panjang dan ahlinya ikhlas dan boleh dipercayai. Pergerakan ini mempunyai latar belakang intelektual yang tidak dapat dinafikan, dan saya menghargai usaha yang mereka lakukan. Oleh itu, apa yang saya katakan ini adalah testimoni yang saya tidak takut atau menyesal untuk menyatakannya.”

Fatwa ini sekarang mula disebarkan secara meluas di seluruh dunia, malah ia bukanlah yang pertama seumpama itu
dikeluarkan.

Dalam pendapat lain, Allahyarham Sheikh Abdullah Ibn Jibreen, yang juga anggota Majlis Ulama Kanan Arab Saudi dalam laman web rasminya mengatakan:

“Kami setia dan menyokong setiap kumpulan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang berpegang kepada Syariah, menggalakkan kebaikan, melarang kejahatan dan menjauhi dosa. Oleh itu, kami perlu memberi nasihat dan amaran kepada kumpulan ini jika mereka mempunyai sedikit kekurangan atau melanggar ajaran utama Islam.

“Ikhwanul Muslimin yang menyeru penyerahan mutlak kepada Allah Taala dan yang menasihatkan umat Islam dan
menunjukkan jalan betul kepada sesiapa yang bersama mereka, juga adalah termasuk.”

Menurut ulama Arab Saudi yang juga Penolong Setiausaha Agung Persatuan Ulama Islam Antarabangsa, Salman Bin Fahd Al-Ouda:

“Ikhwanul Muslimin bukan pertubuhan pengganas, dan saya fikir mereka adalah sederhana, adil dan baik. Saya tidak tergolong dalam Ikhwanul Muslimin, tetapi saya bangga mempunyai ramai kenalan yang bergiat aktif dalam pertubuhan ini dan saya menghargai persahabatan mereka.”

Bagaimanapun, Mufti Besar Arab Saudi sekarang yang juga Ketua Majlis Ulama Kanan, Abdul-Aziz Al Ash-Sheikh, menggelar Ikhwanul Muslimin sebagai pertubuhan ekstremis.

Sejak krisis diplomatik antara Arab Saudi dan Qatar tercetus, ramai ulama Arab Saudi berada di bawah tekanan pemerintah yang mahukan mereka menyokong tindakan ke atas Doha, yang mengatakan Ikhwanul Muslimin adalah kumpulan pengganas.

Ada laporan menyebut bahawa seorang ulama Arab Saudi yang terkenal ditangkap selama dua hari dan paspornya dirampas dalam usaha Riyadh memaksanya dan ulama lain, menyokong tindakan ke atas Qatar.

Penyebaran fatwa dan pendapat ulama Arab Saudi mengenai Ikhwanul Muslimin oleh aktivis dan penentang sekatan terhadap Qatar memperkukuhkan kedudukan Doha, yang enggan mengisytiharkan pergerakan itu sebagai kumpulan pengganas. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *