home Semasa Aman Palestin lancar kempen bantu Al-Aqsa

Aman Palestin lancar kempen bantu Al-Aqsa

 

KUALA LUMPUR: Aman Palestin Bhd melancarkan kempen menentang kekejaman zionis Israel susulan serangan dan penindasan yang semakin meruncing di perkarangan Masjid al-Aqsa.

Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin Bhd, Awang Suffian Awang Piut, berkata Kempen Aqsa Solidariti Ummah #denganjiwa #dengandarahkami itu akan diperluaskan menerusi pelbagai platform, selain penganjuran siri jelajah.

Katanya, ia bagi memberi kesedaran dan membangkitkan rasa tanggungjawab umat Islam terhadap pergolakan di masjid berkenaan.

“Kemuncak kempen dijangka diadakan pada 5 Ogos ini di Dataran Perbadanan Putrajaya, Presint 3 dan rakyat Malaysia dialu-alukan berhimpun memberi sokongan memperjuangkan isu ini.

“Berikutan musibah melanda Masjid al-Aqsa ini, Aman Palestin turut melancarkan kempen ‘Jom Menyumbang RM50’ untuk membantu rakyat Palestin yang mempertahankan kesucian perkarangan masjid.

“Kita menyasarkan bantuan ini mendapat sambutan 1.8 juta rakyat Malaysia, sekali gus berupaya menampung kos sara hidup kumpulan murabit (rakyat Palestin yang mempertahankan Masjid Al-Aqsa), membayar gaji penjaga Masjid Al-Aqsa dan membantu menjelaskan cukai pintu yang tinggi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Awang Suffian berkata, pihaknya mengutuk sekeras-kerasnya pencabulan berterusan zionis Israel terhadap Masjid al-Aqsa yang berleluasa sehingga ke hari ini.

Beliau menyifatkan sikap zionis mengenakan pelbagai prosedur ketat terhadap umat Islam di Palestin, khususnya dalam beribadat di masjid berkenaan sebagai melampaui batas dan perlu dihentikan.

“Tindakan seperti ini tidak berperikemanusiaan dan mengundang kemarahan umat Islam di seluruh dunia rentetan pencerobohan 70 pendatang haram Yahudi zionis di perkarangan Masjid al-Aqsa melalui pintu Al-Maghribeh sehingga menyebabkan kematian tiga warga Palestin.

“Umat Islam di sana turut dilarang menunaikan solat Jumaat, selain ditegah melaungkan azan dan solat berjemaah di masjid berkenaan selama beberapa hari.

“Tindakan biadap ini semakin berlarutan apabila mereka mengenakan prosedur lebih ketat terhadap warga Palestin untuk memasuki Masjid Al-Aqsa dengan memasang pagar elektronik dilengkapi alat pengesan besi.

“Siri penindasan ini mengundang kemarahan umat Islam kerana Israel secara jelasnya melanggar hak kebebasan untuk beribadat di masjid yang dimiliki umat Islam sendiri,” katanya.

# INFO

* Perhimpunan Kempen Aqsa Solidariti Ummah
– Dataran Perbadanan Putrajaya, Presint 3
– 5 Ogos 2017
– mulai jam 4.45 petang
– Tayangan video, perkongsian selebriti terkenal tanah air, qasidah, solat isya berjemaah dan solat hajat perdana. – Berita Harian

www.indahnyaislam.my

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *