home Semasa Anak tak sah taraf tak boleh di’bin’kan kepada bapa biologi: Peguam Syarie

Anak tak sah taraf tak boleh di’bin’kan kepada bapa biologi: Peguam Syarie

 

MERUJUK keputusan Mahkamah Rayuan Kuala Lumpur dalam kes rayuan No. W-01(A)-365-09/2016 pada 25 Julai 2017 telah membenarkan anak tak sah taraf boleh dibinkan kepada nama bapa biologi.

Kes ini adalah berkaitan permohonan tiga orang pemohon iaitu anak tak sah taraf (selepas ini dikenali sebagai A), ibu (selepas ini dikenali sebagai B) dan bapa (selepas ini dikenali sebagai C) terhadap Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Ketua Pengarah JPN dan Kerajaan Malaysia.

Berdasarkan fakta kes, B dan C berkahwin pada 24 Oktober 2009 manakala A telah dilahirkan oleh B pada 17 April 2010 yang mana usia kelahirannya adalah 5 bulan 24 hari (5 bulan 27 hari qamariyyah). Nama A telah didaftarkan oleh JPN 2 tahun selepas kelahirannya dengan nama A Bin Abdullah bukan dengan A Bin C. JPN mendaftarkan nama A di bawah Seksyen 13, Akta Pendaftaran dan Kelahiran 1957 (Akta 299). Di dalam daftar kelahirannya tercatat “Permohonan Seksyen 13”. B dan C telah mengemukakan permohonan bertulis ke JPN untuk meminda nama A agar dibinkan kepada C. JPN telah menolak permohonan pembetulan maklumat dalam Daftar Kelahiran A dengan alasan tempoh tarikh kelahiran dan tarikh perkahwinan tidak mencukupi bagi A dinasabkan kepada C.

Penolakan JPN untuk mendaftarkan nama A dibinkan kepada C adalah berdasarkan dua fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaaan seperti berikut :-

1) Fatwa 1 – 26-29 Januari 1981;
“Anak zina atau luar nikah (anak tak sah taraf) sama ada diikuti dengan perkahwinan kedua pasangan ibu bapanya atau tidak hendaklah dibinkan atau dibintikan kepada Abdullah”

2) Fatwa 2 – 10 Jun 2003;

Anak Tak Sah Taraf ialah:

a) Anak yang dilahirkan di luar nikah sama ada akibat zina atau rogol dan dia bukan daripada persetubuhan syubhah atau bukan daripada anak perhambaan;

b) Anak dilahirkan kurang dari 6 bulan 2 lahzah (saat) mengikut Takwim Qamariah daripada tarikh tamkin (persetubuhan);

c) Anak tak sah taraf tidak boleh dinasabkan kepada lelaki yang menyebabkan kelahirannya atau kepada sesiapa yang mengaku menjadi bapa kepada anak tersebut. Oleh itu, mereka tidak boleh pusaka mempusakai, tidak menjadi mahram dan tidak boleh menjadi wali.

A, B dan C tidak berpuashati dengan penolakan tersebut lalu memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayyuan setelah tidak berpuashati dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Rayuan bertujuan untuk membatalkan perkataan “Permohonan Seksyen 13” dalam daftar kelahiran dan membatalkan nama Abdullah dan digantikan dengan nama C.

Persoalan yang timbul;

1) Adakah anak luar nikah boleh dinasabkan kepada nama bapa biologi?
Bagi merungkai persoalan ini, penulis merujuk hadis Rasulullah SAW dalam Sahih Muslim, Kitab Al-Radha’, Bab al-Waladu Lil Firash, Hadis No. 3598, halaman 663 yang bermaksud: “Anak adalah hak pemilik hamparan (al-firasy) sedangkan orang yang berzina (al-‘ahir) haknya adalah batu”.

Penulis juga merujuk kitab Ahkam al-Quran, karangan Abu Bakr Ahmad bin ‘Ali al-Razi Al-Jassas, halaman 396 yang menyebut hadis Rasulullah SAW berkaitan nasab, sabdanya: “Nasab anak itu adalah untuk bapa yang sah, manakala penzina dihalang daripada dinasabkan anak kepadanya”.

Berdasarkan kedua-dua hadis di atas, dapatlah difahami bahawa nasab seseorang anak hanyalah untuk lelaki yang bernikah secara sah dengan ibu anak tersebut dan anak itu terhasil daripada percantuman benih antara kedua pasangan tersebut. Jika berlaku perzinaan, lelaki tersebut dihalang daripada dinasabkan anak tersebut kepadanya.

Menurut al-Syafii dalam kitabnya Ahkam al-Quran, halaman 189 menyatakan: “Jika seorang lelaki yang berzina dengan seorang perempuan lalu perempuan itu melahirkan anak perempuan, maka lelaki itu boleh berkahwin sama ada dengan perempuan itu atau anak perempuannya. Ini disebabkan Allah SWT hanya menjadikan hubungan mahram itu berasaskan perkahwinan yang halal sahaja”.

Menurut Garis Panduan Anak Tak Sah Taraf : Penamaan, Pergaulan dan Hak-haknya, yang dikeluarkan oleh JAKIM, halaman 9 menyatakan:

“Anak zina atau anak di luar nikah sama ada diikuti dengan perkahwinan kedua pasangan ibu bapanya atau tidak hendaklah di’bin’ atau di’binti’kan dengan Abdullah atau lain-lain nama Asma’ al-Husna yang berpangkalkan dengan Abdul”.

Oleh itu, Islam tidak mewajibkan nama anak luar nikah dinasabkan kepada bapa biologi kerana bercanggah dengan Hukum Syarak dan dikhuatiri akan menimbulkan masalah pergaulan dan pewarisan jika bapa biologi tersebut mempunyai anak-anak yang sah selepas perkahwinan dengan ibunya.

Namun begitu, mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis yang bersidang pada 17 September 2008 memutuskan bahawa anak yang lahir kurang daripada 6 bulan selepas ibunya berkahwin boleh di’bin’ atau di’binti’kan kepada suami ibunya kecuali jika dinafikan oleh suami ibunya. Fatwa tersebut telah diwartakan pada 26 Disember 2013.

Mufti Perlis ketika itu telah menyarankan agar Majlis Fatwa Kebangsaan mengkaji semula fatwa melarang anak yang lahir kurang enam bulan selepas perkahwinan dinasabkan (di’bin’kan atau di’binti’kan) kepada bapanya.

Kajian semula perlu dilakukan kerana keputusan tersebut hanya bersandarkan kepada dalil yang bersifat tafsiran (mafhum) dan bukannya dalil yang tetap (mantuq).

Saranan mufti tersebut telah disangkal oleh Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang menegaskan bahawa fatwa yang melarang anak yang lahir kurang daripada enam bulan selepas perkahwinan dinasabkan (di’bin’ atau di’binti’kan) kepada bapanya tidak perlu dikaji semula.

Ini disebabkan fatwa tersebut telah ditentukan oleh ulama-ulama terdahulu setelah menimbangkan keadaan dan hukumannya.

Oleh itu, penulis berpandangan fatwa-fatwa di atas yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, apabila diwartakan diperingkat Kerajaan Persekutuan, ia adalah mengikat kepada mana-mana agensi Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakannya. Oleh itu, tindakan JPN berpegang kepada fatwa-fatwa di atas adalah menepati kehendak undang-undang dalam negara kita.

2) Bagi orang Islam, mana satukah undang-undang yang boleh mengikat mereka sama ada Enakmen Undang-undang Keluarga Islam atau Akta-akta di peringkat Persekutuan?

Penulis ingin menyatakan bahawa Perlembagaan Persekutuan merupakan undang-undang tertinggi dalam negara kita telah meletakkan asas yang kukuh mengenai pembahagian kuasa legislatif dan eksekutif antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

Perkara 74 telah memperuntukkan bidangkuasa antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri seperti yang terkandung dalam Senarai Pertama, Senarai Kedua dan Senarai Ketiga dalam Jadual Kesembilan.

Perkara 74 (1) menjelaskan tentang kuasa Parlimen sebagai badan perundangan Kerajaan Persekutuan boleh menggubal undang-undang tentang perkara-perkara yang dinyatakan dalam Senarai Persekutuan (Senarai 1) dan Senarai Bersama (Senarai 3) dalam Jadual Kesembilan.

Perkara 74 (2) pula menyatakan kuasa Dewan Undangan Negeri sebagai badan perundangan. Kerajaan Negeri hanya boleh menggubal undang-undang tentang perkara-perkara yang disebut di bawah Senarai Negeri (Senarai 2) dan Senarai Bersama (Senarai 3) dalam Jadual Kesembilan.

Dalam Senarai Pertama (Senarai Persekutuan) telah diperuntukkan dalam Perkara 4 (e) (i) iaitu hal-hal yang berkaitan perceraian dan taraf anak. Dalam Senarai Kedua (Senarai Negeri) telah diperuntukkan dalam Perkara 1 berkaitan pengambilan anak angkat, taraf anak dan penjagaan anak.

Dalam Senarai Ketiga pula (Senarai Bersama) telah diperuntukkan dalam Perkara 1 iaitu hal-hal yang menyentuh kebajikan masyarakat ; perkhidmatan masyarakat tertakluk kepada Senarai Pertama dan Kedua ; perlindungan bagi perempuan, kanak-kanak dan orang-orang muda.

Berdasarkan Senarai Perundangan, Jadual Kesembilan, nyatalah bahawa Kerajaan Persekutuan mempunyai kuasa dan bidangkuasa dalam Senarai Pertama iaitu menentukan status kesahtarafan anak di Wilayah-Wilayah Persekutuan sahaja (Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya) yang termaktub di dalam Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan, 1984 (Akta 303).

Kerajaan Negeri pula mempunyai kuasa dan bidangkuasa dalam Senarai Kedua iaitu menentukan status kesahtarafan anak dan hadanah (penjagaan anak). Ini disebabkan setiap negeri di Malaysia mempunyai enakmen undang-undang keluarga Islam yang tersendiri yang berkuasa membuat peruntukan-peruntukan tertentu berkaitan isu kesahtarafan anak.

Sebagai contoh, penulis merujuk Seksyen 2, Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Kedah (EUKIK) 2008 ‘nasab’ ditafsirkan sebagai ‘keturunan yang berasaskan pertalian darah yang sah’.

Dalam kes Muhammad Ezaac Iskandar bin Abdullah & 2 yang lain lwn Jabatan Pendaftaran Negara & 2 yang lain, mahkamah mendapati wujud elemen persetubuhan luar nikah antara perayu kedua dan perayu ketiga sehingga melahirkan perayu pertama dalam tempoh 5 bulan 27 hari.

Tindakan responden mendaftarkan nama perayu pertama di”binkan” dengan Abdullah adalah berdasarkan fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan yang bersidang kali pertama pada 28-29 Januari 1981 dan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke 57 yang bersidang pada 10 Jun 2003 selain bersandarkan seksyen 13, Akta Pendaftaran Kelahiran Dan Kematian 1957 (Akta 299). Oleh itu, mahkamah menolak rayuan perayu.

Dalam kes Jamuri bin Ishak dan Azira binti Aziz, JPN Negeri Kedah meragui status anak yang dilahirkan oleh pemohon kedua apabila pemohon pertama hendak membuat kad pengenalan anak tersebut. JPN tersebut telah menolak permohonan untuk mem’bin’kan anak tersebut dengan namanya iaitu Mohd Ikhtisam Adwa bin Jamuri. Permohonan tersebut dipanjangkan ke Mahkamah Syariah dan diputuskan bahawa Mohd Iktisham Adwa adalah anak luar nikah kepada kedua-dua pemohon tersebut.

Berdasarkan contoh-contoh kes di atas, penulis berpandangan isu kesahtarafan anak adalah tertakluk di bawah Akta atau Enakmen Undang-undang Keluarga Islam di seluruh negeri di Malaysia.

Meskipun Seksyen 13 dan 13 A, Akta Pendaftaran Kelahiran & Kematian 1957 (Akta 299) membenarkan pengakuan seseorang bapa biologi terhadap seseorang anak tak sah taraf didaftarkan namanya diruangan bapa dalam daftar kelahiran, tetapi penggunaan ini lebih relevan bagi orang bukan Islam.

Bagi anak tak sah taraf orang Islam, status kesahtarafan anak adalah dalam bidangkuasa Mahkamah Syariah dan fatwa-fatwa yang berkaitan dengannya. Adalah lebih manis, jika isu kesahtarafan ini dirujuk oleh Mahkamah Rayuan kepada Mahkamah Syariah terlebih dahulu atas semangat pindaan Fasal 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan sebelum memutuskan rayuan tersebut.

Haji Abd Ghani Ahmad
Peguam Syarie

www.indahnyaislam.my

text gambar

6 thoughts on “Anak tak sah taraf tak boleh di’bin’kan kepada bapa biologi: Peguam Syarie

  1. Assalamualaikum tuan haji.bolehkah saya bertanya dan mohon maklum balas…tuan haji,perkahwinan kami berlaku pada 2009 dan baru2 nie diketahui tidak sah(mengikut bacaan dan rujukan,dikategorikan syubhah)berikutan baru diketahui jurunikah(wali hakim) yang nikahkan tidak bertauliah.ia terbongkar bila pada 2013,anak yang dilahirkan tidak dapat di bin pada bapanya dah ditulis permohonan seksyen 13.bolehkah kami memohon anak kami di bin pada bapanya?bolehkah saya tau lebih lanjut berdasarkan pendapat dan pandangan undang-undang?mohon email pada saya tentang ini.terima kasih.

  2. Setahu sy dlm islam kita tidak dibenarkan buka aib sseorang atau pun mengaibkan org lain.. dlm isu anak x sah taraf, sy faham yg dia x boleh dinasabkan dgn llaki yg mngaku bapa atau yang mmang mnyebabkan mak dia mngandingkn dia. Tp demi utk melindungi bayi yg x bersalah tu dr diaibkan satu hari nnt, rasanya x salah utk di binkan dgn nama bapa dia dgn syarat, dlm surat branak dia ruang paling bawah seblah kiri tu tetap ada tanda ‘ seksyen 13’ means dia anak xsah taraf. So isu pasal dia benda ni akan halang dia drpd dwalikan oleh bapa bg yg anak perempuan atau mndapatkan harta dr bapanya bg yg llaki… Tujuan di sini cuma stu, nak pelihara bayi td spaya x diaibkan dgn ksalahan org tuanya, dan z mnjadi punca c bayi td mbesar dgn x smpurna dr segi mental… Harap ada pihak yg buka minda sikit.. huium Allah x kan bole dielakkan, sedangkan allah terima taubat kita sbagai manusia yg kerdil ni. Siapa kita nak hukum bayi yg x bersalah tu dgn mbawa aib org tua dia.. biar lah org tua dia dihukum. Jgn hukum dia skali. Kita cipta undang2 yg sngaja nak bgtaustu dunia yg dia anak luar nikah dr nama penuh dia..

  3. sungguh zalim undang2 meletakkan aib ibubapa kepada anak yang tidak berdosa dan menanggung sehingga bila2 aib ibubapa..Allah maha pengampun.

  4. Spupu sy ustaz di lahirkan sebagai anak luar nikah… Tetapi di bin kan dgn ayah yg laen ( bukan ayah sebenar ) dan ibunya berkawin dgn org lain.. Jd sepupu sy di bin dgn ayah yg bukan ditiduri oleh ibunya.. Jd baru2 ni sepupu sy bernikah dgn isterinya… Beliau bernikah dgn menggunakan berbin kan bukan bapa sebenar… Sy musykil dgn permasalahan ini ustaz ada sah perkahwinan beliau???

  5. Assalamulaikum Tuan Haji, Saya baru pergi ke JPN, Johor untuk mendaftar kelahiran anak saya . Dalam surat lahir nama anak saya tak dibinkan nama saya. Saya bernikah sah cara kampung di Indonesia pada tahun 2016 dan surat nikah yang ada cuma surat keterangan pernikahan saya dan surat nikah itu tak bolih di rasmikan di kedutaan Indonesia. Lagi pun saya dan isteri bukan warga negara Malaysia, tapi kami pilih untuk melahirkan di Malaysia kerana kemudahan yang ada. Ini kesilapan kami, melahirkan anak di Malaysia dan ni apa yang kami terima.
    Kita semua tahu, dosa2 yang kita buat, kita tanggung sendiri, dan kenapa walaupun dah bernikah, tapi tak resmi, anak harus menerima hukumannya sepanjang hayat nya.

  6. Assalammualaikum tuan haji.. Sy ingin bertanya..sy dan suami berkahwin di indonesia riau pada 30 des 2014. Tapi kami hnya dapat surat,, kira nikah siri saja dan dlam masa yg sma sy mengandong luar nikah usia kandungan 8 bulan.. Anak sy perempuan yg lahir 30 jan 2015 dan di bin kan abdul rahman..sy dan suami berkahwin yg sah di pejabat agama pada 13 oct 2016 tanpa menunjukkan surat yg dri indonesia dan anak saya.. Skrang anak sy sudah 3 tahun lebih.. Yg sy ingin tanyakan apakah bole saya buat rayuan dia mahkamah untuk menukarkan nama anak sy yg du binti kepada ayah kandungnya.. Kami menyesal keran ambil langkah yg salah.. Kami syg kn anak sy.. Tolong sy untuk selesaikan masalah ini.. Tlong balas ya tuan haji

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *