home Semasa Artifak berharga dalam Masjid Al-Aqsa dikhuatiri hilang

Artifak berharga dalam Masjid Al-Aqsa dikhuatiri hilang

 

AMMAN – Penutupan Masjid Al-Aqsa selama dua hari mencetuskan kebimbangan kehilangan artifak berharga yang terdapat di dalam masjid itu selain tindakan Israel memasang alat pengesan.

Gabenor Baitulmaqdis, Adnan Al-Husseini menegaskan, Israel harus bertanggungjawab sepenuhnya terhadap sebarang kerosakan di kawasan masjid dan ke­selamatan artifak berkenaan.

“Terdapat beribu-ribu ma­nu­skrip dan artifak serta barangan berharga dalam kawasan masjid dan kami mahu Israel bertanggungjawab terhadap barangan ini,” katanya kepada wartawan tempatan.

Para pegawai Palestin dan penduduk Baitulmaqdis bimbang Israel mengambil peluang penutupan masjid itu untuk melakukan pelbagai perubahan yang akan menyekat kemasukan pendudukan Islam ke bandar suci berkenaan.

Wartawan tempatan, Abdel Raouf Arnaout yang bertugas de­ngan akhbar harian Al-Ayyam mem­beritahu portal Arab News, kebimbangan yang paling ketara ialah pemasangan alat pengesan besi.

“Jika mereka (Israel) memasang alat pengesan ini di setiap pintu masjid maka ini akan menimbulkan masalah besar kerana melewatkan jemaah untuk tiba di masjid,” katanya.

Menurut Abdel Raouf, semasa solat Jumaat pada bulan Ramadan lebih suku juta penduduk Islam menunaikan solat di masjid tersebut.

“Jika Israel memasang alat pe­ngesan hanya segelintir penduduk Islam yang dapat masuk ke dalam masjid manakala yang lain terpaksa beratur panjang,” ujarnya.

Seorang pesara, Nayef Taha, 68, yang tinggal di bandar lama Baitulmaqdis berkata, dia tidak pernah melihat bandar ini lumpuh sejak berpuluh-puluh tahun lalu.

“Pemilik kedai yang tidak tinggal di bandar ini tidak boleh membuka kedai kerana Israel hanya membenarkan penduduk yang mempunyai kad pengenalan dan tinggal di sini sahaja untuk ber­­operasi,” katanya.

Dalam pada itu Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, kawasan masjid itu dibuka hari ini.

“Kawasan Temple Mount dibuka secara berperingkat bermula esok (hari ini) untuk jemaah, pe­ngunjung dan pelancong,’’ katanya dalam satu kenyataan.

Rejim Israel menutup Masjid Al-Aqsa selepas kejadian serang­an di kawasan tersebut yang menyebabkan tiga penyerang Palestin dan dua anggota polis Israel terbunuh.

Rejim itu juga bertindak membatalkan solat Jumaat di masjid itu dan menahan Mufti Besar Baitulmaqdis, Muhammad Ahmad Hussein ekoran kejadian berkenaan namun membebaskannya semalam.

Sementara itu, tentera Israel membunuh seorang penduduk Palestin yang didakwa yang telah melepaskan tembakan ke arah mereka di Tebing Barat.

Jurucakap polis, Micky Rosenfeld berkata, mangsa disyaki melepaskan dua tembakan semalam ke arah polis dan tentera yang memburunya di kawasan perkampungan Nabi Saleh dekat Ramallah. – Utusan

www.indahnyaislam.my

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *