home Semasa Melayu sekular, liberal belajar daripada Kristian moderat rosakkan Islam

Melayu sekular, liberal belajar daripada Kristian moderat rosakkan Islam

 

DULU semasa saya menuntut di Mesir saya merasa teruknya pengaruh sekular di sana kerana muncul tokoh-tokoh sekular yang bercakap dan memperjuangkan sekularisme.

Untuk kesekian waktu saya rasa bersyukur kerana golongan seperti itu belum ‘dapat’ saya lihat wujud di Malaysia.

Saya fikir sekularisme tidak wujud di kalangan orang Melayu di Malaysia, kalau ada pun dalam bentuk tradisi bukan dalam bentuk anutan pemikiran.

Namun sangkaan saya ini sama sekali telah meleset.

Beberapa tahun kebelakangan ini telah muncul di kalangan orang Melayu pejuang-pejuang sekularisme dan liberalisme dengan mendadak, lantang dan luar biasa.

Mereka bukan sahaja terdiri daripada mereka yang baru direkrut tetapi juga di kalangan mereka yang senior yang kini telah berani menonjolkan susuk pemikiran mereka yang sebenar.

Mereka muncul dalam NGO-NGO dan juga parti-parti politik sama ada yang berlandaskan bangsa, Bumiputera atau multiracial bersedia menentang sama sekali apa sahaja agenda mendaulatkan agama dan juga bangsa.

Mereka belajar daripada puak Kristian moderat. Bagaimana golongan Kristian moderat lakukan terhadap agama Kristian begitulah golongan moderat ini cuba lakukan terhadap agama Islam.

Menggunakan metodologi yang sama, mereka cuba mentafsir agama Islam sejajar dengan kehendak liberalisme dan sekularisme yang antiagama dan menolak tuhan.

Mereka mungkin tidak pergi ke lodge-lodge untuk melakukan ritual kerohanian tetapi mereka telah bersedia dengan rela hati meleraikan pertalian wala’ (kesetiaan) mereka kepada agama dan bangsa.

Dengan terungkainya pertalian wala’ (kesetiaan) kepada Allah, Rasul-Nya dan orang beriman, mereka telah memberikan wala’ (kesetiaan) kepada tuan-tuan baru yang memusuhi Allah dan Rasul-Nya.

Sebagai penghargaan mereka akan dibantu untuk mencapai cita-cita yang mereka impikan daripada kedudukan dunia, pangkat, kemenangan politik atau mungkin sekadar pujian.

Walaubagaimanapun untuk terus kekal relevan di kalangan kaum sebangsa dan seagama mereka perlulah bijak berpura-pura, beretorik dengan slogan-slogan patriotik yang palsu dan mencipta istilah-istilah baru kepada keIslaman.

Demikian hipokrasi menjadi manhaj hidup mereka. ‘Mereka berkata dengan mulut mereka bukan apa yang terkandung dalam hati mereka’.

‘Mereka keluar daripada agama seperti keluar anak panah dari busur’. ‘Mereka menjual agama dengan harga yang murah’.

Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia

www.indahnyaislam.my

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *