home Semasa Polemik pelaksanaan hukuman dalam Islam

Polemik pelaksanaan hukuman dalam Islam

 

Di dalam Islam, ada konsep pembalasan yang dibahagikan kepada pembalasan dalam bentuk hukuman di dunia dan hukuman di akhirat.

Walaupun secara asasnya hukuman yang seadil-adilnya akan berlaku di akhirat nanti, namun atas tuntutan untuk menjaga kestabilan hidup bermasyarakat dan meletakkan garis panduan secara jelas di dalam hubungan sesama anggota masyarakat maka beberapa bentuk hukuman perlu dilaksanakan di dunia ini.

Negara terpaksa memperuntukkan beberapa hukuman kepada rakyatnya yang melakukan perkara yang dilarang, ataupun tidak melaksanakan kewajipan-kewajipan yang sepatutnya dilakukannya mahupun melakukan jenayah-jenayah tertentu.

Hukuman-hukuman ini sebagai alternatif kepada jiwa-jiwa manusia yang tidak boleh ditundukkan oleh peringatan-peringatan dan amaran.

Konsep “terpaksa membuat undang-undang dan hukuman di dunia ini masih perlu untuk menjaga kestabilan hidup bermasyarakat” adalah konsep yang telah diterima secara umum samada hukuman itu diputuskan oleh mahkamah sivil mahupun mahkamah syariah.

Namun sesuatu yang sangat pelik apabila sesuatu hukuman itu beraura syarie maka masyarakat diajak menerima hakikat bahawa biarlah peranan mendidik masyarakat agar patuh kepada peraturan itu dikendalikan sendiri oleh iman masing-masing tidak perlu kepada hukuman yang berat bahkan biarlah hukuman sedia ada itu dikekalkan walaupun tidak pernah disemak semula walaupun berpuluhan tahun terpakai.

Apatah lagi untuk diperkasa mahupun diperbaiki. Segala usaha ke arah itu pasti mengharung berbagai-bagai cabaran dan rintangan.

Memanglah diakui bahawa penyelesaian Islam terhadap segala jenis ketidakpatuhan kepada perintah syarak dan jenayah adalah berasaskan kepada penyelesaian bersifat akar umbi dalam diri setiap manusia itu. Maka ia diselesaikan dengan pengukuhan aqidah kepada setiap individu.

Rasa diri sentiasa berada di dalam pengawasan Allah (muraqabatillah), takut balasan Allah dan perkara-perkara lain yang berkait dengan aqidah sudah tentu memberi kesan kepada penghapusan jenayah dalam masyarakat apatah lagi Islam menganjurkan amar makruf dan nahi munkar di dalam usaha mewujudkan masyarakat yang bersih dari tingkah laku jenayah.

Namun , perlu juga diinsafi bahawa iman bukan sentiasa berada kekal di kemuncak, ada masanya ia tewas dengan runtunan hawa nafsu dan kehendak. Maka sudah tentu dikalangan anggota masyarakat itu , jiwa-jiwa yang rosak dan kalah dengan godaan nafsu akan melanggar peraturan yang dibuat dan ada kalanya mengganggu kestabilan masyarakat.

Dalam situasi ini hukuman sangat perlu untuk mengekalkan kestabilan masyarakat, memberi pengajaran kepada pelakunya dan mengingat anggota masyarakat lain agar jangan cuba-uba melakukan jenayah yang sama.

Sebagai contoh seperti jenayah zina. Islam menganggap zina itu adalah jenayah walaupun pejuang hak asasi manusia versi sekular mengatakan ia adalah hak asasi manusia. Islam menganggapnya jenayah kerana ia sudah melanggar perintah Allah SWT, pemilik alam ini.

Al Quran yang merupakan kalam Allah mahupun pesanan-pesanan yang disampaikan oleh Nabi Muhammad SAW sangat jelas, agar bukan sahaja berzina, bahkan wajib menjauhi perbuatan yang mengarah kepada perbuatan zina seperti berdua-duaan lain jantina, membuka aurat samada lelaki atau perempuan, tidak menjaga pandangan lelaki dan perempuan, bahkan setiap kita samada lelaki mahupun perempuan wajib memelihara maruah masing-masing.

Zina juga dianggap jenayah di dalam Islam kerana bukan sahaja ia melibatkan dosa dua peribadi pelakunya tetapi sebenarnya ia telah melakukan jenayah kepada kestabilan hidup bermasyarakat.

Masakan tidak, ia telah merosakkan sistem penjagaan keturunan di dalam masyarakat bahkan ia melibatkan kedua-dua pihak keluarga pelakunya. Keluarga menjadi malu, masyarakat menjadi aib, sistem pendidikan dianggap tidak berkesan dan kesan-kesan lain.

Jika ia dilakukan pula secara terang-terangan, sampai tahap disaksikan oleh empat orang saksi maka ia sebenarnya telah mencabar kesopanan sistem masyarakat berkenaan dan layaklah ia mendapat hukuman yang disaksikan oleh sebahagian masyarakat.

Ini dijelaskan oleh firman Allah SWT : Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum ugama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman (QS al Nur : 2)

Mereka yang sengaja tidak mahu memahami konsep ini sering cuba mengalih pandangan orang ramai dengan memberi gambaran kejamnya hukuman itu dan mengajak masyarakat bersimpati dengan pelaku kesalahan sedangkan pelaku jenayah berkenaan telah melakukan kesalahan yang besar kepada Allah SWT iaitu melanggar perintahNya dan telah melakukan jenayah kepada masyarakat.

Hukuman ini perlu bagi manusia yang imannya gagal membentuk dirinya sebagai warga masyarakat yang baik bahkan mencabar sistem masyarakat itu sendiri.

Sahibus Samahah Ustaz Zamri Hashim
Timbalan Mufti Negeri Perak

www.indahnyaislam.my

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *