home Semasa UMMAH bimbang keputusan Mahkamah Rayuan kes nasab anak luar nikah

UMMAH bimbang keputusan Mahkamah Rayuan kes nasab anak luar nikah

 

BANGI – Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) melahirkan kebimbangan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan bahawa anak tidak sah taraf beragama Islam boleh dinasabkan kepada nama bapanya.

Sehubungan itu, UMMAH menggesa majlis agama Islam seluruh negara untuk membantu Mahkamah Persekutuan membuat keputusan berkaitan kes ini.

Pengerusi UMMAH, Aminuddin Yahaya berkata, gerakan itu percaya keputusan Mahkamah Rayuan pada 25 Julai lalu, bertentangan dengan fatwa yang dikeluarkan Majlis Fatwa Kebangsaan pada 2003, yang menetapkan bahawa “anak tidak sah taraf tidak boleh dinasabkan kepada lelaki yang menyebabkan kelahirannya atau kepada sesiapa yang mengaku menjadi bapa anak tersebut.”

Beliau menekankan bahawa penetapan nasab seseorang anak bagi menentukan sama ada sah atau tidak tarafnya bukan bertujuan menghukum anak itu atas dosa yang dilakukan ibu bapanya sekiranya anak itu tidak sah tarafnya.

Sebaliknya kata beliau, tindakan itu bertujuan menjaga kesucian dan keutuhan nasab dan keturunan, yang telah dirumuskan oleh ulama sebagai termasuk salah satu daripada matlamat atau maqasid syariah.

“Keutuhan nasab amat penting untuk dipelihara, kerana akan memberikan implikasi dan kesan yang menjangkau terhadap aspek-aspek hukum syara’ berkenaan pembahagian harta pusaka, perwalian, pernikahan, hukum-hakam berkaitan mahram, dan lain-lain lagi,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Aminuddin berkata, keputusan Mahkamah Rayuan itu yang membenarkan seseorang anak beragama Islam yang tidak sah tarafnya untuk dibin atau dibintikan kepada nama ayahnya dengan bersandarkan kepada peruntukan Seksyen 13A(2) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 adalah amat memusykilkan.

“Hal ini kerana seksyen tersebut merujuk kepada penggunaan “nama keluarga” atau “surname”, sekiranya ada, bagi keluarga-keluarga yang mengamalkan pemakaian nama keluarga. Sedangkan amalan nama yang dibin atau dibintikan dengan nama ayah di kalangan orang Islam di Malaysia, tidak semestinya jatuh di bawah cakupan Seksyen 13A(2) tersebut, yang perlu diperhalusi dengan lebih lanjut lagi,” katanya.

Beliau berkata, UMMAH mengambil maklum bahawa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan kerajaan dilaporkan telah memfailkan permohonan untuk kebenaran merayu kepada Mahkamah Persekutuan berhubung kes ini, dan mengucapkan tahniah atas tindakan proaktif pihak kerajaan.

Katanya, banyak isu perundangan yang perlu dicermati dan ditafsirkan secara lebih autoritatif oleh Mahkamah Persekutuan selaku tingkat kehakiman tertinggi dalam negara, memandangkan apa yang diputuskan pada peringkat Mahkamah Rayuan dalam kes ini dilihat amat bercanggah dengan prinsip perundangan yang telah diputuskan sebelumnya berkenaan kedaulatan Islam dan peranan pihak berkuasa untuk patuh kepada hukum syarak.

“Memandangkan isu perundangan berkaitan nasab turut mempunyai kesan yang menjangkau pentadbiran undang-undang syariah di peringkat negeri-negeri, maka UMMAH menggesa agar Majlis-Majlis Agama Islam di semua negeri untuk bantu merungkaikan isu ini dengan cara membuat permohonan bagi menjadi pencelah dalam rayuan pihak kerajaan di peringkat Mahkamah Persekutuan.

“Hujahan dan input daripada pihak-pihak yang berautoriti dalam bidang agama akan dapat membantu pihak Mahkamah untuk memberikan keputusan yang lebih menyeluruh, demi kepentingan keadilan. UMMAH percaya bahawa berdasarkan kepada intipati kes ini, Majlis-Majlis Agama Islam sememangnya mempunyai kepentingan perundangan yang kuat.

“UMMAH menegaskan bahawa jika pun ada sebarang kelompongan dalam mana-mana Akta sedia ada, maka kerajaan juga wajar pertimbangkan untuk memperbaiki Akta tersebut melalui proses pindaan di parlimen, supaya dapat diselaraskan dan diharmonikan dengan hukum syarak,” katanya.

Hari ini, media melaporkan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abdul Rahman Sebli dalam keputusan penting setebal 29 muka surat berkata, Ketua Pengarah JPN tidak terikat dengan fatwa dikeluarkan Majlis Fatwa Kebangsaan dalam menentukan nama bapa pada sijil kelahiran bagi anak orang Islam yang dilahirkan luar nikah.

Katanya, bidang kuasa ketua pengarah adalah sivil dan terhad kepada menentukan sama ada ibu bapa kanak-kanak telah memenuhi keperluan berdasarkan Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian (BDRA) 1957 yang meliputi anak tidak saf taraf Islam dan bukan Islam.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria ketika dihubungi Ismaweb.net turut terkejut dengan keputusan itu dan menegaskan bahawa hukum Islam tetap hukum Islam dan ia wajib dipatuhi seluruh umat Islam, sekalipun undang-undang dunia menolaknya.

“Islam agama negara, jadi undang-undang Islam perlu diikuti, lebih-lebih lagi apabila kes berkenaan membabitkan orang Islam. Satu lagi, macam mana mereka kata tak terikat, sedangkan individu yang terlibat adalah orang Islam?,” katanya. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

text gambar

One thought on “UMMAH bimbang keputusan Mahkamah Rayuan kes nasab anak luar nikah

  1. Di sini bermakna hakim mahkamah rayuan tidak tahu yg Islam telah mempunyai peraturan sendiri atau lebih sempurna lagi di sebut jahil jika hakim itu beragama Islam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *