home Semasa Wanita kena jaga maruah, jangan tunjuk gedik

Wanita kena jaga maruah, jangan tunjuk gedik

 

BANGI – Wanita mesti menjaga maruah, tingkah laku dan peribadi dalam segenap aspek kehidupan bagi mengelakkan menjadi mangsa eksploitasi pihak lain, kata Ketua Jabatan Dakwah dan Usuluddin Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Dr Norsaleha Mohd Salleh.

Sehubungan itu, katanya, wanita perlu diberikan didikan supaya matlamat mereka bergiat di dalam sesuatu bidang pekerjaan menjadi lebih jelas.

Katanya, mereka perlu diingatkan supaya menjaga adab kesopanan, termasuk tingkah laku, cara pemakaian dan pergaulan, kerana wanita yang mempunyai prinsip dan harga diri akan dihormati.

Justeru, beliau yang juga Ketua Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) berkata, mana-mana wanita yang menganggap bidang pengiklanan sebagai sumber pendapatan, perlu mengambil kira etika dan akhlak yang akan ditonjolkan.

“Misalnya, nak jadi pramugari, jika diminta dedahkan tubuh badan, pakaian yang ketat, adakah sanggup kita berbuat demikian? Sebab itu kita kena sedar, ada pengeskploitasian terhadap wanita, wanita perlu mengambil kira apa pekerjaan yang dia nak buat.

“Tak dinafikan ada model muslimah, misalnya untuk menggayakan jubah, jadi takkan nak bagi lelaki. Tetapi yang penting adalah akhlak dan etika. Jangan tonjolkan aspek menggoda, gedik, atau lirikan mata sekalipun,” katanya dalam rancangan Dimensi bertajuk Eksploitasi Wanita Dalam Iklan, terbitan TV Ismaweb, malam tadi.

Sebelum ini, heboh isu iklan kadbod Shell, membabitkan seorang wanita yang menjadi model, yang mana ramai lelaki cuba melakukan aksi tidak senonoh terhadap kadbod itu, menyebabkan syarikat minyak berkenaan mengambil keputusan menarik balik iklan tersebut.

“Bayangkan iklan kadbod pun lelaki boleh berbuat demikian, itu sudah menunjukkan zaman kita zaman fasad, dengan gambar pun sudah menampakkan masyarakat kita amat membimbangkan dari segi akhlak dan peribadi.

“Jadi sebab itu kita sebagai wanita perlu sangat untuk menjaga aurat, Allah beri kita ruang berurusan dengan dunia luar. Maka bila kita keluar, apa yang kita perlu lakukan perkara pertama adalah kena jaga akhlak dan etika berpakaian, supaya kita keluar bukan bertujuan untuk menarik perhatian orang lain.

“Jaga juga tingkah laku supaya tak timbul keghairahan terhadap golongan lelaki, wanita kena didik diri untuk menjaga aurat, kaum lelaki pula perlu dididik untuk menghormati wanita,” katanya.

Mengulas dakwaan sesetengah pihak mengatakan isu eksploitasi wanita adalah mencabar kesamarataan gender, Dr Norsaleha berkata, sebenarnya mereka yang memperjuangkan kesemarataan gender tidak faham isu.

“Dalam Islam, jelas ada dua gender yang haknya diperoleh secara adil. Islam tidak melayan dari aspek kesamarataan gender, sebab masing-masing ada fungsi dan keistimewaan.

“Islam memperkenalkan keadilan dalam lelaki dan wanita. Sebab tu dalam Islam wanita kena tutup aurat. Kenapa lelaki tak tutup aurat? Tak ada pulak yang pertikai. Kerana apa, kerana adil Islam itu meletetakkan sesuatu pada tempatnya.

“Sebab itu saya katakan mereka yang memperjuangkan kesamarataan gender sebenarnya tak faham pun isu. Dalam isu eksploitasi wanita ini, mereka cuba nak kait dengan hak asasi. Kenapa bila Islam letak syariat semua nak bangkang?

“Contohnya, kenapa tak bangkang saja undang-undang dan peraturan lampu isyarat? Sebab mereka tahu kena saman, jadi kenapa pula perlu pertikai undang-undang yang Allah turunkan?,” soalnya. – Ismaweb

Saksikan video penuh: https://www.facebook.com/ISMAwebdotnet/videos/2003768463232590

www.indahnyaislam.my

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *