home Semasa Bahasa Melayu sebagai penjaga keamanan negara

Bahasa Melayu sebagai penjaga keamanan negara

 

Antara nikmat Allah yang tinggi nilainya untuk hamba-hambanya di atas muka bumi ini ialah nikmat merasai keamanan. Samada keamanan itu dirasai di dalam diri kita ataupun hidup secara aman sesama masyarakat di dalam sebuah negara.

Firman Allah SWT: Tuhan yang memberi mereka penghidupan: menyelamatkan mereka dari kelaparan, dan mengamankan mereka dari ketakutan. (Quraisy: 4)

Antara doa yang dirintih oleh Nabi Ibrahim a.s ialah dianugerahkan keamanan negara; “Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah (negeri Makkah) ini, negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki dari berbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya, iaitu orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat di antara mereka”. Allah berfirman:” (Permohonanmu itu diterima) tetapi sesiapa yang kufur dan ingkar maka Aku akan beri juga ia bersenang-senang menikmati rezeki itu bagi sementara (di dunia), kemudian Aku memaksanya (dengan menyeretnya) ke azab neraka, dan (itulah) seburuk-buruk tempat kembali”. (Al-Baqarah: 126)

Menjadi satu cabaran yang besar bagi sebuah negara yang dihuni oleh rakyatnya yang berbilang agama, budaya dan bangsa untuk mencari keamanan dan mengekalkannya. Dari sudut agama menyatukan rakyat dengan memaksa rakyat menganut hanya satu agama adalah perkara yang ditegah oleh Islam sendiri.

Firman Allah SWT: Tidak ada paksaan dalam ugama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali ugama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (Al-Baqarah: 256)

Memaksa rakyat yang berbilang budaya melupakan budaya masing-masing adalah perkara yang sangat sukar kerana budaya meenggambarkan identiti dan jatidiri bangsa berkenaan. Bahkan ia adalah fitrah kejadian penciptaan manusia.

Firman Allah SWT : Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu) (Al-Hujurat: 13)

Maka untuk membina sebuah negara di mana rakyatnya boleh berinteraksi sesama mereka dengan baik demi memupuk perpaduan sesama mereka walaupun berbeza agama dan budaya ialah menerusi penggunaan satu bahasa sebagai bahasa kebangsaan. Perkara 152, Perlembagaan Malaysia memperuntukkan bahasa kebangsaan di Malaysia ialah bahasa melayu. Kewujudan Perkara 152 tidak boleh dipadam kerana Perkara 159(5) menetapkan bahawa perkenan Majlis Raja-Raja diperlukan sekiranya ia hendak dipinda.

Bahasa Melayu juga diperakui oleh banyak negara sebagai bahasa nasional setelah melalui proses kemerdekaan. Indonesia pada tahun 1945, Malaysia pada tahun 1957 dan Brunei Darussalam pada tahun 1984.

Bahasa adalah entiti yang boleh digunakan untuk mengungkap budaya dan menjadi alat membentuk semangat kebangsaan. Ia adalah sumber penyatuan nasional. Sejarah purba China, sejarah moden Jerman dan Itali telah membuktikan betapa pentingnya bahasa sebagai salah satu alat untuk membina kekuatan negara dengan tidak menafikan peranan faktor-faktor lain. Kita mengambil dari sudut positif walaupun ada argumen mengatakan bahasa sahaja tidak cukup untuk mengekalkan keutuhan sesebuah negara dengan mengambil contoh negara-negara arab yang berkecamuk walaupun mereka satu bahasa.

Namun realiti di Malaysia menuntut supaya faktor bahasa terus dijadikan unsur pemersatu antara rakyat yang berbilang kaum dan telah terbukti faktor ini mempunyai sumbangan yang besar dalam mengekalkan perpaduan sedia ada.

Keterujaan kita untuk mencipta nama dan kedudukan di pentas antarabangsa beberapa perkara yang telah disepakati dan tersurat di dalam perlembagaan negara dilihat semakin tidak dipeduli. Ini disebabkan ada jiwa-jiwa manusia yang kembali dijajah dan taasub bahawa segala unsur dari luar itu diangap lebih baik dan berprestij. Antara yang dimangsakan adalah bahasa Melayu yang menjadi tiang seri perpaduan dan keharmonian dilihat tidak lagi relevan sebagai bahasa komunukasi dan bahasa ilmu. Alasan yang hanya diandai-andaikan iaitu bahasa Melayu dianggap tidak mampu menempatkan anak bangsa ke persada antara bangsa.

Sebaliknya, bahasa pertuturan bangsa yang pernah menjajah kita dianggap lebih berwibawa dan dominan. Lihatlah nama-nama jalan, nama kawasan perumahan yang baru bahkan bahasa yang digunakan oleh segelintir pemimpin ketika berucapa mahupun diwawancara dan disiarkan oleh media rasmi negara.

Sia-sialah perjuangan nenek moyang kita yang suatu ketika dahulu untuk membebaskan nagara dari belenggu penjajah dan bersusah payah mengangkat martabat bahasa Melayu sebagai acuan penyatuan sekiranya cucu cicit mereka hari ini mendewa-dewakan bahasa penjajah dan memperkecilkan bahasa ibunda sendiri.

Sahibus Samahah Ustaz Zamri Hashim
Timbalan Mufti Negeri Perak

www.indahnyaislam.my

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *