home Semasa Kisah tentera Uthmaniyyah terakhir yang menjadi penjaga Masjid Al-Aqsa

Kisah tentera Uthmaniyyah terakhir yang menjadi penjaga Masjid Al-Aqsa

 

Inilah kisah seorang tentera Uthmaniyyah yang kekal setia melaksanakan tugas mengawal Masjid Al-Aqsa yang diamanahkan kepadanya selama 57 tahun, selepas tentera Uthmaniyyah berundur dari Jerusalem pada 9 Disember 1917.

Seorang pengkaji sejarah, Ilhan Bardakci bertembung dengan tentera yang hebat ini pada 12 Mei 1972 dan mengambil keputusan untuk mengabadikan pertemuan bersejarah itu dalam tulisannya:

Masjid Al-Aqsa, Jumaat 21 Mei 1972. Saya bersama kenalan wartawan Said Terzioğlu sedang melihat-lihat kawasan masjid yang mempunyai banyak tinggalan sejarah, ditemani oleh seorang pemandu pelancong. Nun di atas anak tangga paling atas di kawasan halaman kedua, saya pertama kali melihat sosoknya. Ketinggiannya hampir menjangkau 2 meter. Dia memakai baju yang telah lusuh, menutupi tubuhnya yang telah tua, tetapi tubuhnya masih gagah tegak berdiri. Kesan-kesan parut jelas kelihatan diwajahnya.

“Siapa orang ini?” Saya bertanya pemandu kami. Dia mengangkat bahunya lantas berkata “Saya tidak tahu… mungkin seorang tidak siuman. Dia sentiasa berdiri di sini, namun tidak pernah meminta suatu apapun dari sesiapa”

Entah mengapa, saya lantas menghampirinya dan bercakap dalam bahasa Turki “Selamu Aleykum Baba”. Matanya lantas terbeliak dan bercahaya, langsung menjawab kembali dalam bahasa Turki, “Aleykum Selam oğul (anakku)!”

Saya terkejut lalu terus memeluk tubuhnya dan mencium tangannya. “Siapakah gerangan kamu wahai ayahanda?”

Dia menerangkan….

“Aku adalah Kopral Hasan dari Batalion ke 36, Skuadron ke 8, pasukan khas senjata berat yang dihantar ke Masjid Aqsa pada hari kita kehilangan Al-Quds….”

Ya, dialah tentera Uthmaniyyah yang dihantar menjaga Masjid Al-Aqsa.

 

 

Kerajaan Uthmaniyyah memerintah Al-Aqsa selama 401 tahun, 3 bulan dan 6 hari. Namun akhirnya, pada hari Ahad 9 Disember 1917, mereka terpaksa keluar mengosongkan Palestin. Saat itu, Khalifah Uthmaniyyah juga berada di saat-saat kejatuhannya dan hanya satu Squadron sahaja tinggal untuk melindungi Al-Aqsa dari keganasan tentera British yang merampas masjid suci tersebut.

Ya Allah… Saya melihat sekali lagi. Kepalanya gah umpama seorang perwira. Sekali lagi, tangannya yang mulia dikucup tanda penuh hormat lantas dengan tenang tapi tegas dia berkata:

“Bolehkah aku meminta suatu bantuan dari engkau wahai anakku? Aku ada wasiat yang aku simpan erat tanpa diketahui oleh siapapun untuk sekian lama. Bolehkah kamu menyampaikan wasiat ini buatku?”

“Sudah tentu, apakah dia” balas saya.

“Apabila engkau pulang ke negara kita, dan jika kamu sampai ke Tokat Sanjak, segeralah mencari Komander yang menghantarku ke sini. Namanya Kapten Musa. Kucup tangannya buat diriku dan katakan…. Kopral Hasan dari Provinsi Iğdır dari pasukan ke 11 persenjataan, masih berada di pos kawalan yang dihantarnya dulu”

Jantungku seperti mahu berhenti!!!

Tahun berganti tahun.

Perintah tentera mengambil keputusan memanggil Ilhan Badakci untuk mencari tentera yang hebat ini, apabila dia mengetahui kisah ini melalui saluran TV kerajaan Turki.

Bardakci kemudian menulis: Kopral Hasan adalah salah seorang dari kami. Bagaimana pengakhirannya usahlah ditanyakan lagi. Kami tidak lagi mencarinya apatah lagi menjumpainya. Dia umpama pokok Cypress yang tingginya menjulang ke langit. Apabila kita mengangkat kepala, kita hanya umpama rerumput kecil yang baru tumbuh dari akarnya. Kita mudah terlupa. Terlupa kepada kehebatan seorang perwira yang setia menjaga pos kawalannya… Kopral Hasan.

Sumber: http://ilmfeed.com/story-al-aqsa-mosques-last-ottoman-guard/
Terjemahan: Indahnya Islam

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *