home Semasa Hargai titisan darah pejuang terdahulu: Khutbah

Hargai titisan darah pejuang terdahulu: Khutbah

 

BANGI – Khutbah Jumaat hari ini menyeru umat Islam untuk menghargai tokoh pejuang terdahulu mempertahan tanah air.

Menurut teks khutbah yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), semangat mereka yang berjuang hingga titisan darah terakhir perlu dijadikan pengajaran.

Katanya, apa yang kita kecapi hari ini adalah hasil titik peluh pejuang masa silam.

“Lihatlah, akhirnya membentuk sebuah negara Malaysia yang kita sayangi. Jadi, amat wajar untuk kita mengambil iktibar serta teladan atas segala pengorbanan pejuang-pejuang terdahulu.

“Semangat yang mereka tonjolkan itu telah menjadi batu asas kepada kemajuan negara dalam pelbagai aspek.

“Sesungguhnya, kesedaran dan kewajipan setiap individu itu amat penting demi mempertahankan bangsa, agama dan tanah air daripada anasir-anasir penjajahan yang membahayakan ummah,” kata kenyataan khutbah itu lagi.

Pada masa sama, khutbah turut menyeru umat Islam menolak semua perkara yang merosakkan keamanan, perpaduan dan menggugat kedaulatan agama.

“Jika kita benar-benar ikhlas cintakan negara, kita hendaklah sentiasa menjunjung tinggi keamanan yang telah kita nikmati. Kita hendaklah sentiasa berusaha memastikan agar generasi hari ini mampu dan berupaya mewarisi keamanan negara.

“Justeru, janganlah kita merasakan bahawa kita akan terus berada dalam zon selamat sepanjang masa. Sebaliknya, kita mesti bersedia dan bersatu padu dalam menyusun atur gerak langkah perpaduan bangsa yang konkrit.

“Kitalah yang perlu membangunkan kecemerlangan negara bangsa kita. Tidak cukup dengan itu, rakyat juga hendaklah berkorban masa, jiwa, tenaga demi agama,bangsa dan negara,” kata kenyataan khutbah itu. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *