home Semasa Israel usir keluarga Palestin dari rumah diduduki 53 tahun lalu

Israel usir keluarga Palestin dari rumah diduduki 53 tahun lalu

 

BAITULMAQDIS – Selama lebih setengah abad mereka tinggal di sebuah rumah di Jerusalem Timur, tetapi dengan sekelip mata satu keluarga Palestin hilang tempat berteduh.

Ianya gara-gara tindakan puak Yahudi yang mendakwa rumah itu adalah hartanah mereka yang ditinggalkan selepas askar Jordan menawan Jerusalem Timur pada 1948. Mereka kemudian membawa kes tuntutan itu ke mahkamah Israel.

Mengikut undang-undang Israel, jika orang Yahudi boleh membuktikan keluarga mereka pernah tinggal di Jerusalem Timur sebelum perang 1948, mereka boleh menuntut hartanah itu dikembalikan.

Ketika perang itu, ribuan orang Yahudi meninggalkan Jerusalem tatkala pasukan tentera Arab diketuai Jordan menawan bandar itu, manakala ratusan ribu orang Palestin pula meninggalkan tanah mereka yang kemudian menjadi penempatan Israel.

Tiada undang-undang membolehkan orang Palestin menuntut tanah mereka.

Pada 2013 lalu, Mahkamah Agung Israel menerima dan menyokong tuntutan orang Yahudi terhadap rumah berkenaan dan kemudian menjualnya.

Semalam, polis Israel mengusir keluarga Shamasneh dari rumah yang diduduki lebih 50 tahun lalu, dan bakal membuka laluan kepada penempatan pendatang Yahudi di kawasan itu.

Seorang lelaki Yahudi dilihat memasuki bangunan itu selepas keluarga Shamasneh diiring keluar oleh anggota polis rejim Zionis.

Fahamiya Shamasneh, 75, berkata, polis tiba sebelum maghrib mengarahkannya, suami – Ayoub, 84, – anak dan keluarganya keluar dari rumah di daerah Sheikh Jarrah, di mana keluarganya tinggal sejak 53 tahun lalu.

“Apakah ketidakadilan yang lebih besar daripada ini? Mungkin kami terpaksa tidur di jalan,” katanya.

Ini adalah tindakan pengusiran pertama dibuat di kawasan itu sejak 2009.

Rejim Israel menawan Jerusalem Timur dalam perang enam hari pada 1967 dan kemudian terus mendudukinya sedangkan tindakan itu tidak diiktiraf pada peringkat antarabangsa.

Kira-kira 200,000 Yahudi Israel kini tinggal di kawasan penempatan haram di Jerusalem Timur.

Kumpulan hak asasi manusia, Peace Now berkata, pengusiran keluarga Palestin itu adalah sebahagian daripada pembangunan penempatan haram yang bakal dibangunkan oleh rejim Israel di daerah Sheikh Jarrah.

“Pengusiran keluarga Shamasneh yang tinggal di situ sejak 1964, bukan sahaja tindakan kejam, tetapi boleh menjadi satu kecenderungan kepada Yahudi lain menuntut kawasan itu,” kata pergerakan itu dalam satu kenyataan, hari ini. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

text gambar

One thought on “Israel usir keluarga Palestin dari rumah diduduki 53 tahun lalu

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *