home Semasa Kerajaan perlu sedia dana khusus untuk pusat tahfiz: iGuru

Kerajaan perlu sedia dana khusus untuk pusat tahfiz: iGuru

 

Kenyataan Media iGuru berhubung insiden kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyyah

1. Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) merakamkan setinggi takziah dan rasa simpati yang amat mendalam kepada keluarga yang terlibat dalam musibah kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah Kg Dato Keramat yang telah mengorbankan 21 orang pelajar dan dua orang guru. Pihak iGuru meminta agar keluarga mangsa bersabar dan menerima ketentuan daripada Allah SWT.

2. iGuru memohon agar semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai punca kejadian kebakaran tersebut. Pihak iGuru berharap biarlah pihak berkuasa membuat penyiasatan menyeluruh terhadap punca kejadian itu berlaku.

3. iGuru memandang serius musibah yang berlaku ini kerana ia bukanlah kejadian pertama melibat pusat pengajian tahfiz di negara ini. Malah kadang kala ia berlaku atas faktor sama yang sentiasa berulang. Justeru untuk mengelak musibah seperti ini berulang, iGuru menggesa semua pihak yang terlibat dalam proses pembangunan institusi tahfiz agar mengikut piawaian kualiti yang telah ditetapkan, supaya kejadian seperti itu tidak akan berulang. Semua institusi tahfiz perlu mendaftar dengan pihak kerajaan pusat atau negeri di samping mendapat kelulusan pembinaan mengikut spesifikasi JKR dan pelan keselamatan mengikut piawaian Jabatan Bomba.

4. Memandangkan usaha untuk mendirikan institusi pengajian Islam seperti ini adalah usaha yang amat murni dan harus didukung oleh semua pihak, namun ia mestilah mengikut piawaian dan perlu diteliti secara menyeluruh daripada pelbagai aspek. Pihak iGuru berharap insiden ini tidak dijadikan batu loncatan untuk memburukkan institusi tahfiz. Semua pihak perlu membantu kelemahan yang sedia ada.

5. Untuk mengelak musibah seperti ini berlaku lagi pada masa akan datang, iGuru mencadangkan beberapa perkara:

a. Mana-mana pihak yang mahu membangun institusi tahfiz mestilah betul-betul bertanggungjawab terhadap keselamatan pelajar, guru dan bangunan serta kualiti pembelajaran yang dikendalikan.

b. Pihak kerajaan hendaklah memastikan institusi tahfiz yang hendak beroperasi mestilah melalui proses penguatkuasaan dan pemantauan yang telus dan berterusan serta berdaftar.

c. iGuru menggesa agar pihak berkuasa menyediakan dana yang khusus dan mencukupi agar pusat-pusat tahfiz yang dibangunkan mampu menyediakan perkhidmatan yang berkualiti dan mengikut piawaian yang ditetapkan.

Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru)
Ustaz Mohd Azizee Hasan

www.indahnyaislam.my

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *