home Semasa Khutbah AidilAdha 1438H : Ini negara perjuangan

Khutbah AidilAdha 1438H : Ini negara perjuangan

اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، وَلله ِالْحَمْدُ.

اللهُ أَكْبَرُ كَبِيْرًا، وَالْحَمْدُ ِللهِ كَثِيْرًا، وَسُبْحَانَ اللهِ بُكْرَةً وَأَصِيْلاً.

اَلْحَمْدُ ِللهِ الَّذِيْ أَنْزَلَ عَلَى عَبْدِهِ الْكِتَابَ وَلَمْ يَجْعَلْ لَهُ عِوَجًا.

أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ يُحْيِيْ وَيُمِيْتُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.

اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ، وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُ وَنَصَرَهُ وَوَالاَهُ.

 أَمَّا بَعْدُ،

فَيَا عِبَادَ اللهِ،  اِتَّقُوا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ، وَلاَ تَمُوْتُنَّ إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ.

Sidang Jemaah Muslimin dan Muslimat Yang Dirahmati Allah,

Hari ini kita berada di dalam bulan Zulhijjah dan 10 Zulhijjah merupakan tarikh di mana umat Islam di seluruh dunia disyariatkan meraikannya. Allah Azza Wajalla telah mengurniakan dua perayaan terbesar bagi umat Islam; Eidul Fitr dan Eidul Adha. Dan pada hari ini, kita meraikan salah satu daripadanya iaitulah Eidul Adha.

Dalam satu peristiwa, ketika Rasulullah ﷺ berhijrah ke Yathrib (iaitu Madinah), baginda ﷺ ditanyakan tentang 2 hari yang telah mereka raikan sebelum kedatangan Rasulullah ﷺ, maka ini jawapan  Rasulullah ﷺ:

إِنَّ اللَّهَ قَدْ أَبْدَلَكُمْ بِهِمَا خَيْرًا مِنْهُمَا يَوْمَ الْأَضْحَى وَيَوْمَ الْفِطْرِ

“Sesungguhnya Allah telah menggantikan bagi kamu dua hari yang lebih baik iaitulah Eidul Adha dan Eidul Fitri. ( HR Abu Dawud no 1134)

Sidang Jemaah Muslimin dan Muslimat Yang Dirahmati Allah,

Apabila tibanya Eidul Adha, topik yang pastinya kita perkatakan ialah tentang ibadah Haji dan Korban. Dan apabila menyentuh tentang ibadah-ibadah ini kita tidak akan dapat lari daripada membicarakan kisah pengorbanan agung Nabi Ibrahim AS. Di dalam Al-Quran Allah Azza Wajalla menyebut secara khusus uswah hasanah (contoh terbaik) yang boleh diambil daripada kisah Nabi Ibrahim AS:

قَدْ كَانَتْ لَكُمْ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ فِي إِبْرَاهِيمَ وَالَّذِينَ مَعَهُ

Sesungguhnya adalah bagi kamu pada bawaan Nabi Ibrahim (a.s) dan pengikut-pengikutnya – contoh ikutan yang baik” (al-Mumtahanah : 4)

 

Kisah Nabi Ibrahim AS adalah antara kisah para anbiya` yang paling banyak dirakamkan di dalam al-Quran. Ini sudah pasti menunjukkan kelebihan yang ada pada Nabi Ibrahim AS. Kisahnya bermula daripada usia baginda masih lagi muda belia hinggalah baginda berusia lanjut, semuanya ini dirakamkan di dalam al-Quran untuk tatapan dan panduan kita sebagai umat Islam dan umat Muhammad SAW.

Dakwah Nabi Ibrahim AS bermula di awal usia belia baginda, berlaku sepanjang kehidupannya dalam mentaati arahan Allah SWT. Kemuncak kepada ujian Allah terhadap Nabi Allah Ibrahim AS ialah perintah supaya menyembelih anak kesayangan baginda, Nabi Ismail AS. Nabi Ibrahim AS dan anaknya Ismail telah melepasi untuk ini dengan sempurna apabila mereka bersama-sama menyerah diri bulat-bulat untuk melaksanakan perintah Allah SWT tanpa sebarang persoalan. Kejadian agung ini sekali lagi dirakamkan oleh Allah SWT di dalam Sirah As-Saffat, ayat 102 hingga 105.

فَلَمَّا بَلَغَ مَعَهُ السَّعْيَ قَالَ يَا بُنَيَّ إِنِّي أَرَىٰ فِي الْمَنَامِ أَنِّي أَذْبَحُكَ فَانْظُرْ مَاذَا تَرَىٰ ۚ قَالَ يَا أَبَتِ افْعَلْ مَا تُؤْمَرُ ۖ سَتَجِدُنِي إِنْ شَاءَ اللَّهُ مِنَ الصَّابِرِين

فَلَمَّا أَسْلَمَا وَتَلَّهُ لِلْجَبِين

وَنَادَيْنَاهُ أَنْ يَا إِبْرَاهِيمُ

قَدْ صَدَّقْتَ الرُّؤْيَا ۚ إِنَّا كَذَٰلِكَ نَجْزِي الْمُحْسِنِينَ

Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?”. Anaknya menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar”. Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah َ. Serta Kami menyerunya: “Wahai Ibrahim! Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu”. Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. َ (As-Soffat : 102-105)

Demikianlah ujian demi ujian yang ditempuhnya oleh Nabi Ibrahim AS dan semuanya berjaya dilaksanakan dengan penuh keimanan kepada Allah SWT. Akhirnya Allah SWT mengiktiraf kejayaan tersebut di dalam al-Quran dan memuliakan Nabi Ibrahim AS sebagai pemimpin yang menjadi ikutan  umat manusia. Firman Allah di dalam surah al-Baqarah, ayat 124:

وَإِذِ ابْتَلَى إِبْرَاهِيمَ رَبُّهُ بِكَلِمَاتٍ فَأَتَمَّهُنَّ قَالَ إِنِّي جَاعِلُكَ لِلنَّاسِ إِمَامًا قَالَ وَمِنْ ذُرِّيَّتِي قَالَ لَا يَنَالُ عَهْدِي الظَّالِمِينَ

“Dan (ingatlah), ketika Nabi Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa Kalimah (suruhan dan larangan), maka Nabi Ibrahim pun menyempurnakannya. (Setelah itu) Allah berfirman: “Sesungguhnya Aku melantikmu menjadi Imam (Pemimpin ikutan) bagi umat manusia”. Nabi Ibrahim pun memohon dengan berkata: “(Ya Tuhanku!) Jadikanlah juga dari keturunanku (pemimpin-pemimpin ikutan)”. Allah berfirman: “(Permohonanmu diterima, tetapi) janjiKu ini tidak akan didapati oleh orang-orang yang zalim.

Sidang jamaah sekalian,

Perayaan menyambut Aidiladha pada tahun ini adalah lebih unik dan bermakna apabila ia berlaku selang sehari dengan tarikh kemerdekaan negara. Perjuangan membebaskan tanahair daripada segala bentuk penjajahan oleh generasi terdahulu adalah juga sebenarnya sebuah perjuangan yang besar, unggul dan diiktiraf oleh agama.

Ketibaan bulan kemerdekaan merupakan pentas strategik untuk kita sebagai rakyat Malaysia yang sayangkan negara melakukan muhasabah dan koreksi. Dalam kesibukan mengejar kemajuan materialistik dan pembangunan, sungguh ada keperluan mendesak untuk kita melihat sejenak ke belakang dan mengkaji sejarah kemerdekaan negara yang kian dilupakan. Ya, sebagaimana seorang pemandu kereta yang sesekali menjeling ke arah cermin pandang belakang ketika meluncur laju ke hadapan. Bukankah realiti hari ini merupakan natijah masa silam?

Sebagai contoh, jika kita menangisi kebejatan sosial dan keruntuhan akhlak yang menimpa generasi muda negara hari ini, sedarlah ia tidak berlaku dalam tempoh masa yang singkat. Malah, proses penjajahan yang panjang telah menyebabkan peleburan fikrah dan identiti melalui sistem pendidikan, pemaksaan budaya dan cara hidup asing yang berterusan serta pembentukan sistem ekonomi berasas kaum yang berat sebelah.

Lebih parah, kuasa penjajah secara sangat terancang menyembunyikan sejarah kehebatan bangsa, menuduh pejuang Melayu Islam sebagai pemberontak serta menafikan estetika seni dan kehalusan budaya penduduk pribumi. Lantas, kita menjadi generasi yang hilang identiti, hilang kemegahan, hilang tokoh kebanggaan dan hilang zaman kegemilangan.

Usaha menulis, berpidato, berkempen dan berkolokium untuk menyedarkan generasi muda tentang sejarah dan makna kemerdekaan perlu diperkasa dan diberikan penumpuan. Ini boleh dicapai melalui dua pendekatan:

Pertama :Mengangkat kepahlawanan dan ketokohan perjuangan kemerdekaan silam

dan Kedua : Memartabatkan tenaga pemuda dan belia untuk memahami erti sebenar kemerdekaan

Pertama : Mengangkat Kepahlawanan dan Ketokohan Perjuangan Kemerdekaan Silam

Keperitan perjuangan para tokoh pejuang kemerdekaan perlu diangkat dan ditulis semula dalam bentuk yang interakrif dan terkini. Tulisan sejarah perlu diperbetul dan diberi nafas baru selari dengan perkembangan dunia teknologi dan kepantasan media sosial hari ini.

Mereka bukan pemberontak sebaliknya ulama yang berilmu dan berkredibiliti tinggi serta bersemangat waja mempertahankan tanahair dari diperlakukan sewenang-wenangnya oleh kuasa luar yang rakus dan berniat jahat.

Kegagalan menyemai kesedaran inilah yang membuatkan anak muda negara terus menerus hidup dalam zon selasa dan mengangkat tokoh yang salah sebagai idola hidup, contohnya Justin Bieber, Selena Gomez, Miley Cyrus, artis-artis K-Pop, Bollywood dan banyak lagi.

Nama-nama seperti Dol Said, Dato’ Bahaman, Tok Gajah, Mat Kilau, Haji Abdul Rahman Limbong, Tok Janggut, Dato’ Maharaja Lela, Sharif Masahor dan Mat Salleh akan terus luput dimamah waktu tanpa usaha serius untuk memartabatkan perjuangan mereka semula.

Pendekatan kedua untuk menyedarkan generasi muda tentang sejarah dan makna kemerdekaan ialah dengan Memartabatkan tenaga pemuda dan belia itu sendiri untuk memahami erti sebenar kemerdekaan

Generasi muda negara ini mesti mengalir di dalam tubuh mereka darah perjuangan kerana mereka adalah generasi pewaris peneraju negara. Semangat perjuangan yang sentiasa membara sangat perlu untuk mempertahankan sebuah negara dari sebarang anasir yang akan merosakkannya sebagaimana semangat perjuangan sangat penting untuk mencapai matlamat yang dicita-citakan. Semangat perjuangan ini sangat perlu dipupuk untuk mengambil alih penguasaan hawa nafsu yang sering dikaitkan dengan generasi muda.

Agama Islam yang kita yakini kebenarannya, memiliki perhatian sangat besar terhadap pemuda, pemuda hari ini akan penjadi pemimpin-pemimpin di masa yang akan datang. Merekalah yang akan mewarisi tugas-tugas mulia dari para pendahulunya untuk memimpin umat ini.

Percayalah, masyarakat melayu dan umat Islam mampu kembali bermaruah dan menang dalam perlumbaan material hari ini dengan menyambung perjuangan tokoh-tokoh bangsa terdahulu. Setelah mereka mengorak langkah membuka jalan dan minda serta menunjukkan contoh teladan kepada anak cucu, sekarang tanggungjawab penuh tergalas di bahu kita untuk menyambung mata rantai perjuangan ini.

Perjuangan Maarof Zakaria yang mengasaskan Bank Kebangsaan Melayu bagi meningkatkan daya saing bangsa Melayu dalam bidang ekomoni, siapakah yang menyambungnya setelah beliau terbunuh?

Perjuangan Abdul Rahim Kajai yang digelar Bapa Kewartawanan Melayu dalam mendidik dan membangunkan intelektual bangsa melalui penulisan, siapakah yang menyambungnya?

Begitu juga tokoh-tokoh lain seperti Zaaba siapa yang akan mewarisinya?

Mereka telah melakukan yang terbaik untuk generasi kita hari ini. Setiap sikap dan tindakan generasi hari ini akan seterusnya menentukan nasib dan masa depan generasi anak watan yang akan datang.

Kita sangat menanti-nanti sosok pemuda seperti Nabi Ibrahim AS yang dengan keberaniannya menghancurkan tradisi penyembahan kepada berhala, yang dengan hidayah Allah dia mendahulukan kecintaan kepada Rabb-nya daripada kecintaannya kepada ayahandanya.

Sifat berani menghadapi rintangan dalam melawan kebatilan, tidak takut dengan ancaman dari penguasa. Meskipun banyak orang yang membencinya, jiran tetangga dan saudara sering mencacinya, akan tetapi demi sebuah keyakinan dan prinsip agamanya, ia rela melakukan tindakan yang mungkin dapat mengancam jiwanya. Firman Allah SWT : “Mereka berkata: “Kami dengar ada seorang pemuda yang mencela berhala-berhala ini yang bernama Ibrahim.“(QS al anbiya’ : 60)

Dalam konteks negara Malaysia, para pemuda perlu menghubungkan diri mereka dengan sejarah tanah air yang penuh dengan wira-wira hebat dan kisah-kisah perjuangan mereka membebaskan tanah air ini dari penjajahan barat dan mereka sering mengaitkan perjuangan ini dengan makna jihad.

Keadaan semasa negara ini memerlukan para pemuda yang sanggup berjuang mengekalkan identiti negara ini yang masih mengizinkan Islam dan umat Islam memulakan perjuangan mendaulatkan Islam ke tahap yang lebih sempurna.

Para pemuda mesti disibukkan dengan agenda-agenda perjuangan umat yang lebih besar dan serius supaya mereka tidak terus hanyut dalam kenikmatan yang mereka sangka itulah nikmat yang tertinggi disebabkan kebanyakkan mereka adalah generasi yang lahir di kelilingi kesenangan dan kemudahan.

Berkait dengan kemerdekaan ke 60 ini, dukacita kita perhatikan pula bahawa sekarang, segala yang melibatkan asas kepada Perlembagaan Negara dan kontrak sosial telah dipertikaikan. Ini termasuklah kedudukan orang Melayu sebagai pribumi, hak-hak keistimewaan orang Melayu, undang-undang syariah, konsep federalisme (Persekutuan), Perjanjian Malaysia 1963 yang melibatkan penyertaan Sabah dan Sarawak ke dalam Malaysia dan sebagainya.

Sebagai bangsa pribumi yang utama, yang memperjuangkan kemerdekaan daripada penjajah, beberapa persoalan wajar ditanya oleh orang Melayu khususnya.

  1. Ke mana agaknya hala tuju cita-cita kemerdekaan negara kini
  2. Adakah kemerdekaan yang diperoleh ini memenuhi matlamat yang mereka perjuangkan sewaktu kemerdekaan? Atau mereka sebenarnya sedang menuju keruntuhan sebagai satu bangsa yang berdaulat?
  3. Atau dengan erti kata lain, adakah kedaulatan bangsa, agama dan tanah air sebenarnya sedang menuju kemusnahan?

Semoga dengan kehadiran sambutan 60 tahun kemerdekaan ini, orang Melayu Islam pribumi harus memiliki keberanian untuk melakukan satu perubahan yang drastik, menyeluruh, berfikir dengan gaya baharu, melihat masa depan yang baharu, berfikir secara merdeka dan sebagai bangsa berdaulat, serta merangkul semula perjuangan generasi terdahulu

Mengakhiri khutbah, marilah kita mengambil beberapa kesimpulan untuk kita ambil sempena perayaan Aidil Adha yang mulia pada hari ini.

Pertama :Perjuangan Nabi Allah Ibrahim AS dan Nabi-Nabi Allah khususnya Nabi Muhammad ﷺ mestilah benar-benar dihayati dan difahami oleh seluruh umat Islam. Apabila kita mengkaji keseluruhan  perjalanan hidup Nabi Ibrahim a.s, fahamlah kita bahawa liku-liku perjuangan menegakkan gerakan massa bagi  menggantikan keimanan rakyat yang bertuhankan berhala kepada hanya mempertuhankan Allah semata-mata. Perjuangan penuh berliku ini telah membentuk watak Nabi Ibrahim as sebagai pejuang tauhid yang sangat tegar.

Kedua: Seruan yang paling utama dibawa oleh setiap nabi dan rasul yang diutuskan ialah seruan mentauhidkan Allah dan meninggalkan sebarang perbuatan syirik. Justeru kita umat Islam pada hari ini mestilah memperteguhkan keimanan kita kepada Allah serta menjauhi sebarang perkara yang mensyirikkan Allah SWT, serta bersama menyokong gerakan mentauhidkan Allah SWT dan menentang sebarang cubaan untuk merendahkan Allah SWT.

Ketiga: Umat Islam mestilah bangkit melakukan pengorbanan, bermula dengan berkorban masa, tenaga, harta dan seterusnya jiwa raga untuk mempertahan dan mendaulatkan Islam di atas muka bumi ini.

Yang keempat: Umat Islam harus sedar pada hari ini, ancaman melanda umat Islam terlalu banyak. Ancaman dalaman ialah lemahnya jatidiri muslim itu sendiri yang seterusnya membawa umat Islam semakin jauh daripada agama mereka. Perkara ini perlu segera ditangani segera oleh semua pihak. Ini termasuklah ancaman Liberalisme, ancaman Syiah, penjajahan ekonomi, ancaman Kristianisasi, ancaman kebebasan mutlak hingga menuntut kebebasan seks songsang dan seks bebas dan lain-lain lagi.
 

بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ  بِالْقُرْآءنِ الْعَظِيْمِ، وَنفَعَنِىْ وَاِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ  اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ إنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ، أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَأسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ ِليْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ فَيَا فَوْزَ الْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَياَ نَجَاةَ التَّاءِبِيْنَ.

KHUTBAH KEDUA

اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، وَلله ِالْحَمْدُ

اللهُ اَكْبَرْ كبيرا، وَاْلحَمْدُ للهِ كَثِيْرًا، وَسُبْحَانَ الله بُكْرَةً وَ أَصْيْلاً.

لاَ اِلَهَ اِلاَّ اللهُ وَاللهُ وَاللهُ اَكْبَرْ، اللهُ اَكْبَرْ وَللهِ اْلحَمْدُ.
اَلْحَمْدُ للهِ عَلىَ إحْسَانِهِ وَالشُّكْرُ لَهُ عَلىَ تَوْفِيْقِهِ وَاِمْتِنَانِهِ. وَأشْهَدُ أنْ لاَ اِلَهَ اِلاَّ اللهُ وَاللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ وَأشْهَدُ أنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ الدَّاعِي إلىَ رِضْوَانِهِ. اللهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وِعَلَى آلِهِ وأَصْحَابِهِ وَسَلِّمْ تَسْلِيْمًا كِثيْرًا.
أمَّا بَعْدُ،

 فَياَ أيُّهَا النَّاسُ، اِتَّقُوا اللهَ فِيْمَا أمَرَ وَانْتَهُوْا عَمَّا نَهَى وَاعْلَمُوْا أنَّ اللهّ أمَرَكُمْ بِأمْرٍ بَدَأَ فِيْهِ بِنَفْسِهِ وَثَـنَّى بِمَلآ ئِكَتِهِ بِقُدْسِهِ وَقَالَ اللهَ تَعاَلَى:

(( اِنَّ اللهَ وَمَلآ ئِكَتَهُ يُصَلُّوْنَ عَلىَ النَّبِى يآ اَيُّهَا الَّذِيْنَ آمَنُوْا صَلُّوْا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوْا تَسْلِيْمًا.))

 اللهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلِّمْ وَعَلَى آلِ سَيِّدِناَ مُحَمَّدٍ وَعَلَى اَنْبِيآئِكَ وَرُسُلِكَ وَمَلآئِكَةِ اْلمُقَرَّبِيْنَ.

Saban tahun berjuta-juta umat Islam membanjiri kota Mekah untuk menunaikan ibadah haji. Semuanya hadir dengan niat yang sama untuk beribadah kepada Allah dan menyempurnakan rukun Islam yang kelima. Meskipun berbeza latar belakang, taraf kehidupan dan keturunan, namun umat Islam tetap bersama umpama sebuah hati yang tunduk dan patuh kepada Allah Azza Wajalla.

Allah berfirman di dalam Surah Al-Hajj ayat 27:

((وَأَذِّن فِي النَّاسِ بِالْحَجِّ يَأْتُوكَ رِجَالًا وَعَلَىٰ كُلِّ ضَامِرٍ يَأْتِينَ مِن كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٍ))

“Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan Ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.

Ini menunjukkan bahawa umat Islam sebenarnya memiliki kekuatan kesatuan. Semangat kesatuan inilah yang sebenarnya diperlukan untuk membangunkan semula umat ini dan secara tidak langsung kesatuan inilah yang telah menggerunkan musuh sehingga mereka berusaha sedaya upaya agar umat Islam kekal berpecah-pecah. Dengan menzahirkan kesatuan dan kekuatan, Islam tidak lagi akan dipandang rendah atau dihina malah kedudukan Islam akan diangkat  ke tempat yang selayaknya.

Sidang Jemaah Muslimin dan Muslimat Yang Dirahmati Allah,

Marilah sama-sama kita semua mengagungkan Allah dengan mentakzimkan (membesarkan) syiar-syiarNya. Semoga dengan menghidupkan syiar-syiar ini kita akan dimasukkan ke dalam golongan bertaqwa seterusnya dirahmati dan dikasihi oleh Allah.

Firman Allah di dalam Surah Al-Hajj, ayat 32:

ذَٰلِكَ وَمَن يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللَّهِ فَإِنَّهَا مِن تَقْوَى الْقُلُوبِ

“Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa yang menghormati syiar-syiar agama Allah maka (dialah orang yang bertaqwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat taqwa hati orang mukmin.

Islam bukan hanya agama individu, malah agama masyarakat dan negara. Syiar-syiar agama merupakan simbol yang memperkenalkan identiti sesebuah masyarakat dan negara. Antara syiar Islam ialah laungan azan, solat berjemaah, berpuasa di bulan Ramadan, menunaikan zakat, perundangan Islam, amar makruf nahi mungkar dan lain-lain. Jika kita dituntut untuk menghormati syiar-syiar ini, maka mempertahankannya adalah lebih aula dan lebih utama. Marilah kita terus istiqamah dengan Islam dan berusaha untuk memasukkan diri kita ke dalam Islam dalam setiap inci kehidupan sama ada dalam bidang pekerjaan, keluarga, jual-beli, ekonomi, perniagaan, pentadbiran dan sebagainya.

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ، وَالْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ اْلأَحْيَآءِ مِنْهُمْ وَالأَمْوَاتِ. اَللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ كَرِيْمٌ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنَّا وَعَنْ وَالِدِيْنَا وَعَنْ جَمِيْعِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِيْنَ.

Ya Allah! Kami ini lemah tapi dalam keadaan lemah ini kami masih menderhakaiMu Ya Allah.

Ya Allah! Kami ini hanya bergantung hidup dengan ihsan nikmat dan kasih kasih sayang-Mu, tapi dengan nikmat Mu yang melimpah ruah ini kami gunakan pula untuk memaksiati Mu Ya Allah.

Ya Allah! Engkau Maha Mengetahui betapa berdosanya hamba hamba-Mu ini, namun Engkau masih melimpahi nikmat nikmat-Mu kepada kami. Engkau masih memberi peluang demi peluang untuk kami menyesal dan bertaubat.

Ya Allah! Di awal pagi yang penuh dengan kasih sayang dan pengampunan-Mu, kami menadah tangan merintih pengampunan Mu. Ya Allah! Lihatlah ke wajah-wajah kami ini ya Allah. Sambutlah permohonan kami ini ya Allah. Kami tidak mampu menanggung peritnya Neraka Mu walaupun kami tahu amalan kami yang sedikit ini tidak melayakkan kami ke syurga Mu, namun kami masih berharap dengan limpahan redha Mu ya Allah agar mengampuni segala dosa dosa kami dan memasukkan kami ke syurga Mu.

Ya Allah! Ampuni dosa dosa kami atas kecuaian kami menjaga agama kami sehingga sehari demi sehari ia cuba dipermain-mainkan, Ya Allah kembalikan sikap tegas dan berani kepada kami ya Allah, untuk mempertahan dan mendaulatkan agamaMu Ya Allah.

Ya Allah! Kami memohon ampun kepadaMu atas kecuaian kami menjaga saudara-saudara Islam kami sehingga sebahagian anak-anak mereka dimurtadkan semula. Apa yang kami ingin jawab di hadapan Mu apabila anak-anak ini mengadu di hadapan Allah nanti. “Ya Allah apa mereka lakukan kepada kami, sekalipun mereka mengetahui keadaan dan situasi kami”.

Ya Allah! Kami memohon ampun kepadaMu atas kecuaian kami menjaga saudara-saudara Islam kami sehingga darah mereka mengalir setiap hari sedangkan kami bersenang lenang dan bersuka ria. Kami tidak sanggup lagi melihat dan mendengar tangisan dan raungan anak-anak mereka yang sebaya dengan anak-anak kami, Isteri- isteri mereka memerlukan perlindungan sepertimana isteri- isteri kami. Ya Allah hentikanlah segala kezaliman ini dengan kekuatan Mu YaAllah.

Ya مثبت القلوب! Tetapkan hati-hati saudara-saudara kami etnik Ronghinya dan Rakhine di Mynmar, saudara-saudara kami ahli sunnah wa al jamaah di Syria, saudara-saudara kami di Mesir dan Palestin serta di seluruh muka bumi ini agar tetap dalam iman tidak berganjak walaupun sedetik terhadap sebesar mana pun ujian yang menimpa. Kalau mereka mati di sana

dan kami mati di sini, himpunkan lah kami semuanya di dalam syurga-Mu Ya Allah.

 

 (DOA UNTUK KESEJAHTERAAN RAJA & SULTAN NEGERI)

رَبَّنَا آتِناَ فِى الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِى اْلآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ. رَبَّنَا ظَلَمْنَا أنْفُسَنَا وَإنْ لَمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُوْنَنَّ مِنَ اْلخَاسِرِيْنَ. عِبَادَاللهِ! إنَّ اللهَ يَأْمُرُنَا بِاْلعَدْلِ وَاْلإحْسَانِ وَإِيْتآءِ ذِى اْلقُرْبىَ وَيَنْهَى عَنِ اْلفَحْشآءِ وَاْلمُنْكَرِ وَاْلبَغْي، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ وَاذْكُرُوا اللهَ اْلعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلىَ نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَلَذِكْرُ اللهِ اَكْبَرْ.

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *