home Semasa Myanmar bertanggungjawab terhadap penghapusan etnik Rohingya: Erdogan

Myanmar bertanggungjawab terhadap penghapusan etnik Rohingya: Erdogan

 

ANKARA – Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan berkata, Myanmar bertanggungjawab terhadap penghapusan etnik minoriti muslim Rohingya, sehingga menyebabkan puluhan ribu melarikan diri dari wilayah mereka di Rakhine ke sempadan Bangladesh.

Berucap di Istanbul pada sambutan Aidiladha, Erdogan menyifatkan krisis teruk yang berlaku di wilayah Rakhine ketika ini adalah sebagai jenayah genosid – pembunuhan dan penghapusan sesuatu kaum.

“Terdapat genosid di sana (Rakhine). Mereka yang menutup mata terhadap insiden pembunuhan beramai-ramai di bawah perlindungan demokrasi dianggap turut bersubahat,” katanya.

Hampir 400 orang terbunuh dalam keganasan di barat Rakhine susulan pertempuran tiga hari sejak Jumaat minggu lalu, membabitkan pejuang Rohingya dan rejim Myanmar yang dianggap keganasan terburuk membabitkan minoriti Islam itu dalam masa lima tahun.

Insiden itu menyebabkan rejim Myanmar melancarkan operasi besar-besaran dengan menyerang, membakar kampung di wilayah itu dan menembak mati ratusan orang awam sehingga memaksa mereka melarikan diri ke sempadan Bangladesh.

Kejadian itu menyebabkan lebih 20,000 etnik Rohingya memasuki sempadan Bangladesh bagi melarikan diri daripada terus diserang oleh rejim Myanmar.

Erdogan berkata, beliau akan mengemukakan isu itu pada Perhimpunan Agung PBB di New York penghujung bulan ini, termasuk mengadakan perbincangan dengan Setiusaha Agung PBB, Antonio Guterres serta beberapa pemimpin Islam lain.

Menurut agensi berita Anadolu, Menteri Luar Turki, Mevlut Cavusoglu sebagai berkata, pihak berkuasa Bangladesh telah membuka pintu untuk etnik berkenaan, dan Turki akan bertanggungjawab menampung kos berkaitan Rohingya bagi memberi peluang lebih banyak pelarian itu berlindung.

“Kami menyeru Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menganjurkan sidang kemuncak tahun ini mengenai isu berkenaan. Kita perlu mencari penyelesaian yang pasti berhubung masalah ini,” katanya. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *