home Semasa Cadangan buka dobi di masjid disambut baik

Cadangan buka dobi di masjid disambut baik

 

IPOH – “Wujud koperasi masjid untuk memperbagaikan aktiviti, termasuk dobi,”

Itu reaksi Exco Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Nizar Zakaria terhadap cadangan Timbalan Mufti Perak, Zamri Hashim supaya semua masjid di negeri ini menyediakan perkhidmatan dobi layan diri.

Katanya, kewujudan koperasi juga dilihat sebagai satu platform baharu bagi membantu menjana pendapatan masjid menerusi aktiviti-aktviti yang diadakan terutamanya perniagaan.

“Kita di peringkat negeri Perak kita sememangnya menggalakkan untuk setiap masjid menubuhkan koperasi sendiri, bagi membantu menjana pendapatan.

“Selain perkhidmatan dobi layan diri, masjid juga boleh menyediakan perkhidmatan kedai runcit, penyediaan kelengkapan kain kapan dan lain-lain lagi.

“Daripada segi item disediakan, mungkin boleh mengikut kemampuan masyarakat setempat di kariah berkenaan. Keperluan di kariah tersebut. Cuma janganlah sampai membebankan,” katanya.

Beliau berkata, kewujudan koperasi juga akan menjadikan sesebuah masjid sebagai tempat tumpuan ramai atau pusat komuniti bagi masyarakat setempat.

Mohd Nizar berkata, dobi layan diri di masjid juga akan memberikan lebih keyakinan kepada orang ramai khususnya umat Islam mengenai soal kesucian pakaian masing-masing.

Katanya, dengan keyakinan berkenaan, orang ramai akan terus menggunakan perkhidmatan disediakan itu dan seterusnya menambahkan lagi pendapatan masjid.

“Bila kita uruskan sendiri kita tahu thaharahnya untuk kesuciannya. Sekali gus berikan keyakinan kepada orang ramai terhadap kebersihan.

“Lagipun sekarang, dengan kemudahan teknologi  kita boleh membasuh pakaian mengikut kilo. Cumanya, pihak jawatankuasa masjid harus memantau keadaan ini,” katanya. – Sinar Harian

www.indahnyaislam.my

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *